SESIAPA yang melepaskan kesusahan seseorang di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat.
SESIAPA yang melepaskan kesusahan seseorang di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua hambanya adalah berbeza-beza. Ada mereka yang dillimpahkan harta dengan begitu banyak, ada yang dikurniakan anak ramai dan ada pula yang dikurniakan kebahagiaan berpanjangan. 

Namun, tidak semua yang diperoleh itu dapat menggembirakan hati setiap insan. Walaupun, harta melimpah ruah, kadang-kadang hati sentiasa dalam kegusaran. Walaupun anak ramai, harta cukup-cukup makan, namun tetap mencukupi. Walaupun tidak menikmati kesenangan namun hati sentiasa ceria dan wajah berseri. 

Setiap manusia inginkan kesenangan dan harta yang banyak. Dengan harta tersebut, sebenarnya mampu membuka pintu kebaikan yang cukup luas. Harta di sini bukanlah merujuk kepada mereka yang kaya harta semata-mata, bahkan mereka yang mempunyai harta sedikit juga turut mempunyai peluang berbuat kebaikan dengan kadar tertentu.

Sungguh beruntung bagi mereka yang berusaha menjadikan rezeki yang diperoleh sebagai jalan membuat kebaikan seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Terdapat banyak jalan yang boleh dipilih bagi memastikan rezeki yang diperoleh dapat dikongsi bersama. Dalam masa sama, ganjaran yang berganda menanti mereka daripada Allah SWT.

Pertama, infaq kepada pembinaan masjid dan pusat pengajian. Hari ini pembinaan surau, masjid dan pusat pengajian memerlukan pembiayaan yang besar. Melalui iklan yang dibuat dalam media sosial, pihak pengurusan secara langsung mengajak dermawan  untuk sama-sama menyumbang dan dalam masa sama sumbangan itu pasti mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membina masjid dengan mengharapkan reda Allah, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah dalam syurga." (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Kedua, melalui makanan yang dikongsi bersama. Hakikatnya, tidak semua masyarakat mampu untuk merasai nikmat makanan sebagai mana kita menjamu selera pada hari ini. Walaupun dalam komuniti kejiranan terdekat, pasti ada yang kurang berkemampuan untuk menikmati juadah tertentu.

Peluang ini seharusnya disahut oleh semua pihak dengan berkongsi sedikit juadah yang dibuat atau menerusi kenduri kecil-kecilan yang secara tidak langsung boleh merapatkan hubungan sesama jiran. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menjamu makan seorang Mukmin sehingga mengenyangkannya daripada lapar, maka Allah akan memasukkannya ke sebuah pintu syurga (yang khas). Tiada yang memasukinya melainkan orang sepertinya." (Hadis  Riwayat al-Tabarani)

Selain itu, perkongsian makanan boleh dilakukan melalui makanan yang sengaja dibeli lebih untuk disedekahkan kepada pekerja bawahan. Nikmat yang cukup besar apabila ada mereka yang sudi berkongsi makanan dengan mereka walaupun hanya sebuku roti dan air mineral. 

Bagi mereka yang berkemampuan, ambil juga peluang untuk membayar makanan kawan-kawan yang lain pada masa tertentu. Semoga dengan perbuatan ini, akan bertambah rezeki daripada Allah SWT.

Ketiga, membantu golongan yang tidak berkemampuan khususnya ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat terdekat. Kadang-kadang kita terlalu ingin membantu mereka yang jauh, sedangkan masih ramai kaum kerabat, jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dalam kehidupan. 

Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk wang ringit semata-mata, bahkan turut melibatkan cadangan dan pandangan yang akan membantu mereka mendapatkan sumber kewangan tambahan. Contohnya, penjual pisang goreng dalam komuniti kejiranan, bagi memastikan sumber kewangan yang diperoleh meningkat, kita boleh memberi cadangan agar promosi produk diuar-uarkan menerusi media sosial dan kepada seluruh kejiranan. Dengan cara ini, jualan hariannya akan bertambah dan kadar keuntungannya juga meningkat.

Situasi ini sebagai mana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Orang-orang yang bekerja untuk membantu janda-janda tua dan orang-orang miskin seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang selalu berpuasa tanpa berbuka atau seperti orang yang bertahajud tanpa tidur." (Hadis  Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perbuatan ini nampak ringan, tetapi besar ganjaran di sisi Allah SWT. Dengan setiap bantuan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat melepaskan kesusahan seseorang daripada masalah yang dihadapi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang melepaskan kesusahan  seseorang di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat." (Hadis  Riwayat Muslim)

Keempat, meminjamkan wang kepada mereka yang memerlukan. Dalam keadaan yang meruncing hari ini, ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada yang diberhentikan kerja. Sebagai alternatif, mereka terpaksa membuka gerai makanan atau sebahagiannya menjadi penghantar makanan. Dalam situasi ini, pasti mereka amat memerlukan sumber kewangan untuk dipinjam bagi memastikan tiada hutang tertunggak dan kehidupan mampu berjalan seperti biasa.

Oleh itu, bagi mereka yang berkemampuan, sekiranya ada sahabat atau kaum kerabat ingin meminjam duit, maka pertimbangkanlah sekadar kemampuan yang ada. Hakikatnya, bagi mereka yang mampu untuk meminjamkan duit kepada golongan yang memerlukan ini, maka perbuatan tersebut adalah sangat mulia. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tidaklah seorang Muslim memberi pinjaman kepada Muslim yang lain sebanyak dua kali, melainkan. (pahalanya) seolah-olah ia telah bersedekah sekali." (Hadis  Riwayat Ibn Majah)

Secara asasnya, rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada hambanya salah satunya adalah untuk menguji manusia itu bagaimana pengurusan harta yang diperoleh dan ke manakah ia diinfaqkan.

Allah SWT berfirman:  "Bandingan orang yang membelanjakan  hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnia-Nya lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah ayat 261)

Justeru itu, mencari rezeki adalah tuntutan mulia dan kebaikan pada rezeki itu pula adalah pahala yang akan dinilai di sisi Allah SWT.


Penulis Pensyarah Kanan,  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Univeristi Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:36 PM