ALLAH amat menganjurkan umat Islam agar menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian
ALLAH amat menganjurkan umat Islam agar menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian
Addin

Di dalam kehidupan di dunia ini, manusia sememangnya tidak dapat untuk hidup bersendirian atau berseorangan tanpa kewujudan anggota masyarakat di sekelilingnya. Ini kerana setiap manusia tidak mengira apa status sosial dan taraf kedudukan semestinya membiasakan diri hidup dan bergaul dalam kelompok masyarakat ramai. 

Justeru, mungkin inilah hikmah Allah mencipta manusia daripada pelbagai jenis keturunan dan bangsa untuk memakmurkan bumi yang terbentang luas ini di samping menggalas tugas untuk menyampaikan seruan Islam kepada sekalian alam semesta.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan matlamat tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)

Satu daripada sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati di samping ia memperkukuhkan tali persaudaraan sesama Islam ialah sifat tolong-menolong. Allah sendiri amat menganjurkan umat Islam agar menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) serta pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2) 

Jelas di sini bahawa sepanjang kehidupan manusia di alam maya ini terhampar berbagai-bagai kesulitan dan kesukaran yang menguji ketahanan dirinya dan keperibadiannya. Walaupun begitu, seorang manusia selama-lamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan, malah tidak terdaya pula untuk menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya. Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan rakannya untuk sama-sama mengharungi pentas hidup yang penuh berliku ini. Maka benarlah pepatah Arab yang menyatakan: "Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudara-saudaranya."

Dalam Islam, salah satu hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah, pada setiap saat dan ketika. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan oleh Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: "Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dengan sebab itu, persaudaraan Islam yang tulen merupakan satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai ini bukan hanya sekadar nikmat kerohanian semata-mata yang lahir daripada jalinan akidah yang satu, malah ia juga adalah nikmat yang wujud daripada sifat tolong menolong dari sudut material berdasarkan kadar kemampuan masing-masing.

Dalam hal ini, di antara ruang lingkup sifat tolong-menolong yang amat dianjurkan Islam ialah menegakkan kebenaran dan melenyapkan kebatilan, mencegah pencerobohan dan mengembalikan hak kepada yang teraniaya. Sehubungan itu, seorang Muslim wajib bersama saudaranya yang lain untuk mempertahankan kebenaran Islam dalam apa juga keadaan sekalipun, menunjuk jalan kepadanya jika dia tersesat dan mencegahnya jika dia terlajak, mempertahankannya jika dia diserang.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tolonglah saudaramu sama ada dia seorang penganiaya ataupun yang kena aniaya! Jawab sahabat: "Menolongnya sewaktu dia teraniaya, fahamlah kami, maka bagaimana mungkin pula menolongnya bila dia yang menganiayai? Ujar Rasulullah: "Kamu mencegahnya daripada perbuatan aniaya itulah erti kamu menolongnya." (Hadis riwayat Bukhari)

Selain itu, setiap Muslim wajib menolong saudaranya semuslim berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Kalau seseorang itu adalah seorang pemimpin yang berkuasa maka dia berkewajipan menolong rakyatnya dengan mengembalikan hak rakyatnya dan menyediakan keperluan yang menjadi asas kehidupan rakyatnya. 

Perlu diinsafi bahawa kuasa adalah satu amanah Allah yang cukup berat pada bahu seseorang pemimpin. Jika dia melaksanakan amanah itu dengan ikhlas dan baik, insya Allah dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Sebaliknya jika amanah tersebut dicuaikan dan dijadikan alat untuk mencari kekayaan dan menambah koleksi harta peribadinya, bukannya untuk menolong rakyatnya, maka dia hanya menempah tempatnya di dalam api neraka.  

Seorang Muslim yang berada dan kaya pula, maka dia berkewajipan pula membantu saudaranya yang lain dari sudut kewangannya. Dalam kehidupan ini, sudah menjadi sunnatullah ada yang kaya dan ada pula yang miskin. Alanglah baiknya harta orang kaya tersebut dinafkahkan kepada orang-orang yang memerlukan terutama golongan fakir miskin, pesakit kronik yang memerlukan dana perbelanjaan untuk menanggung kos pembedahannya, golongan ibu tunggal, golongan anak yatim, mangsa musibah, lebih-lebih lagi kepada mangsa bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda di rantau ini baru-baru ini dan sebagainya. 

Perlu ditegaskan bahawa amalan menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan hartanya di dalam jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malahan ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, sedekah jariah, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah dan kepentingan umum.  

Selain itu, seorang ulama atau guru pula boleh membantu umatnya dengan sumbangan ilmunya yang berharga. Seorang yang sihat dan gagah perkasa boleh menolong saudaranya dengan meringankan beban yang ditanggunginya. Pendek kata, setiap Muslim boleh menolong saudara berdasarkan kemampuan dan daya upaya yang ada padanya. Sifat tolong-menolong inilah yang menjadi asas keperibadian Muslim sebenar dan tonggak utama yang menegakkan binaan persaudaraan Islam.  

Akhirnya, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Budi kebajikan (tolong-menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong-menolong) akan melanjutkan usia seseorang." (Hadis Riwayat Tabrani)

Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 8:48 AM