KHUTBAH Jumaat mengandungi peringatan dan nasihat keagamaan   agar  jemaah dapat memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
KHUTBAH Jumaat mengandungi peringatan dan nasihat keagamaan agar jemaah dapat memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Jumhur ulama menjelaskan bahawa Khutbah Jumaat merupakan syarat sah bagi solat Jumaat. Imam al-Nawawi menegaskan: "Tidak sah solat Jumaat sehingga ia didahului oleh dua khutbah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda: "Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat." Tidak boleh didirikan solat Jumaat kecuali didahului dua khutbah, yang mana berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW sentiasa berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda SAW duduk di antara kedua-duanya." Rasulullah SAW menegah daripada melakukan sebarang perbuatan lain sewaktu khatib menyampaikan khutbah dan dianggap berdosa serta tidak mendapat kelebihan dan ganjaran pahala. Perkara tersebut berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila kamu berkata 'diam' kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu." (Riwayat al-Bukhari)

Mengapa Khutbah Jumaat menjadi begitu penting bagi umat Islam? Secara umumnya Khutbah Jumaat mengandungi peringatan dan nasihat keagamaan yang disampaikan setiap minggu meliputi ibadah, akidah, tarbiyah, muamalah, kemasyarakatan dan sebagainya agar jemaah dapat memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Terdapat dua elemen utama dan saling berkaitan dalam penyampaian khutbah iaitu khatib dan teks khutbah. Kedua-dua elemen ini memainkan peranan besar bagi menghasilkan khutbah yang menarik. Teks khutbah yang baik menjadi tidak menarik apabila disampaikan oleh khatib tanpa menjiwai khutbah tersebut, apatah lagi jika disampaikan tanpa persediaan. Justeru ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur teguran, nasihat atau galakan, gaya penulisan yang menepati kaedah bahasa yang betul, serta wujud unsur tarikan melalui persoalan yang dapat menyentuh hati dan minda pendengar supaya berfikir.

Pelbagai versi penyampaian khutbah dapat dilihat di masjid kariah masing-masing. Sebahagian khatib menyampaikan khutbah dengan cara yang kaku dan baku, sebahagiannya pula begitu bersahaja seperti menyampaikan ceramah biasa, seolah-olah menyapa jemaah dan bercerita dengan pelbagai gaya. Di Wilayah Persekutuan, doa yang diselitkan dalam Khutbah Jumaat agar dijauhkan daripada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah, serta kerahmatan bagi mereka yang menunaikan kewajiban berzakat dan berwakaf bagi membantu umat Islam dalam kesulitan adalah antara perkara yang dekat di hati jemaah. Sebahagian khatib berjaya membangkitkan semangat, mendorong niat melakukan perubahan serta mencetuskan perasaan sebak dan keinsafan dalam kalangan jemaah. Begitulah jika Khutbah Jumaat berkesan menyampaikan isu yang benar-benar dekat dengan masyarakat setempat.

Bagi memastikan perhimpunan mingguan umat Islam dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta menjadi medium penyampaian ilmu dan maklumat yang berkesan kepada masyarakat, beberapa strategi disusun agar penyampaian khutbah dapat dilaksanakan secara berkesan. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, penulis khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terdiri daripada pakar dan ilmuan daripada pelbagai bidang. Kursus dan latihan juga diberikan kepada khatib dan penulis teks khutbah secara berkala. Teks khutbah disediakan berdasarkan isi dan fakta melalui bengkel penyediaan khutbah serta mengikut beberapa dokumen rujukan seperti Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah Jawi dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan Khutbah  Multimedia. Prosedur penyediaan Teks khutbah Jumaat Jawi menggariskan beberapa  peringkat yang perlu dilalui sebelum sesuatu teks khutbah diterbitkan seperti pemilihan tajuk, bengkel sinopsis khutbah, penulisan oleh panel penulis teks khutbah, menaip dan menjawikan teks khutbah, semakan teks khutbah oleh panel penyemak, pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, kelulusan pejabat Mufti, bacaan pruf dan pengesahan akhir, cetakan dan pembukuan, edaran, sehinggalah bacaan di atas mimbar Jumaat. Arkib serta teks khutbah Jawi setiap minggu juga boleh dimuat turun melalui laman web Jawi.

Bagi memastikan khutbah sentiasa menarik dan terbaik, pendekatan yang digunakan oleh Jawi termasuklah menetapkan agar hanya menggunakan hadis yang sahih sebagai hujah di samping keizinan menggunakan hadis ḍdaif sebagai pendorong mendapatkan kelebihan beramal. Selain itu ketetapan masa dan jumlah halaman teks khutbah turut diambil kira sebagai kawalan agar khutbah tidak terlalu panjang. Khutbah juga ditulis berdasarkan pembahagian teks kepada tiga bahagian utama dengan saranan isi kandungan yang baik untuk dimuatkan di setiap bahagian tersebut. Khatib yang bertugas diberikan kebebasan dalam gaya penyampaian yang lebih fleksibel, namun haruslah berpandukan teks khutbah yang disediakan agar lebih berfokus dan mengutamakan maslahah jemaah.

Bagi golongan yang menepati syarat dan berkewajiban, hadirlah awal ke masjid dengan persediaan untuk mendapatkan ilmu dan mendengar khutbah, bukan sekadar menjadi tempat melepaskan lelah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang mandi dengan sempurna pada hari Jumaat, pergi awal ke masjid dan tiba awal dan berjalan kaki serta tidak menunggang kenderaan ke masjid, duduk berhampiran imam, mendengar khutbah dan tidak berkata-kata yang sia-sia; maka setiap langkahnya ke masjid akan diberi ganjaran pahala setahun berpuasa dan solat malam." - (Sunan Tirmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan Ibn Majah). Kini Khutbah Jumaat juga boleh diikuti di platform media sosial seperti Facebook selain televisyen dan radio. Justeru peranan dan tanggungjawab jemaah pula ialah menyampaikan mesej khutbah kepada ahli keluarga dan jiran tetangga, sama ada secara bersemuka ataupun melalui perkongsian di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Twitter agar dapat diambil manfaat dan diamalkan dalam kehidupan.

Beberapa media arus perdana sesekali kelihatan turut melaporkan isi kandungan khutbah di media. Sebahagian ciapan di Twitter tentang isi kandungan Khutbah Jumaat juga pernah tular dikongsikan oleh jemaah. Sebagai contoh, ketika musim bantuan musibah banjir dahulu, tular ciapan di Twitter tentang Khutbah Jumaat di Masjid Negara yang menitipkan doa buat seorang pemuda yang dikenali sebagai 'Abang Viva' kerana usaha dan kegigihannya menghulurkan bantuan dalam misi kemanusiaan, terkesan di hati jemaah. Begitulah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak jika mahu melihat Khutbah Jumaat benar-benar meninggalkan impak kepada masyarakat. Laksanakanlah kewajiban kita sebagai agen yang menyebar mesej dakwah daripada Khutbah Jumaat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas yang bermaksud: "Maka hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir." (Riwayat Al-Bukhari)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 7:00 AM