ALLAH SWT sangat menyukai kepada hambaNya yang bertaubat. - Gambar hiasan
ALLAH SWT sangat menyukai kepada hambaNya yang bertaubat. - Gambar hiasan
Kembara Mukmin

SETIAP anak Adam pasti pernah melakukan dosa, dan sebaik-baik mereka adalah menyesali dosa yang dilakukan dengan cara taubat nasuha.

Allah SWT sangat menyukai kepada hambaNya yang bertaubat. Setiap tahun, pintu langit tertutup semuanya kecuali satu pintu yang tidak akan tertutup iaitu pintu taubat kepada Allah SWT.

Pelaku taubat itu akan rasa malu, sentiasa mengalirkan air mata dan menyesal akibat dosa yang dilakukan pada masa lalu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisaa’, ayat 110)

Itulah ciri seorang yang beriman dan bertakwa. Apabila melakukan perbuatan keji, menzalimi diri atau melakukan maksiat, mereka akan cepat ingat kepada Allah SWT.

Antaranya, dengan cara beristighfar kerana ia mempunyai kelebihan dan faedah yang sangat besar. Nabi SAW yang maksum dan sudah dijamin syurga tetap masih melafazkan istighfar sebanyak 100 kali sehari.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ada sebahagian orang selepas bertaubat, dia mampu berubah menjadi insan yang lebih baik dan istiqamah melakukannya.

Ada juga yang mahu istiqamah melakukan amalan kebaikan, namun masih terlepas melakukan kemaksiatan kerana masih banyak rayuan dan godaan nafsu.

Sehubungan itu, antara perkara penting untuk dijaga supaya hati kita sentiasa terikat dengan kebaikan adalah memastikan sumber makanan dan minuman daripada sumber yang halal.

Setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh sebenarnya akan mempengaruhi diri sehingga kita mudah untuk diajak melakukan ketaatan.

Selain itu, menjauhi kawan-kawan yang mempunyai sahsiah diri tidak baik. Walaupun kita menjaga dan tidak melakukan maksiat dan keburukan, namun kawan tidak baik yang kita dampingi itu turut menyebabkan diri kita mendapat tempiasnya.

Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi daripada penjual minyak wangi sama ada membelinya atau tidak. Sedangkan daripada tukang besi, kamu akan berasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di padang Mahsyar kelak ada yang menyesal kerana ketika hidup di dunia dahulu mereka berkawan dengan golongan yang tidak baik.

Antaranya dinyatakan, akan ada orang mengheret kawannya daripada seorang yang baik menjadi ahli neraka.

Ayat berkenaan bermaksud: “Wahai celakanya diri aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!” (Surah al-Furqaan, ayat 28)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:12 PM