MENGHAYATI tafsir Surah al-Ikhlas akan menambahkan keimanan kepada Allah.
MENGHAYATI tafsir Surah al-Ikhlas akan menambahkan keimanan kepada Allah.
Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

Siri akhir

Alhamdulillah, minggu ini adalah siri akhir dalam kita mengupas isu berhubung kitab Al-Insan Al-Kamil karangan Sheikh Abdul Karim al-Jili. Menyambung perbincangan pada siri lalu, Mulla Ali al-Qari dalam Sharh al-Mishkat (no 5596), beliau menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW layak bernama dengan nama Awwal, Akhir, Zahir dan Batin disebabkan baginda SAW menerima tajali yang sempurna padarpadai Allah Taala (fa huwa al-awwal wa al-akhir wa al-zahir wa al-batin wa huwa mazhar al-kull al-mu'abbar 'anhu bi annahu mazhar al-jami' al-musamma billah).

Beliau juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW yang juga Mukmin Kamil adalah yang terutama dalam menerima penzahiran kesempurnaan daripada Allah Taala maka Baginda SAW adalah cermin yang teragung dalam menzahirkan sifat keindahan-Nya kemudian diikuti oleh sekalian nabi dan wali Allah kemudian diikuti oleh orang Mukmin lain berdasarkan martabat masing-masing yang berbeza-beza umpama cermin yang banyak memantulkan atau menunjukkan kepada Zat Maha Esa bernama al-Mu'min sesuai dengan hadis berbunyi: 'al-Mu'min mir'at al-Mu'min' yang bermaksud 'Mukmin adalah cerminan al-Mu'min.' Mirqat al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masabih, j.9, Bab al-Shafaqah wa al-Rahmah 'ala al-Khalq, hadis no 4985

Imam Ibnu Atiyyah (wafat 546H/1151M) dalam kitab tafsirnya, al-Muharrar al-Wajiz ketika mentafsirkan firman Allah Taala mengenai peristiwa Israk wa Mikraj menyebutkan bahawa antara maksud yang boleh diertikan dengan ayat ini ialah Allah Taala memperjalankan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk wa Mikraj agar manusia melihat dengan mata hati bahawa Baginda SAW adalah Ayat Ilahi (tanda kebesaran Allah) yang teragung.

Oleh kerana itu ayat yang berikutnya terdapat isyarat yang halus dan mendalam bahawa damir huwa (kata ganti dia) pada ayat 'innahu huwa' (sesungguhnya dia) kembali kepada Nabi Muhammad SAW maka yang dimaksudkan dengan al-Sami' (amat mendengar) dan al-Basir (amat melihat) ialah merujuk kepada Nabi Muhammad SAW yakni Baginda SAW mendengar segala pendustaan orang kafir terhadap peristiwa Israk wal Mikraj dan lihat perbuatan mereka terhadap Rasulullah SAW.

Bersangkutan hal itu, Imam Abu al-Baqa' al-Ukbari al-Baghdadi (wafat 616H/1219M) dalam al-Tibyan fi I'rab al-Qur'an (Surah al-Isra', ms811) menyatakan bahawa daripada segi bahasa Arab, damir huwa boleh kembali kepada dua marja' (tempat kembali) iaitu Allah Taala dan Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud: "Sesungguhnya dia amat mendengar Kalam Kami dan yang amat melihat Zat Kami (innahu huwa al-sami' li kalamina wa al-basir li dhatina)."

Sehubungan itu, Imam al-Tibi (wafat 743H/1342M) dalam kitab tafsirnya Futuh al-Ghayb: al-Hashiyah ala al-Kashshaf (Muqaddimah Surah al-Isra' dan ayat pertama Surah al-Isra') menyatakan bahawa damir huwa daripada segi bahasa boleh kembali kepada Allah Taala dan juga kepada Nabi Muhammad SAW. Rahsia di sebalik bolehnya huwa kembali kepada dua marja' ialah ia menjadi isyarat kepada keistimewaan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia yang paling sempurna menerima penzahiran pendengaran dan penglihatan Allah sebagaimana di sebutkan dalam Hadis Qudsi bahawa Allah Tabaraka wa Taala berfirman: "Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat."

