FOTO HIASAN. SUMBER AGENSI
FOTO HIASAN. SUMBER AGENSI
Addin

Ulama adalah pewaris tugas dan peranan sekalian nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulamalah penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini. Jika ulama berperanan sebagaimana berperanannya nabi dan rasul, akan baiklah umat berkenaan. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelik, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul." (Hadis Riwayat Ibnu Adiy)

Definisi tepat bagi ulama ialah orang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya apabila dengan kedalaman dan kepakaran ilmu dimilikinya itu, dia berupaya menggarap serta seterusnya mengembangkan ilmu tersebut bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin atau cabang ilmu lain sama ada dalam bidang keagamaan mahupun dalam keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu berkenaan akhirnya menjadi sumber rujukan utama umat manusia dari zaman-berzaman. Inilah ciri utama seseorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam.

Dalam hal ini, Allah Taala berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 7 yang bermaksud: "Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: 'Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datang daripada sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (ulul albab).'"

Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan yang bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala. Dengan perkataan lain, seorang ulama adalah orang yang cukup mantap imannya dan tebal ketakwaannya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa pun jua kecuali kepada Allah semasa menegakkan kebenaran serta memperjuangkan yang hak. Ciri takwa inilah juga yang membezakan atau memisahkan antara seorang ulama dengan seorang ilmuwan, sarjana, intelektual atau sebagainya biarpun dalam diri mereka terhimpun segala sifat keilmuan serta kesarjanaan.

Oleh kerana takwa dan imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama terbabit untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bekalan ilmu sahaja belum memadai.

Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan sewajibnya ditunaikan dan dilaksanakan dalam kehidupan seseorang ulama sebagai manifestasi daripada firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah Taala). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (ulul albab)."

Demikianlah betapa tingginya kedudukan ulama yang mendapat kemuliaan dan keistimewaan untuk memperoleh kedudukan atau makam yang tertinggi di sisi Allah Taala sebagaimana yang difahami melalui firman Allah Taala dalam Surah al-Mujadalah pada ayat 11 yang bermaksud: "Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat."

Dengan kemuliaan dan kelebihan dianugerahi Allah Taala kepada seorang ulama maka dia mempunyai peranan cukup besar dan tanggungjawab getir dalam membimbing, membangun dan memimpin hala tuju masyarakat serta negaranya ke arah keredaan Allah Taala. Semakin kreatif dan profesionalismenya seseorang ulama, semakin meningkatlah tamadun serta peradaban manusia dalam hidup ini.

Berdasarkan kenyataan ini, wajarlah ulama menjadi tempat rujukan apabila umat Islam menghadapi sebarang kekeliruan serta kemusykilan tentang sesuatu persoalan kehidupan yang mereka hadapi. Ini selaras dengan perintah Allah kepada umat Islam agar bertanyakan orang yang lebih berpengetahuan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui kitab Allah jika kamu tidak mengetahui." Surah al-Anbiya, ayat 7

Setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. Jika di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan oleh pihak kerajaan, pihak berkuasa agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, timbalan mufti, kadi besar, kadi daerah, imam serta ustaz lepasan daripada institusi pengajian Islam.

Sehubungan itu, orang perseorangan mahupun jemaah tidak sewajarnya cepat melatah atau melenting dalam sesuatu isu yang diperdebatkan terutama yang melibatkan persoalan hal ehwal Islam. Apa-apa sahaja isu yang berbangkit, serahkan sahaja kepada mereka yang ditauliahkan kerajaan seperti mufti, kadi dan ahli jawatankuasa fatwa dalam menyatakan persepsi yang sebenarnya menurut perspektif Islam agar dapat dijauhkan segala kekeliruan serta dijernihkan kekeruhan yang mungkin akan merenggangkan jalinan persaudaraan sesama Muslim.

Merekalah yang sebenarnya memikul tugas dan tanggungjawab peranan yang besar untuk memberi sumbangan ke arah mempertingkatkan kesedaran masyarakat Islam kepada penghayatan Islam dalam seluruh ruang lingkup kehidupan manusia di samping menggerakkan usaha kepada pihak kerajaan agar menggembleng tenaga ke arah mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan dalam kalangan rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri.

Ini bermakna umat Islam perlu memahami bahawa mufti bukan hanya sekadar dengan fatwanya, kadi tidak hanya terhad di mahkamah syariah sahaja, imam tidak hanya terbatas di masjid dan ustaz pula bukan hanya di sekolah, malah peranan mereka pada hakikatnya amat besar lagi getir dalam mengawal keharmonian dan kemuafakatan masyarakat Islam di samping merangsang mereka untuk memberi sumbangan bermakna kepada ketuanan Islam di bumi Malaysia ini. Mereka juga sebahagian daripada rangkaian gerakan dakwah Islamiah sesuai dengan kedudukan sebagai pewaris nabi dan rasul dalam memikul tanggungjawab menyampaikan Islam kepada seluruh warga Islam agar umat Islam dapat memahaminya, menghayatinya dan seterusnya menterjemahkan Islam dalam realiti kehidupan semasa.

Sebab itulah Rasulullah pernah memberikan perumpamaan indah berkenaan ulama sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Ulama di bumi Allah itu sebenarnya dapatlah diibaratkan seumpama gugusan bintang di langit yang menyuluh dan menerangi kegelapan perjalanan umat manusia di lautan serta di daratan. Sekiranya bintang itu tidak berkerlipan maka umat manusia sudah tentu berada dalam serba kegelapan dan kesesatan yang nyata." (Hadis Riwayat Ahmad)

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 7:30 AM