SUHAIMI menyampaikan khutbah sebelum pitam lalu dikejarkan ke HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO IHSAN UniSZA
SUHAIMI menyampaikan khutbah sebelum pitam lalu dikejarkan ke HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO IHSAN UniSZA
Hanneeyzah Bariah Baharin


PEGAWAI Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, selepas tiba-tiba pitam sebaik selesai menyampaikan khutbah selepas solat sunat gerhana, hari ini.

Pengarah Pusat Islam UniSZA, Ahmad Othman, berkata Suhaimi Mohamad, 55, tiba-tiba pitam selepas selesai menyampaikan khutbah di Masjid UniSZA, Kuala Nerus, kira-kira jam 1.50 petang ini, sebelum dipapah turun daripada mimbar oleh jemaah di situ.

Beliau berkata, Suhaimi dikesan tidak sihat apabila penyampaian khutbah olehnya terganggu dan tidak lancar, namun tetap meneruskan khutbah sehingga selesai sebelum pitam.

“Ketika menyampaikan khutbah, beliau seperti ada yang tidak kena. Bacaannya tidak jelas dan perlahan, malah beberapa kali mengulangi ayat dibacanya, tetapi beliau tetap berusaha menghabiskan khutbah.

“Beliau juga nampak tidak bermaya dan sejurus selesai, beliau pitam dan dibantu oleh jemaah di masjid itu dan segera menghantar beliau ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika ini beliau masih dirawat di Unit Kecemasan HSNZ dan difahamkan beliau diserang ‘minor strok’. Dimaklumkan beliau memang mempunyai rekod penyakit darah tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad turut memohon semua pihak untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan Suhaimi.

“Sama-samalah kita mendoakan semoga Ustaz Suhaimi yang dikasihi dikurniakan kesembuhan seperti sedia kala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 5:06 PM