GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Iqbal Zain Al-Jauhari 

Siri 1

Sebagai permulaan kepada siri pertama dalam kupasan berhubung kitab Al-Insan Al-Kamil, perlu ditelusuri dahulu berhubung siapa pengarangnya, ulama yang mensyarahkan kitab ini dan bagaimana letak duduknya kitab ini di sisi ulama muktabar.

Kitab Al-Insan Al-Kamil adalah karangan Sheikh Abd al-Karim al-Jili (meninggal 832H/1424M) yang berasal dari Baghdad, Iraq keturunan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani yakni bersusur galur kepada Sayyidina Hasan bin Ali bin Abi Talib RA. Ulama sufi menggolongkan kitab ini kepada perbincangan aras tinggi dalam Tasawuf Irfani.

Kitab ini tersebar ke seluruh pelosok dunia Islam dan sehingga saat ini ia berada dalam arena keilmuan Islam selama 600 tahun lamanya. Ia dibaca dan dikaji oleh ramai ulama muktabar bahkan ada yang mensyarahkannya termasuk Imam Abd al-Ghani al-Nabulsi (meninggal 1143H/1733M) dengan kitabnya Kashf al-Bayan, Sharh Ali Zadah Abd al-Baqi ibni Ali dan Sharh Imam Ali ibni Hijazi al-Bayyumi (meninggal 1183H/1769M).

Di Alam Melayu pula, faham Insan Kamil disyarahkan oleh Sheikh Yusuf al-Makassari (meningga 1699M) dalam kitabnya berjudul Zubdah al-Asrar, Taj al-Asrar dan Matalib al-Salikin. Sementara di India, Imam Ahmad Sirhindi (meninggal 1624M) mensyarahkan faham Insan Kamil sebagaimana penulisan beliau mengenainya terhimpun dalam al-Maktubat.

Di Yaman pula, faham Insan Kamil dikhidmati oleh Sheikh Abu Bakar bin Salim dengan kitabnya Mi'raj al-Arwah.

Kitab Insan Kamil juga ditahqiq oleh ramai ilmuwan Islam antaranya Sheikh Dr Abd al-Baqi Miftah al-Jaza'iri, Sheikh Dr Asim Ibrahim al-Kayyali, Sheikh Dr Abd al-Rahman al-Shi'ar, Sheikh Dr Abu Abd al-Rahman Salah ibni Muhammad Uwaydah dan Sheikh Dr Fatin Muhammad Khalil.

Kitab Insan Kamil diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Urdu yang dibuat oleh Mawlana Zahir Ahmad al-Sahwani dan ke bahasa Melayu oleh Shaykh Abdullah bin Abd al-Qahhar al-Bantani.

Dalam pengalaman sejarah di Alam Melayu sendiri, dicatatkan bahawa faham Insan Kamil pernah diinstitusikan sebagai inti pati pendidikan dan hala tuju kerajaan. Antaranya ialah Sultan Banten yang ke-4 dan ke-5 iaitu Sultan Abu al-Mafakhir Mahmud Abd al-Qadir (1596M-1651M) serta Sultan Abu al-Ma'ali Ahmad apabila mereka memerintahkan kitab Insan Kamil karangan Shaykh al-Jili ini dimiliki, disalin dan diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan.

Ulama yang digalaskan tanggungjawab terjemahan kitab itu ialah seorang ilmuwan yang berprofil tinggi iaitu Sheikh Abdullah bin Abd al-Qahhar al-Jawi al-Bantani.

Sejak itu, kitab Insan Kamil dibuat pengajian di dalam Masjid Hasanuddin Banten dan ia berlangsung selama ratusan tahun oleh ulama yang layak pada setiap era. Kedatangan Sheikh Yusuf al-Makassari ke Banten menyebabkan kitab tersebut menjadi lebih masyhur dan kukuh.

Baginda Sultan Abu al-Mafakhir juga menitahkan untuk diajar kitab Insan Kamil di dalam istana dan kefahamannya ditekuni oleh baginda sehingga terkenal sebagai seorang sultan yang adil dan soleh.

Baginda pernah berutus surat dengan pengarang Dalil al-Falihin, Sheikh Ibnu 'Allan di Makkah untuk menanyakan hal ehwal hakikat dan makrifat sehingga Sheikh Ibnu 'Allan menulis sebuah kitab khusus untuk menjawab pertanyaannya yang berjudul al-Mawahib al-Rabbaniyyah Fi Jawab al-As'ilah al-Jawiyyah.

Jawapan yang diberikan kepada pengganti kepada Sultan Abu al-Mafakhir iaitu Sultan Abu al-Ma'ali pula ialah kitab berjudul Raf'u al-Hijab 'an 'Ara'is al-Khamsah al-Abwab. Dengan sebab jawapan balas itu membuatkan kedua-dua sultan itu semakin kuat ikatan dengan kitab Insan Kamil dan kitab makrifat yang lain.


Menjawab Kekeliruan

Baru-baru ini terdapat pihak yang menimbulkan suatu kemusykilan mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas yang terdapat dalam kitab Insan Kamil dengan tuduhan Sheikh al-Jili mentafsirkan Nabi Muhammad SAW itu adalah Allah Yang Maha Esa. Adakah benar tuduhan sedemikan?

