ORANG yang rajin berpuasa biasanya juga orang  rajin beribadat malam.
ORANG yang rajin berpuasa biasanya juga orang rajin beribadat malam.
Dr Mohd Hamidi Ismail

HARI ini kita sudah memasuki 14 Syawal selepas dua minggu lalu masih mengerjakan ibadat Ramadan. Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat dipertemukan dengan bulan mulia, namun apakah kita sudah berpuas hati dengan prestasi ibadat kita sepanjang Ramadan lalu?

Seelok-eloknya, kecemerlangan prestasi ibadat sepanjang Ramadan lalu perlu diteruskan sepanjang Syawal dan bulan seterusnya sehinggalah kita kembali dipertemukan semula dengan Ramadan tahun depan, insya-Allah.

Untuk itu, masih relevan jika kita melihat semula pensyariatan puasa berlaku ke atas umat terdahulu, ini dinyatakan melalui ayat 183 Surah al-Baqarah. Sekalian nabi juga turut menjalani ibadat puasa malah puasa mereka diabadikan dalam puasa sunat yang diamalkan umat Islam. Contohnya, puasa tiga hari pada pertengahan bulan Islam atau qamari yang dikenali juga dengan 'puasa putih' dilakukan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Puasa enam hari selepas Aidilfitri dilakukan oleh Nabi Nuh. Puasa pada 10 Muharam dilakukan oleh Nabi Musa. Puasa sembilan hari dengan berpuasa tiga hari berturut-turut pada awal, pertengahan dan akhir setiap bulan dilakukan oleh Nabi Sulaiman.

idak ketinggalan puasa Nabi Daud yang dipuji oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sebaik-baik puasa yang diamalkan. Nabi Daud berpuasa berselang-seli dengan berbuka atau tidak berpuasa.

Ini diceritakan sendiri oleh Rasulullah SAW: "Puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Daud AS. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." Hadis Riwayat al-Bukhari

Pada hadis yang lain, Nabi SAW menegaskan kepada Abdullah bin Amru bin al-As RA mengenai puasa Nabi Daud itu: "Tiada yang lebih baik daripada yang demikian." Hadis Riwayat al-Bukhari

Pengiktirafan Nabi SAW terhadap puasa Nabi Daud mengisyaratkan pada banyaknya kelebihan yang terdapat pada puasa baginda. Ia merangkumi cara pengamalan, ganjaran dan khasiatnya kepada orang yang mengamalkannya. Di sini, kita akan melihat kelebihan puasa pada kehidupan Nabi Daud yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pertama, sebagai raja Bani Israil. Tugas Nabi Daud sebagai ketua kerajaan memerlukan baginda sentiasa peka terhadap rakyat di bawah kepemimpinannya. Dengan tidak menyangkal baginda sebagai seorang rasul yang sentiasa dipimpin oleh wahyu, namun dengan berpuasa, ia membantunya menyelami derita dan kepayahan dihadapi umatnya yang miskin. Ibnu Rajab dalam Lata'if al-Ma'arif menjelaskan, demikian pensyariatan puasa di sisi sesetengah ulama salaf. Ia bertujuan memberikan pengalaman lapar dan dahaga kepada orang kaya supaya mereka tidak melupakan fakir miskin. Nabi Daud terbukti mendapat kelebihan terbabit daripada puasanya, ini dapat disaksikan pada satu doanya yang berbunyi: "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kekayaan yang menjadikan aku zalim, daripada kefakiran yang menjadikan aku lupa, daripada nafsu yang menjadikan aku jahat, daripada amalan yang menjadikan aku rugi." Hadis Riwayat Ibnu Abi Shaybah

Kedua, sebagai ahli ibadat seperti yang disifatkan oleh Nabi SAW: "...Adalah Nabi Daud sehebat-hebat manusia yang beribadat." Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Umumnya, ibadat puasa dimulai dengan keberkatan waktu sahur. Orang yang berpuasa mengambil waktu itu untuk makan dan golongan salihin mengisinya dengan ibadat malam. Boleh dikatakan, orang yang rajin berpuasa biasanya juga adalah orang rajin beribadat malam. Nabi Daud tidak terkecuali tergolong daripada insan yang rajin beribadat malam, malah ibadat malam baginda disukai oleh Allah seperti Dia menyukai puasa baginda.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Daud AS dan solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat Daud AS. Baginda tidur separuh malam, menghidupkannya pada sepertiga dan tidur pada seperenam." Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ketiga, sebagai mangsa fitnah selepas berjaya membunuh Jalut. Kejayaan itu mengangkat kedudukan Nabi Daud yang pada awalnya hanyalah seorang pemuda penggembala kepada seorang pahlawan yang berani dalam kalangan Bani Israil. Sebelum daripada itu, mereka mengangkat Talut yang dipilih oleh Nabi Samuel sebagai penyelamat daripada kekejaman Jalut. Kejayaan Nabi Daud menyebabkan Talut dipinggirkan dan ini menyebabkan dia iri hati terhadap Nabi Daud. Pelbagai fitnah dilakukan oleh Talut sehinggalah kepada rancangan membunuh Nabi Daud. Dengan kesabaran dan tawakal Nabi Daud kepada Allah, baginda dapat mengharungi fitnah berkenaan. Kelebihan puasa tidak dinafikan memberi kekuatan kepada Nabi Daud seperti puasa memberi kekuatan kepada Maryam dalam menghadapi fitnah ke atas dirinya.

Allah SWT mengajarnya supaya berpuasa dan berdiam diri terhadap tohmahan manusia kerana berbuat demikian adalah cara yang sewajarnya. Allah berfirman: "Katakanlah! Sesungguhnya aku bernazar kepada al-Rahman untuk berpuasa, lantas aku tidak akan bercakap pada hari ini dengan sesiapa pun." Surah Maryam ayat 26

Nabi SAW turut mengajarkan perkara yang sama dengan sabdanya: "Apabila orang yang berpuasa itu dihina atau diugut untuk dibunuh maka dia mengatakan: Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Hadis Riwayat Muslim

Ketiga-tiga bahagian hidup Nabi Daud ini menggambarkan kepada kita puasa memberi kesan dan manfaat yang besar kepadanya bahkan mengangkat darjat baginda dengan sebaik-baik darjat.

Allah berfirman: "Dan ingatkanlah kepadanya tentang hamba Kami, Daud yang memiliki ketaatan yang kuat, sesungguhnya dia orang yang kembali kepada Kami." Surah Sad ayat 17

Menerusi ayat lain, Allah SWT berfirman: "Wahai Daud, Kami jadikan kamu khalifah di muka bumi." Surah Sad ayat 26

"Dan Allah berikannya kerajaan dan hikmah serta mengajarkan apa sahaja yang dikehendaki-Nya." Surah al-Baqarah ayat 251

Oleh kerana kelebihan puasa sangat besar, Allah SWT mewajibkan ke atas manusia melaksanakannya kerana setiap daripada mereka tidak terlepas daripada menjadi pemimpin atau ahli ibadat atau mangsa fitnah. Bagi umat Islam, dengan menghayati ibadat puasa dan melaksanakannya, nescaya kita terselamat daripada tipu daya hawa nafsu dan kejahatan orang yang zalim di samping mendekatkan jarak kehambaan kita kepada Allah SWT. Di akhirat pula, kita akan diganjari dengan ganjaran yang sangat besar di sisi-Nya.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 5:59 AM