PUASA tidak boleh dicemari dengan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana ia akan menjejaskan kualiti ibadah itu. FOTO Arkib NSTP
PUASA tidak boleh dicemari dengan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana ia akan menjejaskan kualiti ibadah itu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Puasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang sangat istimewa. Terdapat banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan. Keistimewaan ibadah puasa dapat difahami apabila ia merupakan ibadah yang akan dikurniakan ganjaran oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: "Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku. Dan Aku (Allah) sendiri yang akan mengurniakan ganjarannya." (Hadis riwayat al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan keistimewaan ibadah puasa yang dikurniakan pahalanya oleh Allah SWT sendiri. Ternyata penilaian terhadap ibadah puasa hanya diketahui oleh-Nya.

Dalam keadaan ramai orang berpuasa, perlu diketahui bahawa kualiti pelaksanaan ibadah ini berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya bergantung kepada empunya diri yang sepatutnya menjaga setiap perlakuan sepanjang berpuasa. Puasa bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum sahaja.

Ada orang mungkin memahami bahawa puasa itu cukup sekadar tidak makan dan tidak minum di siang hari di bulan Ramadan. Pemahaman sebegini perlu diperbetulkan bagi menyedarkan diri untuk menjaga tingkah laku semasa berpuasa.

Bahkan Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang wujudnya golongan manusia yang berpuasa, namun tidak mendapat sebarang ganjaran daripada ibadahnya. Orang sebegini hanya dapat merasai lapar sahaja tanpa memperoleh ganjaran pahala.

"Berapa ramai orang yang berpuasa dengan hasil daripada puasanya (hanya) lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ahmad)

Peringatan Rasulullah SAW tentang kerugian yang menimpa orang berpuasa namun tidak mendapat sebarang pahala ini perlu diambil perhatian serius oleh semua umat Islam. Keadaan ini pasti mempunyai perkaitan dengan tingkah laku sepanjang berpuasa.

Antara perkara yang boleh merosakkan ibadah puasa ialah berdusta dalam pertuturan seharian. Mungkin ada orang yang sudah menjadi sebahagian daripada perilakunya ialah berkata dusta. Maka dengan berpuasa sepatutnya ia dapat menjauhkan diri seseorang daripada berdusta.

Boleh jadi pendustaan dibuat dalam suasana gurauan. Namun perlu disedari bahawa perbuatan berdusta tetap dihukumkan haram di sisi Islam meskipun dalam gurauan. Jelaslah bahawa ibadah puasa bukan sahaja melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT sahaja, tetapi juga hubungan manusia sesama manusia. Orang yang berdusta sebenarnya tidak mengasihi orang lain kerana sanggup menutup kebenaran dan membiarkan orang lain berada dalam kekeliruan.

Allah SWT tidak memandang amalan puasa orang yang berdusta. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta, dan mengamalkannya, maka Allah tidak mengurniakan ganjaran atas usahanya menahan rasa lapar dan dahaga (berpuasa)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Saidina Umar al-Khattab menyebut: "Bukanlah puasa itu hanya menahan diri daripada minum dan makan sahaja, tetapi puasa juga menahan diri daripada pendustaan, kebatilan dan perkara yang sia-sia."

Pelaksanaan ibadah puasa juga perlu disekalikan dengan ibadah fardu yang lain. Dalam konteks ini, ibadah solat fardu wajib ditunaikan oleh orang yang berpuasa. Solat adalah tiang agama. Sudah pasti orang yang berpuasa tanpa menunaikan solat tidak akan mendapat pahala sepertimana orang lain yang berpuasa dan menunaikan solat fardu.

Firman Allah SWT bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Orang yang berpuasa juga diwajibkan mematuhi perintah Allah SWT sepertimana dituntut di luar daripada bulan Ramadan. Contohnya suruhan agar setiap orang Islam memelihara aurat masing-masing. Perintah ini masih berjalan apatah lagi ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa.

Bayangkan jika di luar bulan Ramadan, ada kalanya diri tidak langsung berada dalam keadaan beribadah. Namun sepanjang siang hari di bulan Ramadan, seseorang yang berpuasa sedang melakukan ibadah. Ditambah pula dengan ibadah sunat yang lain pada waktu malam. Justeru, orang yang sedang berpuasa perlu sedar tentang keperluan mematuhi setiap perintah Allah SWT.

Perintah menutup aurat dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…" (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang lain turut perlu diawasi daripada melakukan perkara yang diharamkan. Orang yang berpuasa perlu menjaga tangannya daripada mengambil hak orang lain. Tangan juga perlu diawasi daripada menulis perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa terutama menerusi media sosial. Bukan sahaja mulut perlu ditutup daripada menuturkan perkara dosa, tetapi tangan juga perlu dijaga daripada menulis perkataan-perkataan yang mengundang dosa dan sia-sia.

Mata juga perlu dijaga agar tidak melihat perkara-perkara dosa. Dengan adanya telefon pintar, amat mudah untuk setiap orang melihat apa sahaja yang dihidangkan dalam internet. Inilah peranan puasa yang sebenarnya dapat mengawal diri daripada terjebak dalam maksiat mata.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nur, ayat 30)

Begitu juga dengan kaki yang boleh digunakan untuk pergi ke mana sahaja. Jangan gunakan kaki kurniaan Allah SWT untuk menuju ke tempat yang dilarang oleh Allah SWT ataupun tempat yang boleh menyebabkan diri terjebak dalam kemaksiatan. Sebaliknya, gunakanlah kaki untuk menuju ke tempat yang boleh mendatangkan pahala ketika diri sedang berpuasa.

Bulan Ramadan adalah masa yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita menggandakan amalan pada waktu siang dan malam. Peluang ini hanya datang sebulan dalam tempoh setahun. Allah SWT mensyariatkan ibadah puasa dalam bulan Ramadan dengan garis panduan yang cukup jelas.

Puasa tidak hanya berkaitan larangan makan dan minum di siang hari, tetapi ia turut menuntut agar diri terus melaksanakan ibadah fardu yang juga satu keutamaan iaitu solat. Puasa juga tidak boleh dicemari dengan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana ia akan menjejaskan kualiti ibadah.

Penulis pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:02 AM