Sepanjang kitab ini tersebar dalam kalangan ulama Islam, ini adalah kali pertama kemusykilan mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas dalam kitab Insan Kamil ditimbulkan. Hal berkenaan seolah-olah menunjukkan seluruh ulama yang membaca dan mengkaji kitab itu selama 600 tahun bersepakat untuk mendiamkan diri terhadap kemusykilan itu.

Lebih-lebih lagi, antara yang memberi tumpuan kepada faham Insan Kamil adalalah Mujaddid Alfi Thani, Imam Ahmad al-Sirhindi (1034H/1624M), sedangkan untuk beliau mendiamkan diri terhadap perkara itu adalah sesuatu yang mustahil. Bahkan dalam al-Maktubat beliau menyokong faham Insan Kamil dan menghuraikannya dengan terperinci.

Selain itu, antara ulama yang menyokong faham Insan Kamil sebagai cerminan Allah Taala adalah Mulla Ali Qari (meninggal 1014H/1605M) sebagaimana yang tertuang dalam kitabnya seperti al-Mirqat Sharh al-Mishkat, al-Ma'din al-'Adani fi Fadli Uways al-Qarni dan Tafsir Anwar al-Qur'an wa Asrar al-Furqan adalah bukan sesuatu yang tersembunyi lagi. Kedudukan beliau sebagai Nāsir al-Sunnah wa Qāmi'u al-Bid'ah (Penolong Sunah dan Pembasmi Bidaah) tidak mungkin berdiam diri terhadap perkara itu sedangkan beliau terkenal sebagai ilmuwan yang lantang membantah fahaman menyeleweng daripada akidah Islam.

Kitab Insan Kamil pertama kali diterjemah ke bahasa Melayu adalah dilakukan oleh seorang ulama yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk akidah iaitu Sheikh Abdullah bin Abdul al-Qahhar al-Bantani (meninggal 1660M) dan tidak mungkin beliau mendiamkan diri jika maksud sebenar teks kitab itu menjurus kepada Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan Yang Maha Esa.

Pensyarah yang paling aktif kepada faham Insan Kamil di Alam Melayu iaitu Sheikh Yusuf al-Makassari yang keilmuannya diiktiraf di seluruh Alam Melayu dan Afrika Selatan, mustahil beliau tidak menyinggung mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas itu jika ia benar-benar menyeleweng.

Penterjemah kitab Insan Kamil ke dalam bahasa Urdu adalah seorang ulama Deobandi iaitu Mawlana Zahir Ahmad al-Sahwani (meninggal 1908M), juga tidak masuk akal beliau hanya membiarkan sahaja tafsiran Surah al-Ikhlas itu seandainya ia benar-benar pemesongan dalam memahami al-Quran. Bahkan tiada seorang pun ulama Deobandi yang menentang kitab itu. Sedangkan menjadi kebiasaan ulama Deobandi mengkritik hatta sekecil perkara yang ternyata bercanggah daripada ajaran al-Quran dan sunah.

Jelas bahawa hal di atas membuktikan kitab Al-Insan Al-Kamil diterima oleh ulama secara 'ijmak sukuti' yakni diamnya majoriti ulama terhadap kitab berkenaan bersesuaian dengan hadis yang menyebut 'Umatku tidak berhimpun di atas kesesatan.'

Oleh yang demikian, tuduhan yang mengatakan kitab Insan Kamil menyelewengkan Surah al-Ikhlas adalah tidak benar sama sekali. Jangankan ulama besar, saya sendiri yang hanya 'debu kecil' ini pasti meninggalkan kitab Insan Kamil dan tidak akan mempertahankannya sama sekali jika ia benar-benar mengajarkan elemen penuhanan Nabi Muhammad SAW.

Tambahan pula, ia menyentuh sesuatu yang menjadi akidah yang paling asas dan bersifat fundamental dalam hal ketuhanan. Namun kita tidak jumpa perkara yang dituduh sebagai menyeleweng itu, sebaliknya apa yang dijumpai ialah penekanan yang lebih mendalam terhadap keesaan Allah Taala.

Setakat pembacaan kami, belum pernah dijumpai mana-mana ulama muktabar yang menulis kitab khusus sebagai kritikan (radd) terhadap kitab Insan Kamil karangan Shaykh al-Jili, apatah lagi tafsiran Surah al-Ikhlas di dalamnya. Demikian adalah kerana kandungan kitab Insan Kamil sama sekali tidak mendakwa Nabi Muhammad SAW itu adalah Tuhan bahkan tiada seorang ulama pun yang membaca tafsiran Surah al-Ikhlas dalam kitab itu lalu memahami bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah Tuhan. Nauzu billah min zalik.

Pada ruangan minggu ini, cukup sekadar itu dahulu kupasan dan beberapa persoalan lain akan dirungkaikan dalam siri kedua minggu hadapan pada hari sama, insya-Allah.

 


Penulis Pengerusi Pertubuhan Al-Isyraq

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:40 PM