FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

Saya bercadang mahu mengikat tali pertunangan dan berkahwin dengan teman wanita saya tahun ini. Sudah hampir tujuh tahun mengenali hati budinya sejak di universiti lagi.

Bagaimanapun, muncul pula cerita daripada rakan menyatakan teman wanita saya itu sebenarnya pernah ada kes terlanjur bersama lelaki lain dipercayai orang luar ketika di universiti.

Bagaimanapun, saya tidak tergamak bertanyakan hal itu kerana sayangkan perhubungan ini.

Hati saya berbelah bahagi sekarang, namun saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru untuk memutuskan hubungan.

Apa tindakan sebaiknya yang boleh diambil dalam keadaan sekarang kerana hari bahagia kami kian menjelang?


MG

Kuala Lumpur


Tempoh tujuh tahun bukan suatu tempoh singkat untuk mana-mana pasangan melaluinya.

Walaupun belum lagi diijab kabul dan tinggal bersama, tetapi secara dasarnya boleh memahami sikap baik atau buruk, keperibadian, amalan agama dan latar belakang keluarga pasangan.

Konteks mengenali hati budi itu adalah suatu fasa yang serius bagi mana-mana pasangan menganalisis pasangan masing-masing hingga ke peringkat bercadang mengambil pasangan itu sebagai pasangan hidup.

Bagaimanapun, timbul kata-kata orang dan penceritaan mulut ke mulut yang tidak pasti kesahihan sumbernya.

Maka, adakah wajar diterima sepenuhnya hingga mampu memberi kita input untuk membuat penilaian dan membuat dapatan kita sendiri?

Adakah adil untuk diri kita dan pasangan? Adakah kita dan pasangan daripada keturunan manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan?

Masa silam adalah sejarah. Sejarah bukan untuk dikenang, tetapi dijadikan panduan untuk masa hadapan.

Sejarah silam tidak semestinya menjadikan seseorang kekal sepertimana silamnya kerana manusia tidak mustahil akan berubah.

Islam mengajar supaya berubah dan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Justeru, ambil tindakan positif dalam menerima sebarang cerita keaiban seseorang, analisis daripada pelbagai aspek.

Adakah dia mempunyai sikap seorang yang beriman dan bolehkan wanita itu melengkapi kekurangan kita?

Adakah kita tidak berhasrat melakukan kebaikan, membimbingnya ke arah kebaikan dan jalan yang disukai dan diredai Allah SWT?

Jika kita temui jawapan yang baik, maka tidak perlu dipinggirkan atas dasar sejarah silam yang buruk.

Perkara akan datang bukanlah urusan kita. Kita tidak mampu sama sekali menentukannya.

Hanya Allah SWT berkuasa membalik-balikkan hati manusia sekelip mata sahaja.

Ada yang tidak tercapai oleh akal manusia. Contoh, seseorang yang baik berubah menjadi zalim, penzinaan, pembunuhan dan berbagai kejahatan lain.

Malah, ada juga orang yang zalim atau jahat berubah menjadi seorang yang taat pada agama, sering melakukan kebaikan dan sebagainya.

Semua itu atas kehendak Allah SWT. Allah SWT berfirman berkenaan orang yang bertaubat: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Semua manusia pasti pernah melakukan kesalahan dan di antara mereka yang dikasihi oleh Allah SWT ialah yang bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam mempunyai kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang sering bertaubat.”

Maka beruntunglah sesiapa yang menjadikan orang yang dikasihi Allah SWT sebagai pasangan hidupnya.

Saranan lain dalam mencari penyelesaian adalah memperbanyakkan solat istikharah dan pohon Allah SWT memberikan ilham supaya dapat mencari ke-
tenangan dalam membuat keputusan besar tentang perkahwinan.

Allah SWT tidak suka hamba-Nya berputus asa dan hendaklah sentiasa berdoa untuk mendapatkan rahmat-Nya.


>>Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 4:46 PM