LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Suraya Roslan


PERBUATAN usahawan kosmetik, Safiey Ilias membelanjakan RM30,000 untuk pembedahan menaikkan kening ibarat melakukan dosa dalam dosa.

Juara Pencetus Ummah musim 2015 Syed Bakri Al-Yahya berkata, perbuatan Safiey jelas haram di sisi syarak kerana mengubah ciptaan Allah tanpa sebab yang dibenarkan agama.

Katanya, lebih-lebih lagi pembedahan dibuat semata-mata untuk memenuhi keinginan songsang menjadi seorang wanita sedangkan jantina sebenarnya adalah lelaki.

"Safiey melakukan dosa di dalam dosa, semoga dia bertaubat kepada Allah apatah lagi dia sangat berbangga dengan apa yang sedang dilakukan sekarang.

"Ia sangat berbahaya kerana boleh menjadi ikutan kepada orang lain, bertaubatlah kepada Allah wahai saudaraku," katanya kepada Harian Metro.

Muka depan Metro Ahad hari ini melaporkan mengenai pengakuan Safiey yang membelanjakan RM30,000 untuk melakukan pembedahan menaikkan kening.

Julai lalu Safiey turut membuat pendedahan sama di akhbar ini dia menjalani beberapa pembedahan kosmetik antaranya menebuk dahi, hidung dan tulang rusuk dengan membelanjakan RM300,000 bersamaan sebuah kereta mewah Ford Mustang.

Safiey membuat pendedahan itu selepas mendakwa akibat kegagalan prosedur pemindahan lemak di dahi yang dibuat sebelum ini oleh doktor tidak bertauliah menyebabkan keningnya jatuh.

Syed Bakri berkata, Safiey perlu berazam meninggalkan segala perbuatan dosa yang pernah dilakukan dulu dan tidak akan mengulanginya.

"Dalam kes Safiey, dia perlu benar-benar kuat untuk berubah dan bukannya berubah untuk mendapat 'mileage' kepada perniagaannya semata-mata, kena benar-benar ikhlas untuk bertaubat," katanya.

Ditanya, adakah dia berhasrat untuk berjumpa dengan Safiey untuk berbincang dari hati ke hati, Syed Bakri berkata, sebelum ini dia pernah mempelawa Safiey bertemu tetapi ditolak usahawan itu.

"Sebelum ini saya pernah mempelawa dia (Safiey) hadir bertemu dengan kami, bersama Sajat (Muhammad Sajad Kamaruzzaman) namun ditolak kerana katanya lebih selesa dengan Ustaz Ebit (Lew), pelawaan dibuat sebulan dua ini.

"Bagaimanapun, tawaran ini dibuka bila-bila masa untuk mereka berjumpa pihak kami bagi menjernihkan suasana terutama berhubung hukum agama yang kita tidak boleh kompromi," katanya.

Berita berkaitan

  • Kening jatuh, Safiey Illias buat pembedahan kosmetik lagi
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 3:00 PM