GURU Pendidikan Khas, Muhammad Nidzam Shafiff Fudin, 35 membantu golongan jemaah OKU menterjemah khutbah Jumaat dengan  bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra. FOTO Farizul Hafiz Awang
GURU Pendidikan Khas, Muhammad Nidzam Shafiff Fudin, 35 membantu golongan jemaah OKU menterjemah khutbah Jumaat dengan bahasa isyarat di Masjid Tepian Putra. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TIADA yang lebih bermakna buat guru selain mengejar ‘saham akhirat’ dengan menjadi jurubahasa isyarat kepada golongan cacat pendengaran agar mereka memahami teks khutbah yang disampaikan khatib ketika solat Jumaat.

Biarpun berdepan kesibukan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Indera Mahkota, di Kuantan, beliau sanggup menawarkan diri menjadi jurubahasa isyarat di Masjid Tepian Putra, di sini, sejak empat tahun lalu.

Ketika ditemui baru-baru ini, Muhammad Nidzam Shariff Fudin, 35, memaklumkan, beliau berasa terpanggil untuk sama-sama membantu golongan cacat pendengaran khususnya di Kuantan bagi memahami isi kandungan teks khutbah.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, sekurang-kurangnya lebih 10 OKU cacat pendengaran hadir dalam kalangan jemaah dapat manfaat daripada tugas terjemahan yang dilakukannya di ruang hadapan di dalam masjid yang dikhaskan untuknya.

“Segalanya bermula pada 2015 ketika Masjid Tepian Putra baru dibuka, pihak pengurusan masjid mencari jurubahasa isyarat lalu saya mengambil tanggungjawab itu kerana merasa terpanggil untuk membantu.

“Jika dulu di sekolah, saya ada bawa anak murid (cacat pendengaran) untuk solat Jumaat di masjid, namun mereka tidak faham khutbah disampaikan menyebabkan mereka buat hal masing-masing seperti berbual.

“Ada juga yang tidur bila khatib di atas mimbar, jadi saya perlu bantu golongan ini supaya mereka juga faham isi kandungan dan pengajaran dalam khutbah pada hari itu,” katanya yang turut mengajar golongan OKU cacat pendengaran di SK Pendidikan Khas Indera Mahkota sejak 2006.

Menceritakan cabaran sebagai jurubahasa isyarat, katanya, beliau perlu sentiasa fokus dengan apa yang diucapkan khatib kerana tidak diberikan teks awal sebelum memulakan tugas.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran itu memberitahu, bahasa Melayu yang digunakan orang normal dalam kehidupan seharian dengan orang pekak sedikit berbeza dan beliau harus pantas menterjemahkan setiap patah perkataan yang didengarinya.

Katanya, ayat al-Quran serta bahasa Arab yang tidak difahami beliau tidak akan menterjemahkannya kerana dibimbangi membawa maksud yang berlainan.

“Saya akan tiba ke masjid antara 12.50 hingga 1 tengah hari dan kebiasaan sebelum azan Zohor kerana perlu membuat sedikit persediaan termasuk menukar pakaian dengan memakai jubah hitam disediakan,” katanya.

Lahir daripada keluarga pendidik menjadi kelebihan buat Muhammad Nidzam apabila jiwanya lebih lembut dan senang untuk mencurahkan ilmu kepada golongan OKU yang ingin berbual dengannya sebaik selesai solat Jumaat.

“Saya anggap ini fardu kifayah apabila Allah SWT anugerahkan saya ilmu ini, maka saya menggunakannya untuk bantu mereka (OKU cacat pendengaran). Saya berdoa ia menjadi amal buat diri saya dan bekalan di akhirat nanti.

Difahamkan inisiatif diambil pengurusan Masjid Tepian Putra dengan menyediakan jurubahasa isyarat adalah yang pertama di Pahang dan turut mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Muhammad Nidzam yang berasal dari Seremban memaklumkan, usaha dilakukan pengurusan masjid dan dirinya turut mendapat sokongan penuh Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) yang melihat inisiatif diambil sebagai platform membantu golongan itu.

“Apa yang dilakukan adalah pilihan kepada orang pekak untuk tunaikan kewajipan solat Jumaat dengan membolehkan mereka memahami kandungan khutbah, saya harap ia dilihat sebagai satu bentuk kemudahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 9:28 AM