Oleh Zamihan Mat Zain

Golongan yang mempercayai bahawa membicarakan sifat sama seperti membicarakan zat, tidak akan menganggap sedemikian melainkan dengan menetapkan suatu kadar, ukuran, batasan, gambaran, keanggotaan dan seumpamanya bagi zat Allah.

Hal ini kerana tanpa semuanya itu zat Allah tidak difahami sama sekali oleh mereka seperti sifat Allah yang boleh difahami melalui konteks dan keterkaitannya.

Oleh kerana itu, Syeikh Ibnu Taimiyyah dalam Risalah at-Tadammuriyyah menetapkan dua jenis bagi sifat Allah iaitu sifat maknawi dan sifat a’yaan (keanggotaan) bagi zat Allah.

Menurutnya, tanpa keanggotaan bagi zat Allah, seseorang tidak boleh membicarakan zat Allah sama sekali. Ia dikiaskan seperti seseorang membicarakan sifat Allah yang maknawi.

Sebenarnya istilah ini sengaja direka cipta bagi mengelirukan umat Islam dan memasukkan ke dalam dada mereka versi akidah tajsim yang menyeleweng. Justeru, berwaspadalah wahai pembaca budiman!

Tajsim dalam kitab Akidah Ahli al-Iman Fi Khalqi Adam ala Surat al-Rahman

Kitab karangan Syeikh Hamud bin Abdullah al-Tuwaijri ini secara terang-terangan mendakwa Allah menciptakan Nabi Adam mengikut rupa bentuk Allah.

Beliau cuba meyakinkan pembaca bahawa rupa bentuk manusia itu sebenarnya terhasil daripada rupa bentuk Allah. Nukilan ini kemudiannya dinukil oleh pendakwah Wahabi seluruh dunia.

Sesungguhnya Maha Suci Allah daripada memiliki rupa bentuk sebagaimana bentuk manusia. Kenyataan ini sebenarnya bertentangan dengan al-Quran iaitu surah al-Syura ayat 11 dan surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4 dan lain-lain. Berhati-hatilah!

Tajsim dalam kitab Dr Aidh Abdullah al-Qarni (versi terjemahan)

Dalam kitab ini ada tertera Allah bersemayam di atas arasy sedangkan bersemayam menurut Kamus Dewan bermaksud duduk atau tinggal sebagai satu kediaman atau mendiami sesuatu tempat.

Maha Suci Allah daripada bersifat duduk atau menetap di atas arasy. Subhanallah!

Penyelewengan akidah tajsim dalam kitab Yang Benar Mazhab al-Syafie Bukan Wahhabi karangan Rasul Dahri

Menerusi kitab ini, Rasul Dahri mendakwa: “Bagi-Nya (Allah) dua tangan, tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka, Dia mempunyai jari, mempunyai muka, kepala, telinga, kaki.”

Beliau juga mendakwa Allah bersemayam di atas arasy dengan Zat-Nya, Allah mempunyai zat ‘Jisim’.

Sebenarnya dakwaan ini dikutip beliau daripada kitab ulama al-Hanabilah al-Mujassimah.

Imam Ibnu Jauzi menjelaskan bahawa golongan yang menetapkan anggota badan bagi Allah sebagai golongan tajsim yang mencemarkan mazhab Hanbali dan menentang ijmak ulama Ahli Sunah Waljamaah.

Tambahan pula, dakwaan Rasul Dahri ini bertentangan dengan surah al-Syura (ayat 11), surah al-Ikhlas (ayat 4), surah al-Isra (ayat 111) dan konsep Tasbih yang menetapkan sifat salbiah berasaskan konsep: Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk.

Seterusnya unsur tajsim dalam Terjemahan al-Quran Bahasa Indonesia. Ketika menafsirkan ayat Kursi yakni ayat 255 surah al-Baqarah, pengarangnya ataupun sekretariatnya membawakan perselisihan ulama tafsir mengenai maksud kursi.

Sesetengah ulama mengertikan kursi ialah ilmu Allah dan sebahagian lagi memaksudkan sebagai kekuasaan Allah. Sememangnya inilah pandangan sahih daripada ulama tafsir.

Namun, ada penyelewengan di sini apabila penterjemahnya mentarjihkan yang dimaksudkan kursi dalam ayat berkenaan ialah satu tempat bagi Allah meletak telapak kaki-Nya.

Terjemahan al-Quran dicetak sebelum ini tidak mengandungi maksud tajsim, tetapi cetakan terbaru (2009 ke atas) jelas cuba mengubah maksud terjemahan asal dan mempromosi akidah tajsim. Berhati-hatilah! - Bersambung

Penulis Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:07 AM