Tafsiran Surah al-Ikhlas yang dibuat oleh Sheikh al-Jili dalam kitabnya Al-Insan Al-Kamil tidak pernah dijumpai dalam mana-mana tafsir sebelumnya hatta tidak terdapat dalam mana-mana kitab tafsir isyari yang lain. Mengapa tidak memadai hanya menggunakan tafsiran Surah al-Ikhlas daripada kitab tafsir Muktabar seperti Tafsir Tabari, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain?


Jawapan:

Dalam menggali kefahaman daripada ayat al-Quran, tidak disyaratkan bahawa tafsir itu mesti sudah termaktub dalam tafsir sebelumnya kerana rahsia kefahaman ayat al-Quran akan terus digali sehingga hari kiamat. Selagi kefahaman atau tafsir isyari itu tidak menyalahi al-Quran dan sunah maka tidak ada penghalang untuk menerima kefahaman tersebut dengan syarat tidak berkeyakinan bahawa sesuatu ayat al-Quran itu hanya bermaksud dengan kefahaman yang dibukakan kepadanya.

Sheikh al-Mubarakfuri (RAH) dalam Tuhfah al-Ahwadhi menukilkan kalam Imam al-Naysaburi daripada tafsirnya bahawa beliau mengatakan bahawasanya sahabat Rasulullah SAW mentafsirkan al-Quran dan mereka berselisih dalam penafsiran masing-masing yang bukan semua pentafsiran diberikan adalah daripada apa mereka dengar daripada Rasulullah SAW kerana jika mereka mesti mentafsirkan hanya menurut apa yang mereka dengar daripada Baginda SAW maka pengkhususan takwil yang didoakan Rasulullah SAW buat Saidina Ibnu Abbas RA akan hilang kepentingannya. Menurut beliau, jenis takwil yang dilarang ialah yang dilakukan dengan hawa nafsu atau dilakukan dalam keadaan menolak tafsiran zahir.

Saya bersepakat dengan pandangan bahawa tafsiran Surah al-Ikhlas yang perlu diajarkan kepada masyarakat awam ialah sebagaimana yang terdapat dalam tafsir muktabar. Demikian adalah kerana tafsiran surah itu dalam kitab Al-Insan Al-Kamil sepatutnya hanya dibincangkan dalam keadaan tertutup bersama ahlinya atau dalam majlis yang khusus kerana ia perbincangan tasawuf irfani peringkat tinggi yang boleh disalah faham jika orang tidak berkeahlian cuba untuk membacanya sendiri tanpa panduan. Lebih-lebih lagi kitab Al-Insan Al-Kamil adalah kitab tasawuf bukan kitab tafsir.

Oleh itu, ia tidak sepatutnya didedahkan di mimbar masjid dan surau kepada masyarakat awam melainkan untuk memberi penjelasan dan pencerahan kerana tafsiran Surah al-Ikhlas daripada tafsir muktabar adalah cukup memadai buat mereka.

Adapun faktor yang menyebabkan tafsiran Surah al-Ikhlas oleh Sheikh al-Jili kebelakangan ini timbul bukan kerana ada yang mengajarnya kepada masyarakat awam, akan tetapi ia bermula apabila pada tahun lalu ada pihak yang memuat naik video memaparkan perbincangan kitab itu oleh Sidi Rohimuddin di Aceh. Sedangkan majlis itu adalah perjumpaan ulama tasawuf dan tarekat dan saya sendiri hadir dalam majlis berkenaan.

Bagaimanapun, saya tetap yakin pasti ada hikmah di sebalik aturan Allah yang indah ini untuk kita manusia mengambil pelajaran dan iktibar.


Penulis Pengerusi Pertubuhan Al-Isyraq

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:00 AM