Amirulhakim Ahmad Nadzri

Ramadan bulan yang diberkati, bulan ibadat dan penghulu segala bulan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW akan bergembira apabila menjelangnya Ramadan dan mengajak sekalian sahabat untuk melakukan ibadat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan penuh berkat, bulan yang Allah mewajibkan berpuasa. Pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu Jahannam ditutup, syaitan dibelenggu. Pada bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa terhalang daripada mendapat kebaikan pada bulan ini, sesungguhnya dia telah terhalang daripada kebaikan." (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Ramadan bulan yang mulia bagi umat Islam. Hal ini kerana terdapat banyak kelebihan dan tawaran yang teristimewa daripada Allah SWT kepada hambanya. Lazimnya, apabila datangnya Ramadan, kita akan meletakkan pelbagai perancangan dan keazaman untuk meningkatkan kualiti serta kuantiti amal ibadah. Perkara ini adalah demi menyahut seruan menghidupkan Ramadan itu sendiri. Menghidupkan Ramadan perlulah dilakukan bersungguh-sungguh sepertimana sabdaan baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Al-Hafiz ibn Hajar berkata ketika memberi makna 'barangsiapa yang menghidupkan Ramadan' adalah dengan menghidupkan malamnya dengan bersolat. Beliau juga menyebut bahawa Imam Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadan adalah dengan solat Tarawih. Menghidupkan Ramadan bukanlah satu perkara yang wajib, ia hanya sunah yang dituntut.

Namun begitu, amatlah malang bagi kita jika sama sekali tidak merebut peluang untuk menghidupkan Ramadan sedangkan kita telah diberikan oleh Allah SWT dengan pelbagai nikmat dan kesihatan untuk memenuhi saranan ini.

Antara amalan yang boleh dikongsikan dalam ruangan kali ini adalah seperti berikut:

Pertama, adalah memperbanyakkan membaca al-Quran. Ramadan bulan diturunkan al-Quran yang menjadi panduan kepada umat Islam seperti terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian umat manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan."

Diriwayatkan juga bahawa Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi Muhammad SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Selain itu juga, para salaf mendahulukan membaca al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam dalam masa tiga hari, sebahagian tujuh hari dan sebahagian 10 hari.

Kedua, amalan menghidupkan Ramadan adalah memberi makan kepada orang yang berbuka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurang sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan al-Darimi)

Amalan ini boleh dilakukan dengan menaja mana-mana organisasi yang menyediakan program berbuka puasa atau boleh juga kita lakukan mengikut kemampuan kita seperti memberikan air, buah tamar, atau apa saja termampu kepada untuk diberi kepada orang yang berpuasa.

Ketiga, adalah bersungguh-sungguh dalam berpuasa pada siang hari. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa memang pada siang hari sepanjang Ramadan adalah diwajibkan kita untuk berpuasa.

Namun berpuasa hendaklah dihayati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bukan sambil lewa. Ramai orang yang berpuasa, namun puasa mereka adalah sia-sia. Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Keempat, amalan yang boleh kita amalkan untuk menghidupkan Ramadan adalah mengerjakan solat Tarawih sepertimana yang telah disampaikan sebelum ini. Solat sunat ini hanya dikhususkan pada Ramadan sahaja dan tiada pada bulan yang lain. Solat ini hendaklah didirikan selepas solat fardu Isyak sama ada sendiri ataupun berjemaah. Namun sangat dianjurkan berjemaah seperti dalam hadis baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berdiri (bersolat Tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Kesimpulannya, Ramadan adalah bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Penuhilah ia dengan pelbagai amalan yang dapat menghidupkannya dan tidak terhad kepada empat amalan dikongsikan dalam artikel ini sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk mengambil peluang menghidupkan Ramadan dengan amalan yang baik dan seterusnya Allah SWT menerima segala amalan kita lakukan itu.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 6:00 AM