Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menuruni kenderaan rasmi Baginda sebanyak dua kali untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu-pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. FOTO Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menuruni kenderaan rasmi Baginda sebanyak dua kali untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu-pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. FOTO Instagram Istana Negara
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

PEMIMPIN adalah antara manusia yang mempunyai tanggungjawab yang begitu besar dalam Islam. Dia secara langsung di dalam urusannya memikul amanah dan tugas yang berat kepada rakyat yang dipimpinnya. Malahan seorang pemimpin juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah terhadap kepemimpinannya. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah yang bermaksud: Kalian semua adalah seorang pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah pimpinannya. Hadis riwayat al-Bukhari

Berdasarkan maksud hadis berkenaan, jelas betapa kepemimpinan adalah satu perkara yang begitu serius dan bukan perkara remeh sebagaimana dianggap kebanyakan orang Islam. Bukan semua orang mempunyai kelayakan menjadi pemimpin. Justeru, melihatkan kepentingan kedudukan pemimpin di sisi Allah dan di sisi umat Islam, maka Islam meletakkan garis panduan ketat mengenai kriteria seorang pemimpin yang berkewibawaan dan berkemampuan memimpin umat Islam ke arah kejayaan.

Mengimbau sejarah Islam, kita melihat sendiri bagaimana Rasulullah membentuk sebuah Daulah Madinah yang berlatar belakangkan piagam Madinah bagi membentuk kekuatan dan kecemerlangan umat Islam ketika itu hingga mengukir sejarah sebagai zaman kegemilangan Islam. Tradisi kecemerlangan ini diteruskan lagi oleh generasi sahabat yang dipelopori oleh Khulafa' al-Rasyidin dan mereka mengabadikan tinta emas dalam perjalanan sejarah Islam. Kemuncaknya, khalifah Umar bin Abdul Aziz melebarkan sayap kegemilangan Islam apabila membentuk masyarakat Islam yang harmoni dan makmur.

Di sini jelas rahsia kejayaan penuh gemilang yang dirintis Rasulullah dan juga generasi sahabat adalah berdasarkan kepada corak kepemimpinan seorang pemimpin dan juga kerjasama masyarakat Islam dalam merealisasikan cita-cita dan wawasan negara. Inilah kunci kejayaan sebuah negara berdaulat yang berkait rapat dengan faktor kepemimpinan yang adil dan juga kerjasama erat rakyat yang dipimpin dalam menjana pembangunan negara.

Di dalam al-Quran, Allah menegaskan garis panduan yang perlu diikuti oleh seorang pemimpin semasa memimpin sesebuah masyarakat Islam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad) engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu.

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya. Surah Ali 'Imran, ayat 159

Di antara sifat-sifat tersebut ialah seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap rakyatnya tanpa memilih bulu dan tanpa mengambil kira pandangan politiknya.

Justeru, seorang pemimpin tidak wajar mempunyai sifat pilih kasih dan juga tidak boleh bersikap kasar serta berhati keras terhadap sebarang kritikan dan teguran rakyatnya.

Malahan, seorang pemimpin mestilah memiliki kesabaran yang kental dalam menghadapi tuntutan dan kerenah rakyatnya yang pelbagai ragam dan kalau boleh, pemimpin hendaklah berusaha menunaikan kewajipannya untuk membantu meningkatkan kesejahteraan rakyatnya kerana itu adalah tanggung jawab mereka.

Akhirnya, antara pemimpin dan rakyatnya harus saling bermusyawarah dan ketika sebelum menetapkan sesuatu keputusan yang muktamad dalam hal berkaitan kepentingan rakyat dan negaranya. Dengan adanya musyawarah, barulah semua pihak dapat berbincang kepentingan dan kebaikan semua.

Maka tidak akan ada lagi dendam kesumat dan bibit perbalahan akan tercetus apabila semua pihak sama ada rakyat dan pemimpin melibatkan diri dalam proses musyawarah tadi. Ini sangat penting dalam aspek pentadbiran kerana ini akan mewujudkan suasana hubungan mesra lagi akrab yang terjalin antara pemimpin dan rakyatnya.

Keharmonian sudah pasti berhasil dengan kerjasama yang erat lagi utuh antara rakyat dan pemimpin dan segala wawasan serta cita-cita negara untuk membangunkan negara sudah terlaksana.

Setelah itu, setiap pemimpin dan rakyatnya dituntut agar bertawakal kepada Allah kerana manusia hanya merancang, akan tetapi Allah jugalah yang menentukan segala-galanya. Inilah ciri-ciri mukmin yang sebenarnya kepada Allah kerana tawakal menandakan betapa manusia mengakui kekerdilan mereka dan kedaifannya di sisi Allah yang Maha Berkuasa ke atas alam ini.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 11:07 AM