Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 asnaf di Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA.
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 asnaf di Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA.
Idris Musa


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli mengurniakan zakat kepada asnaf di Pusat Komuniti Pantai Eco-Park, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Sumbangan itu bersempena program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Bersama Yang di-Pertuan Agong.

Ia membabitkan bantuan persekolahan kepada anak asnaf bernilai RM5.1 juta, bantuan am persekolahan (RM9.82 juta) dan bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi (IPT) RM12.45 juta.

Selain itu, Baginda juga mengurniakan bantuan keperluan harian kepada 500 asnaf.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Kembara Rahmah Zakat adalah inisiatif MAIWP bagi memperhebatkan hebahan mengenai pelaksanaan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan terutama menerusi zakat.

Terdahulu, kira-kira 100 motosikal berkuasa tinggi dan 10 teksi penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP menerusi Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi, berkonvoi sejauh 35.9 kilometer dan berakhir di pusat itu.

Sementara itu, Mujahid pada sidang media berkata, pihaknya berusaha untuk meningkatkan kebajikan golongan asnaf dan visi bagi memastikan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan melalui program Asnafpreneur dan program pendidikan.

Beliau berharap Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menjadi model contoh dalam sasaran pihaknya mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan antara dua hingga empat peratus, tahun ini.

“Kemiskinan yang kami tangani di sini adalah kemiskinan bandar. Keadaan mereka lebih teruk atas sebab kos saraan hidup yang tinggi, sewa dan anak-anak yang sekolah tak sama dengan kemiskinan biasa yang tinggal di luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 3:20 PM