ISLAM meletakkan kedudukan istimewa kepada orang yang berada pada jalan menuntut ilmu.
ISLAM meletakkan kedudukan istimewa kepada orang yang berada pada jalan menuntut ilmu.
Mohd Shahrizal Nasir

Ada segelintir umat Islam yang masih tidak nampak kepentingan mempelajari ilmu agama Islam. Lantas kelompok ini cuba mempertikai keperluan subjek berkaitan Islam yang dikatakan masanya terlalu banyak untuk anak-anak di sekolah rendah. Sebenarnya ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperuntukan sejumlah masa untuk anak-anak mempelajari ilmu Islam perlu disokong dan dimanfaatkan sebaiknya.

Peluang mempelajari agama Islam bukan untuk orang lain, ia diberikan khusus untuk anak-anak orang Islam. Ingat setiap umat Islam wajib memahami Islam dan kewajipan ini tidak akan terlaksana melainkan wujudnya peluang yang diberikan secara rasmi oleh pihak berkewajipan mengenai pendidikan negara. Ibu bapa hari ini tidak mampu mengajar anak-anak sendiri hatta mengenai asas fardu ain. Maka seeloknya usah dipertikai peluang yang sedia ada kerana ia boleh merosakkan perancangan untuk memartabatkan pendidikan Islam dalam negara tercinta ini.

Islam tidak pernah menyekat ruang untuk umatnya mempelajari ilmu yang bermanfaat meskipun ia menjurus kepada urusan duniawi. Islam meletakkan kedudukan istimewa kepada orang yang berada pada jalan menuntut ilmu. Dalam hal ini, usaha menuntut ilmu agama Islam lebih-lebih lagi ditekankan oleh agama kerana ia menjadi asas kepada peningkatan kefahaman seseorang terhadap agama yang diimaninya.

Keseimbangan dalam Islam antara duniawi dan ukhrawi tidak bermaksud setiap satunya diberi kesaksamaan. Sesungguhnya kehidupan di dunia perlu dijadikan jambatan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat nanti. Belajar ilmu duniawi untuk melakukan kebaikan bagi memperoleh ganjaran di akhirat. Namun mempelajari ilmu Islam adalah kewajipan yang sepatutnya diberi perhatian yang lebih kerana secara jelas bahawa ilmu agama bertujuan untuk mencapai kebaikan (hasanat) di akhirat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.'" (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Terdapat banyak dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan kebaikan daripada usaha menuntut ilmu Islam. Semuanya jelas menunjukkan tidak akan ada orang yang rugi kerana mempelajari agama Islam. Justeru, usaha menyamakan kepentingan subjek Pendidikan Islam dengan subjek lain yang diajar di sekolah seharusnya diperbetulkan kerana manakan sama tuntutan dunia jika dibandingkan tuntutan akhirat.

Allah berfirman mengenai kedudukan orang yang mengetahui ilmu agama Islam menerusi firman-Nya yang bermaksud: "(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): 'Adakah sama orang yang mengetahui (ilmu agama) dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.'" (Surah az-Zumar, ayat 9)

Manakala Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan orang yang menuntut ilmu agama Islam yang mafhumnya: "Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya." (Hadis riwayat Muslim)

Ibu bapa mana yang tidak menginginkan anak-anak mereka mendapat keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW? Sesungguhnya ilmu agama Islam adalah sebaik-baik ilmu yang bermanfaat kerana ia boleh menjadikan anak-anak insan soleh yang akan menjadi saham bermanfaat buat kedua-dua ibu bapa nanti.

Anak-anak yang berjaya memperoleh kedudukan dan pekerjaan yang tinggi di mata manusia, belum tentu menjanjikan mereka tergolong dalam kalangan anak soleh. Hanya anak yang mempunyai pendidikan agama Islam yang sempurna dapat menjadikan dirinya insan yang memahami agama lalu melaksanakan segala tuntutan Islam.

Rasulullah SAW bersabda  yang bermaksud: "Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi tatkala menjelaskan hadis terbabit dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa ketiga-tiga perkara terbabit termasuk anugerah anak soleh adalah hasil daripada usaha yang dilakukan oleh ibu bapa sendiri. Jika ibu bapa berusaha memberikan peluang sebaiknya untuk anak-anak mempelajari ilmu Islam, sudah pasti si anak berpotensi untuk menjadi anak soleh yang memahami agamanya. Meskipun bukan semua anak-anak berjaya memahami ilmu agama sebaiknya, namun tanggungjawab memberikan mereka pendidikan Islam terletak di atas bahu ibu bapa.

Justeru, usah dipertikaikan nikmat sedia ada yang memperuntukan masa yang lebih untuk anak-anak mempelajari agama Islam di sekolah. Anak-anak diberikan pendidikan asas Islam yang sewajibnya mereka ketahui. Ilmu untuk mengenal Allah SWT, ilmu tatacara pelaksanaan ibadah seperti solat dan puasa serta ilmu yang menjelaskan keperibadian mulia sebagai seorang Muslim seperti yang ditunjukkan dalam kehidupan Rasulullah SAW.

Adalah sangat malang jika anak-anak Muslim membesar dalam keadaan mereka tidak betul-betul menguasai ilmu asas Islam seperti berkaitan solat. Belum lagi soal kemahiran membaca al-Quran yang sepatutnya diberi penekanan ketika anak-anak berada di sekolah rendah lagi. Sebab itu, guru Pendidikan Islam di sekolah turut mengajar anak-anak membaca al-Quran serta membuat semakan mengenai rutin bacaan al-Quran anak-anak di rumah. Ini kesinambungan usaha antara ibu bapa di rumah dan guru di sekolah bagi memastikan anak-anak celik al-Quran.

Dengan membaca al-Quran, anak-anak akan dapat meraih pahala dan pahala itu juga pasti sampai ke dalam buku amalan kedua-dua ibu bapa mereka. Malah amalan membaca al-Quran boleh menyebabkan diri mendapat syafaat di akhirat nanti. Hal ini disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia kelak akan datang pada Hari Kiamat untuk memberikan syafa'at untuk orang yang membacanya."  (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan keperluan mempelajari Bahasa Arab. Usaha mempelajari Bahasa Arab bagi anak-anak Muslim bukan bertujuan untuk menyaingi orang Arab atau untuk mendapat pekerjaan di negara Arab atau seumpamanya. Lihat dengan mata hati mengenai kepentingan mempelajari Bahasa Arab kerana ia bahasa ibadah umat Islam. Tidak ada orang yang menunaikan solat dengan bahasa lain melainkan Bahasa Arab sahaja. Al-Quran juga menggunakan Bahasa Arab meskipun maknanya boleh difahami dengan bahasa ibunda kita.

Semua usaha ini adalah pakej lengkap untuk anak-anak menguasai ilmu agama Islam. Setiap satunya saling berkaitan antara satu dengan lain yang rangkumannya bertujuan memastikan anak-anak mendapat ilmu asas mengenai Islam dalam kesempurnaan seawal usia mereka di sekolah.


Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:00 AM