Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

BERMULA beberapa minggu lalu sesi persekolahan dibuka secara berperingkat sehinggalah secara sepenuhnya pada 22 Julai depan. Bukan saja di peringkat institusi persekolahan, malah institusi pengajian tinggi (IPT) juga akan membuka kembali pusat pengajian secara berperingkat sehingga Oktober 2020. Oleh kerana hampir empat bulan pelajar tidak menikmati sesi interaksi pembelajaran secara bersemuka bersama guru seperti biasa, pastinya pembukaan semula sesi persekolahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibekalkan Kementerian Pendidikan Malaysia amatlah dinanti-nantikan.

Dalam keseronokan sesi pembukaan semula sekolah ini, jangan kita melupakan terdapat segelintir masyarakat kita yang kurang berkemampuan. Bukan semua pelajar dapat menikmati pengalaman indah tersebut. Ini kerana terdapat ibu bapa yang tidak mempunyai peruntukan yang cukup bagi membiayai urusan persekolahan anak-anak mereka. Paling perit, apabila si anak di peringkat sekolah rendah sering bertanyakan bilakah waktu mereka dapat memilih kelengkapan bagi memulakan sesi persekolahan mereka.

Tambahan pula, banyak institusi perniagaan yang menamatkan operasi mereka, sekali gus memberi impak negatif kepada ekonomi isi rumah yang terlibat akibat pasca pemulihan pandemik Covid-19.

Dalam kelam pasti ada sinarnya. Bermatlamatkan membantu mereka yang memerlukan, pensyariatan zakat sememangnya memberikan hikmah yang besar kepada penuntut ilmu yang kurang berkemampuan. Melalui agihan zakat pendidikan secara tidak langsung akan membantu kalangan asnaf yang memerlukan. Walaupun bidang pendidikan menerima agihan terbesar dan tertinggi dalam agihan bajet negara pada 2020 berjumlah RM64.1 bilion yang diumumkan di Parlimen namun agihan zakat pendidikan masih lagi diperlukan terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Jika riak wajah si cilik yang sugul sebelum ini, pastinya akan bertukar ceria dan gembira  saat dapat menggayakan beg, kasut dan pakaian baharu hasil agihan zakat pendidikan. Tambahan pula, beg sekolah tersebut terpapar kartun kesukaan mereka. Inilah keindahan yang ada pada Islam, yang kaya menghulurkan bantuan dalam bentuk zakat, wakaf dan sedekah manakala yang miskin dibantu secara teratur melalui hasil kutipan zakat yang diperoleh.

Melalui ketetapan yang terdapat dapat al-Qur'an, antara asnaf yang layak menerima zakat adalah orang yang berjuang di jalan Allah (fi sabilillah). Menurut ulama kontemporari yang menjadi antara figura dalam kajian berkaitan zakat iaitu Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi, tafsiran fi sabilillah bukan hanya semata-mata kepada mereka yang berperang di jalan Allah SWT namun turut merangkumi mereka yang menuntut ilmu bagi meningkatkan syiar Islam. Konsep jihad daripada ungkapan fi sabilillah itu sendiri diperluaskan termasuk dalam konteks kemajuan dari sudut pendidikan kerana terdapat dalam sesuatu masa dan keadaan, kekuatan melalui akal fikiran dan keilmuan lebih utama berbanding kekuatan di medan tempur.

Di Malaysia, bukan saja asnaf fi sabilillah yang berkait sebagai penerima agihan zakat pendidikan namun juga kategori asnaf yang lain seperti fakir miskin, muallaf dan ar-riqab. Kesungguhan warga kerja di institusi zakat wajar dipuji dalam memastikan agihan yang telus dan adil dapat diterima kepada asnaf yang memerlukan.

Dalam mendepani cabaran abad yang semakin canggih ini, agihan zakat pendidikan juga tidak terkecuali menerima tempias yang positif. Agihan zakat pendidikan kini bukan sahaja dilakukan secara one off  atau lump sum saja seperti agihan tradisional sebelum ini, malah dipelbagaikan bentuk dan corak agihan agar manfaat yang optimum dapat diperoleh melalui agihan dana zakat.

Penulis ingin mengambil contoh bagaimana langkah proaktif yang diambil Lembaga Zakat Negeri Kedah yang mewujudkan institusi pendidikan di bawah kelolaan mereka seperti Maahad Dini dan Pondok Moden yang ditawarkan kepada anak asnaf yang layak. Selain itu, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan agihan zakat pendidikan juga dimanfaatkan dengan kolaborasi bersama agensi kerajaan dan swasta misalnya pihak sekolah, KADUN, Naza Academy, PDC seperti yang dilakukan Zakat Pulau Pinang dan beberapa institusi zakat yang lain.

Kini, bukan hanya pelajar dalam jurusan agama diberikan bantuan dana zakat, malah diperluaskan kepada bidang kritikal seperti perubatan, TVET, perakaunan agar lebih ramai umat Islam menguasai kepakaran dalam bidang tersebut. Malah bukan itu sahaja, koloborasi yang aktif antara Lembaga Zakat Selangor, Pusat Pungutan Zakat serta berbagai institusi zakat di negara ini yang menaja anak asnaf di IPT terpilih membuktikan betapa komitednya pengurusan zakat agar anak asnaf dapat menjadi modal insan yang akan menjadi aset bernilai kepada negara.

Malah, komuniti masyarakat setempat seperti jawatankuasa masjid seharusnya juga perlu memainkan peranan menyalurkan maklumat asnaf yang memerlukan dan tercicir terutama mereka yang cemerlang dalam pelajaran agar lebih ramai cerdik pandai dapat dihasilkan.

Melalui aduan secara atas talian kepada pihak pengurusan institusi zakat, langkah dan usaha ini dapat dijayakan sebaik mungkin.

Selain itu juga, program keilmuan dan pemantapan sahsiah secara jangka panjang dan pendek yang dilakukan institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor juga memberikan impak yang positif kepada pembinaan modal insan.

Buktinya ramai anak asnaf yang mendapatkan pekerjaan yang baik setelah tamat tempoh pengajian dan berjaya membebaskan diri mereka daripada kepompong asnaf seterusnya menjadi pembayar zakat.

Islam rahmat bagi sekalian alam. Melalui agihan zakat pendidikan, bukan saja diberikan kepada pelajar Malaysia, malah turut dinikmati oleh sebilangan pelajar warga negara asing yang belajar di negara ini seperti yang dilakukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Bagi memudahkan pengagihan zakat pendidikan, aplikasi permohonan secara atas talian juga diperkenalkan institusi zakat agar kerenah biokrasi ketika permohonan dapat dikurangkan. Mereka sudah tidak perlu ke pejabat zakat bagi menghantar borang permohonan. Secara tidak langsung, data dan maklumat asnaf juga dapat direkodkan secara bersistematik. Malah, terdapat juga institusi zakat yang menempatkan pegawai di luar negara bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Beruntunglah buat pembayar zakat, pastinya anak-anak asnaf yang menerima agihan zakat pendidikan sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian dunia dan akhirat. Beruntunglah pembayar zakat yang akan meraih pahala hasil kejayaan anak-anak asnaf yang dibantu melalui agihan dana zakat.

Penulis penuntut Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 8:38 AM