PERISTIWA perubahan kiblat adalah satu kewajipan yang wajib ditaati oleh setiap Muslim semasa menunaikan solat lima waktu iaitu menghadap Kaabah.
PERISTIWA perubahan kiblat adalah satu kewajipan yang wajib ditaati oleh setiap Muslim semasa menunaikan solat lima waktu iaitu menghadap Kaabah.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ANTARA peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku kepada diri Rasulullah serta Muslimin dalam bulan Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat daripada menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah al-Mukaramah. Kisah perubahan kiblat ini terjadi pada tahun kedua hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan.

Akan tetapi, baginda ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya. Setelah diperintahkan Allah untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama yang dilakukan oleh baginda ialah solat Asar yang diikuti oleh beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid itu dan melihat di dalam masjid yang lain orang sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitul Maqdis. Maka dia berseru: "Demi Allah SWT, aku bersaksi bahawa aku telah bersolat bersama Nabi Muhammad SAW menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian mereka yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga." (Hadis Riwayat Bukhari).

Ibnu Sa'ad di dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra' bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau telah menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan sahabatnya. Apabila tiba waktu solat Zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu.

Sedang baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh kerana itu masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi terdapat di Madinah dan merupakan salah satu tempat lawatan oleh jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar sewaktu orang bersolat Subuh di Masjid Quba', tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah telah diarahkan menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.

Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat di atas al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa solat pertama ke arah Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar manakala solat Subuh pula ialah di Masjid Quba.

Setelah berlaku perubahan kiblat itu, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: "Apakah yang menyebabkan mereka berpaling daripada kiblat yang mereka hadapi selama ini?" Oleh sebab itu, Allah menurunkan ayat 142 sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Orang yang bodoh itu akan berkata: 'Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): timur dan barat itu kepunyaan Allah SWT (maka ke mana sahaja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan lurus.'" (Surah al-Baqarah, ayat 142)

Perubahan arah kiblat ini adalah satu tamparan yang cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitul Maqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu. Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa sahaja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap ke Kaabah apabila melakukan solat. Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.

Berkaitan dengan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: "Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah) dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku." (Hadis riwayat Al-Qurthubi)

Kemuncak daripada peristiwa ini ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut diperkenankan oleh Allah pada bulan Syaaban.

Selanjutnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: "Kami ingin mengetahui tentang orang-orang yang telah meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitul Maqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadah solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitul Maqdis. Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai satu umat pilihan dan pertengahan supaya kamu menjadi pemberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (tentang kebenaran dan kebatilan) dan Rasulullah akan menjadi saksi kebenaran kamu. Dan Kami jadikan kiblat yang dahulu itu hanyalah sebagai ujian untuk mengetahui siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan arah kiblat) itu sangat berat kecuali kepada orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan dan menghilangkan keimanan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani dan Merahmati orang yang beriman." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Mafhum ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat yang sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian atau kebendaan semata-mata, tetapi berada di tengah-tengah, sama mementingkan dunia dan akhirat, kerohanian dan kebendaan, perseorangan dan masyarakat. Pertimbangan dan pengetahuannya mengenai baik atau buruk sesuatu perkara itu adalah adil, benar dan sah. Umat yang demikian layak memberi keterangan kepada orang lain. 

Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang merupakan satu kewajipan yang wajib ditaati oleh setiap Muslim ketika menunaikan solat lima waktu ke arah Kaabah di samping membuktikan kepentingan Baitul Maqdis di dalam Islam yang sepatutnya dikembalikan di bawah ketuanan umat Islam di Palestin. Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa adalah tiga simbol syiar Islam.

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:30 AM