PASANGAN suami isteri Nik Kob Said dan  Zaharah Mat Akhoya   menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa anak-anak selepas  kerajaan menetapkan larangan pergerakan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman bagi membendung penularan Covid-19. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PASANGAN suami isteri Nik Kob Said dan Zaharah Mat Akhoya menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa anak-anak selepas kerajaan menetapkan larangan pergerakan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman bagi membendung penularan Covid-19. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Shahrizal Nasir


KALI ini kita meraikan Aidilfitri dengan sedikit kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Semua orang merasai kelainan ini. Malah ada orang yang saban tahun meraikan hari raya bersama keluarga di kampung, namun buat pertama kalinya mereka meraikan lebaran di rumah sendiri.

Kebiasaannya umat Islam memenuhi masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, namun tahun ini solat sunat itu ditunaikan di rumah bersama keluarga sahaja. Apa juga situasinya, hari raya perlu diraikan dengan kegembiraan sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

Dalam keadaan semua orang masih menikmati suasana hari raya, maka sentiasa ingat kita dituntut untuk mensyukuri nikmat Allah SWT. Memang benar sekarang ini kita masih berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membataskan banyak aktiviti rutin hari raya. Bagaimanapun, keadaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam berasa sedih, lemah, tidak bersemangat dan seumpamanya kerana hari raya adalah satu bentuk nikmat kurniaan Ilahi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur."  (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ayat al-Quran ini menjelaskan perintah agar umat Islam mengagungkan Allah SWT atas segala petunjuk dan nikmat yang dikurniakan-Nya. Setiap umat Islam perlu sedar keberadaan mereka sepanjang Ramadan lalu adalah satu nikmat besar daripada Allah SWT. Hakikatnya tidak semua insan dianugerah nikmat berada dalam Ramadan kali ini.

Peluang menghidupkan bulan Ramadan dengan ibadah puasa di waktu siang dan solat sunat Tarawih serta tadarus al-Quran di waktu malam juga adalah antara nikmat kurniaan Allah SWT yang sangat bermakna. Ganjaran berlipat kali ganda ditawarkan serta yang paling utama keampunan daripada Allah SWT untuk setiap hamba-Nya yang melakukan puasa dan beribadah dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya.

Semua nikmat itu mewajarkan umat Islam mengingati Allah SWT serta mengagungkan-Nya setelah Ramadan berlalu. Perbuatan ini adalah petanda jelas seseorang itu mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi dan termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur.

Oleh itu, usah jadikan suasana PKPB ini dengan segala peraturan yang mengehadkan pergerakan sebagai penghalang untuk kita menzahirkan kegembiraan berhari raya. Sebenarnya kitalah yang berperanan untuk mencipta suasana gembira menyambut hari raya dalam keluarga masing-masing.

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kata tentang hari raya:  "Bukanlah hari raya semata-mata mengenakan pakaian baharu, tetapi hari raya sebenarnya ialah apabila ketaatan (kepada Allah) semakin bertambah."  Ini juga satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh kita. Kedatangan bulan Syawal adalah detik penting menilai diri sama ada ketaatan kepada Allah SWT semakin bertambah atau sebaliknya.

Sebenarnya tarbiah daripada madrasah Ramadan sudah cukup untuk mendidik jiwa setiap insan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT. Namun jika kehidupan seseorang yang telah melepasi madrasah Ramadan sama sahaja seperti kehidupan sebelumnya, maka pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan diri.

Ibadah puasa serta segala amal ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan sepatutnya menggalakkan diri untuk melakukan lebih banyak ketaatan kepada Allah SWT. Ketaatan inilah yang menjadi petunjuk tercapainya objektif pensyariatan ibadah puasa Ramadan iaitu untuk menjadi insan bertakwa.

Firman Allah mengenai ibadah puasa bermaksud:  "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."  (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Kegembiraan menyambut Aidilfitri juga perlu diserikan dengan pelaksanaan ibadah yang ditunaikan oleh Rasulullah SAW. Usah ada yang merasakan dirinya telah 'merdeka' daripada  ibadah puasa setelah berlalunya Ramadan. Kita dianjurkan oleh Islam untuk menunaikan satu ibadah sunat yang berkaitan dengan puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari dalam bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun."  (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya  yang mensyarahkan Sahih Muslim bermaksud:  "Para ulama berpendapat bahawa puasa enam setara dengan puasa setahun kerana satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Puasa sebulan Ramadan sama dengan puasa sepuluh bulan, manakala puasa enam pula sama dengan berpuasa dua bulan."

Kegembiraan meraikan Aidilfitri perlu dizahirkan dengan mensyukuri nikmat Allah SWT serta membesarkan-Nya dengan zikir, takbir, tasbih dan tahmid. Di samping itu, meneruskan tarbiah madrasah Ramadan dengan melakukan amal ibadah selepas berakhirnya bulan mulia tersebut juga sepatutnya dijadikan agenda kehidupan setiap muslim kerana itulah sebenarnya yang dituntut Islam dan matlamat hidup kita.

Penulis adalah pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:45 AM