GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

KIAMAT tidak akan berlaku sehingga manusia akan diperlihatkan dengan tanda yang jelas seperti sifat bakhil yang berleluasa berlaku dalam kalangan manusia. Sifat ini penyakit jiwa yang sedang melanda manusia khususnya membabitkan umat Islam. Pada saat ini manusia di uji dengan limpahan harta kekayaan dan rezeki yang berterusan namun dalam masa sama sifat kedekut dan bakhil menjadi penghalang utama mereka untuk menggunakan harta kurniaan Allah SWT kepada jalan yang benar.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Salah satu tanda kiamat ialah meluasnya sifat kedekut." (Hadis Riwayat Al-Tabrāni dalam al-Awsat)

Gambaran menerusi hadis Nabi SAW ini menjelaskan keadaan manusia akhir zaman akan diselubungi oleh sifat kedekut yang berleluasa sehingga memberi kesan besar kepada keseluruhan kehidupan mereka. Mereka mula berkira-kira untuk menginfakkan sedikit harta mereka kerana kebimbangan akan menjadi fakir dengan kekurangan harta tersebut. Nabi SAW menjelaskan dalam hadis yang lain: "Masa akan menjadi singkat, ilmu semakin berkurang, dicampakkan kepada hati manusia kebakhilan melampau dan banyaknya harj iaitu pembunuhan demi pembunuhan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkataan kebakhilan dalam hadis ini merujuk kepada sifat kebakhilan yang disertai dengan ketamakan dan semua perkara yang menghalang seseorang daripada bersedekah atau melakukan amal kebajikan. Penyakit jiwa yang melanda manusia ini mengakibatkan rezeki kurniaan Allah SWT yang sepatutnya dikeluarkan bagi tujuan membantu orang yang kurang berkemampuan tidak dapat dilaksanakan. Kebimbangan mereka akan menjadi fakir dan miskin menyebabkan limpahan harta disimpan sehingga tidak mampu untuk dimanfaatkan kepada orang lain.

Perkara ini lebih kritikal apabila harta berkenaa tidak dapat dinikmati mereka yang memegang harta tersebut. Mereka rela mencatu makanan, berpakaian lama dan tidak mempunyai kelengkapan keperluan harian, semata-mata ingin menjaga harta daripada kehabisan. Sifat bakhil ini secara langsung menyebabkan terputusnya hubungan antara manusia seterusnya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Dr Muhammad Ahmad Al-Mubayadh dalam mausu'ah-nya menjelaskan, maksud kebakhilan ini adalah satu sifat yang bukan membabitkan harta benda saja, bahkan semua perkara termasuk ilmu dan hal kehidupan yang lain. Bagaimanapun, pengkhususan sifat kebakhilan ini lebih cenderung kepada penggunaan harta yang berkait rapat dengan hal ehwal pembayaran zakat dan kegunaan harian seperti penyediaan makanan dan lain-lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Demi zat yang ditangan-Nya jiwa Rasulullah, tidak akan berlaku kiamat sehinggalah terzahirnya perkara keji dan kebakhilan, orang yang jujur dikatakan pengkhianat dan orang-orang yang khianat akan dipercayai, al-Wa'ul musnah dan al-Tahut timbul. Mereka bertanya kepada Rasulullah, 'siapakah itu al-Wa'ul dan al-Tahut?' Baginda menjawab: Al-Wa'ul adalah mereka daripada golongan bangsawan dan bijaksana dan al-Tahut adalah mereka yang bodoh dan hina dan tidak diketahui kewujudan mereka.'" (Hadis Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Tabraniy dalam al-Aswat-di sahihkan oleh Albani dalam al-Silsilah al-Sahih)

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan." (Surah Ali-Imran 3: 180)

Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa majoriti ulama menyatakan sebab turunnya ayat 180 surah Ali Imran ini adalah berkaitan dengan orang yang tidak mahu membayar zakat. Bagaimanapun, Athiyyah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa ayat ini turun disebabkan pendeta Yahudi menyembunyikan keterangan tentang sifat dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, maksud bakhil dalam ayat ini juga merujuk kepada menyembunyikan ilmu yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Iaitu orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka daripada limpah kurnianya dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang kafir itu azab seksa yang amat menghina." (Surah al-Nisa' 4:37)

Sikap bakhil ini adalah sikap yang tercela sehingga Allah SWT memberi ancaman kepada mereka dengan seksaan
yang menghinakan dan merendah-rendahkan mereka. Mereka kufur dengan rezeki pemberian daripada Allah SWT sehingga tidak ingin mensyukuri segala nikmat yang melimpah ruah.

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman maksudnya: "(Ingatlah) kamu ini adalah orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit daripada harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, pada hal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 47:38)

Seruan untuk berinfak di jalan Allah SWT menerusi zakat dan jalan kebaikan adalah perkara yang wajib kepada orang beriman. Harta adalah sesuatu yang disenangi oleh manusia. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak memerintahkan hambanya untuk menginfakkan keseluruhan hartanya di jalan-Nya. Akan tetapi hanya mengeluarkan sebahagian sahaja dari keuntungan yang diperoleh mereka. Namun, sebahagian daripada mereka mula bakhil dan kedekut dengan rezeki yang diperoleh sehingga menyebabkan banyak elemen negatif mula menimpa diri mereka. Natijahnya, kekayaan yang diperoleh akan musnah sehingga melenyapkan jiwa mereka.

Jelas di sini, suruhan Allah SWT supaya meninggalkan sifat dan perbuatan bakhil adalah merujuk kepada kesan yang akan dihadapi bukan sekadar merosakkan kehidupan sendiri, bahkan turut merosakkan hubungan dengan sesama manusia dan yang paling besar mengundang kemarahan Allah SWT.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:30 AM