JANGAN mendesak pasangan untuk berkongsikan kisah silam yang tidak memberi manfaat kepada hubungan.
JANGAN mendesak pasangan untuk berkongsikan kisah silam yang tidak memberi manfaat kepada hubungan.
Hafiz Ithnin


TIADA rahsia antara kita! Mungkin kata-kata ini sering kedengaran dalam kalangan pasangan yang bercinta atau sudah pun mendirikan rumah tangga.

Ada juga yang menginginkan pasangan mereka bercerita segala-galanya termasuk kisah silam yang pernah dilalui. Namun, adakah ia mampu diterima?

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, dalam perhubungan antara manusia, perhubungan romantis khasnya, ada suatu topik yang penuh kontroversi dan mampu mencipta bibit pertengkaran antara pasangan kekasih, suami juga isteri.

Jelasnya, topik ini tidak lain tidak bukan sejarah silam hidup seseorang. Namun, adakah wajar atau tidak kisah ini dikongsikan dengan pasangan?

"Pakar psikologi kaunseling di barat khasnya berbeza pendapat akan isu ini. Ada yang mengatakan bahawa sejarah silam kita seharusnya dikongsi dengan pasangan sejurus bermulanya perhubungan romantis.

"Namun, ramai juga yang memberi nasihat yang sebaliknya. Mereka menegah kisah romantis atau sejarah 'gelap' kita dikongsi dengan pasangan kerana dibimbangi akan membawa pergeseran diikuti pertengkaran dan mungkin juga pergaduhan yang diakhiri perpisahan," katanya.

Beliau berkata, kisah silam, secara logiknya biarkan saja berlalu pergi dan disimpan dalam kotak memori sendiri. Hakikat ini perlu diketahui oleh semua pasangan, khasnya apabila berbicara mengenai kisah 'gelap' masa silam.

"Dalam perhubungan yang sihat ada fakta sejarah peribadi yang tidak perlu dikongsi.

"Terutama sekali yang berkaitan dengan kejadian buruk atau perlakuan tidak elok yang mungkin pernah berlaku. Sebabnya, fakta itu selalunya tidak memberi kesan positif kepada kita," katanya.

Dr Airil berkata, jika pasangan tidak tahu kisah gelap dalam hidup seseorang itu, tidak menjadi satu kerugian. Pada masa sama, kalau diberitahu kisah itu sekali pun, ini tidak pula memberi nilai tambah dalam perhubungan.

"Jadi, apakah kisah silam yang tidak perlu dibincangkan bersama pasangan? Lebih utama dalam senarai, tidak lain tidak bukan kisah keterlanjuran pada masa yang silam. Kisah seperti ini tidak perlu diketahui pasangan.

"Bagaimanapun, ada situasi di mana ruang perbincangan mengenai kisah gelap masa lampau perlu dibuka. Sebagai contoh, jika ia membabitkan jenayah berbentuk seksual atau perbuatan lain yang memberi implikasi besar sehingga hari ini," katanya.

Katanya, jika boleh dibuat perumpamaan, situasi perkongsian isu berat seperti ini mungkin hanya timbul sekali dalam 1,000.

"Itu pun peristiwa yang tidak elok jangan disebut berulang kali, cukup sekadar sekali dan tidak diulang-ulang lagi.

BERSEDIA dengan hati terbuka mendengar kisah silam pasangan.
BERSEDIA dengan hati terbuka mendengar kisah silam pasangan.

"Sebenarnya, agama juga mendidik kita untuk melakukan perkara yang sama dan menyimpan rahsia gelap masa silam," katanya.

Tambahnya, perkara ini kerana apabila sudah berubah dan berhijrah, dosa masa silam itu perlu ditinggalkan dan dilupakan demi hari esok yang lebih cerah dan masa depan yang jauh lebih baik.

"Dalam membicarakan kisah masa silam, yang lebih utama adalah kemampuan kita untuk memaafkan diri sendiri dan bergerak ke depan. Usaha ini sebenarnya yang menjadi dasar sebuah perhubungan yang utuh.

"Memang benar, antara kita dan pasangan seharusnya tidak ada rahsia. Namun, persefahaman ini wujud selepas perhubungan itu diikat dengan serius misalnya dengan ikatan pernikahan dan bukan sebelumnya.

"Bayangkan ikatan pernikahan sebagai suatu perjanjian untuk bersama melangkah ke depan tanpa menoleh ke belakang dan terus dihantui kisah gelap yang sudah berlaku," katanya.

Katanya, pengalaman dan pengajaran daripada kisah masa dulu perlu menjadi pedoman kepada si empunya diri sahaja, bukan dikongsi dengan orang lain di sekelilingnya.

"Lebih banyak kebaikan daripada keburukan apabila kisah gelap masa silam disimpan dalam kotak minda dan hati kita yang paling dalam. Tambahan pula, hal yang berlaku pada masa dahulu sudah pun berlalu.

"Kalau kita terus terperangkap dalam kegelapan masa silam, dikhuatiri kita tidak akan dapat melihat cahaya gemerlapan dan harapan masa kini demi hari esok. Perkara ini juga hampir pasti akan merosakkan perhubungan pada masa sekarang," katanya.

Namun begitu kata beliau, jika khuatir kisah gelap masa silam akan menjadi buah mulut orang dan akhirnya sampai ke telinga pasangan, beritahu si dia sebagai persediaan.

"Cuma tidak perlu hal itu didalami hingga merumitkan keadaan sekarang. Begitu juga kisahnya kalau ada hal dari masa silam yang memberi kesan psikologi yang teruk, kesakitan atau kecacatan fizikal pada masa sekarang. Perkara seperti ini perlu diberitahu kepada pasangan kita sedari awal.

"Percayalah, pasangan yang berhati mulia dan yang benar-benar menerima dan menyayangi diri kita dihadirkan Tuhan untuk membawa kebahagiaan, bukan sebaliknya," katanya.

Katanya, kebahagiaan itu pula perlu dicipta dan dibina bersama-sama dengan meninggalkan kisah gelap masa silam yang tidak perlu diulang atau diungkit lagi sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:00 AM