BERSAMA jemaah di Masjid Nabawi.
BERSAMA jemaah di Masjid Nabawi.
Mohd Fadly Samsudin

TERLALU banyak keistimewaan Tanah Suci Makkah buat umat Islam. Allah SWT menjadikan bumi kelahiran Nabi Muhammad SAW itu tempat yang aman sehinggakan mana-mana orang yang berkunjung berasa tenteram serta rindu untuk kembali.

Malah, Tanah Suci Makkah satu-satunya tempat yang diperintahkan Allah SWT untuk mengunjunginya selain pahala solat di Masjidil Haram digandakan sehingga 100,000 kali ganda.

Setiap Muslim perlu berazam untuk sampai di Tanah Suci Makkah bagi melaksanakan ibadat haji dan umrah.

Mungkin ada sebilangan umat Islam pergi melaksanakan ibadat itu seperti makan angin, menyebabkan urusan ibadat yang perlu dilaksanakan dipandang remeh.

Sehubungan itu, niat dan matlamat utama sama ada ketika mengerjakan haji atau umrah adalah untuk menumpukan perhatian terhadap ibadat.

Melancong pula adalah ‘bonus’ seperti dapat melawat lokasi-lokasi bersejarah serta mengimbau perjuangan nabi dan sahabat baginda.

Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Azlan Shaiful Baharum berkata, perkembangan positif apabila ramai mulai

sedar kepentingan terutamanya dalam melaksanakan ibadat umrah.

Menurutnya, mungkin ramai dilihat gemar berkongsi gambar menerusi laman sosial ketika berada di Tanah Suci Makkah sehingga mengaitkan tindakan itu tidak ubah seperti melancong.

“Bagaimanapun, semua itu berbalik semula dengan niat seseorang, sama ada semata-mata kerana Allah SWT atau ingin menunjuk-nunjuk.

“Dalam isu berkongsi gambar di Tanah Suci Makkah, tiada masalah sekiranya menyertakan juga gambar-gambar lokasi yang menyimpan sejarah sebagai inspirasi bagi orang lain.

“Kadangkala ada yang belum terbuka hati untuk pergi, tetapi selepas melihat temannya berkongsi gambar, baru timbul kesedaran dan keinginannya untuk menunaikan umrah.

“Saya fikir secara positif, mungkin ada gambar-gambar diambil itu untuk meniupkan semangat,” katanya.

Beliau berkata, biasanya syarikat pengendali akan membawa jemaah ke banyak tempat sepanjang tempoh menjalani ibadat umrah.

“Jika masuk Tanah Suci Makkah, jemaah akan menyelesaikan ibadat umrah sebaik mungkin terlebih dahulu sebelum berangkat menziarahi kawasan luar Masjidilharam dan sekitarnya.

“Antara kawasan menjadi tumpuan di Tanah Suci Makkah ialah Jabal Nur, Gua Hirak dan Jabal Thur.

“Di Madinah, lokasi yang dilawati terbahagi dua iaitu di dalam Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW dan perkuburan Baqi’.

“Di perkuburan Baqi’ itu bersemadinya isteri-isteri Rasulullah SAW, anak-anak baginda, sahabat, tabiin, ulama dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuk jemaah dari Malaysia.

“Selain itu, di luar kawasan Masjid Nabawi ada Masjid Quba’ iaitu masjid pertama Nabi SAW yang dibina atas dasar ketakwaan.

“Jemaah juga dibawa melihat kawasan Gunung Uhud untuk mendapat pengajaran apa yang berlaku ketika peperangan Uhud serta perkuburan 70 sahabat yang syahid dalam peperangan itu,” katanya.

Dr Azlan berkata, untuk menjadi mutawif pada zaman moden ini, seseorang perlu memiliki kelayakan yang diiktiraf selain pengetahuan dalam pelaksanaan ibadat umrah.

“Bagi memperoleh sijil mutawif, mereka perlu menjalani kursus sama ada dijalankan pihak akademi atau agensi yang diiktiraf.

“Saya sendiri memperoleh sijil mutawif daripada Tabung Haji. Sijil ini diiktiraf oleh semua agensi,” katanya.

Ketika ditanya lokasi mana dianggap antara yang istimewa dalam banyak tempat di Tanah Suci Makkah, Dr Azlan secara peribadi menyifatkan tempat itu adalah kawasan perkuburan al-Ma’la.

“Bagaimanapun, ia lebih sesuai dilawati pada musim haji kerana ketika melaksanakan umrah, kita ada kekangan masa.

“Ia terletak kira-kira empat kilometer dari Masjidilharam. Walaupun tidak dapat menghampiri makam itu kerana dipagar, kita masih berpeluang melihat dari jauh makam insan yang benar-benar disayangi Nabi SAW kerana perjuangannya terhadap Islam sangat tinggi.

“Malah, Makam Saidatina Khadijah itu juga satu-satunya terdapat pokok zaitun di atasnya,” katanya.

DR Azlan bergambar berlatar belakang Gua Thur.
DR Azlan bergambar berlatar belakang Gua Thur.

INFO

Tempat mustajab berdoa di Baitullah

1. Multazam - Terletak antara Hajar al-Aswad dan pintu Kaabah. Jaraknya di antaranya ialah kira-kira dua meter.

2. Makam Ibrahim - Berdasarkan sejarah, Makam Ibrahim asalnya adalah batu yang dibawa oleh anak Nabi Ibrahim a.s iaitu Ismail a.s sebagai tempat berpijak ketika mereka berdua membina Kaabah. Kedudukannya bertentangan dengan kawasan pintu Kaabah. Menurut Hasan al-Basri dan ulama lain, berdoa di belakangnya amat mustajab.

3. Bukit Safa dan Marwah - Dua bukit sebagai tempat mula dan akhir ibadat sa’i. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah antara syiar-syiar Allah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185). Bukit Safa menjadi saksi beberapa peristiwa antaranya, Nabi SAW ketika pembukaan Kota Makkah selepas selesai tawaf naik ke puncak Bukit Safa lalu berdoa semahu-mahunya. Disunatkan menghadap kiblat dan berdoa sebelum memulakan pusingan seterusnya.

4. Hijr Ismail - Binaan yang melengkung macam bulan sabit atau separuh bulatan di antara Rukun Iraqi dan Rukun Syami di Kaabah. Dianggap binaan asal Kaabah dan disunatkan untuk bersolat di dalamnya dan memperbanyak­kan berdoa.

5. Mizab - Saluran air yang keluar dari bumbung Kaabah atau lebih dikenali sebagai pancuran emas.

-Ia dibina kali pertama oleh Quraisy sewaktu membina atap Kaabah dan disalut emas.

Untuk berkongsi pengalaman menunaikan umrah, boleh e-mel ke

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:54 AM