GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Azlan Shaiful Baharum

ALLAH SWT mensyariatkan puasa pada tahun kedua hijrah ketika sahabat Nabi dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Pensyariatan puasa dirakamkan Allah SWT dalam Surah al-Baqarah bermula ayat 183 hingga 187.

 Ayat yang mewajibkan kita berpuasa itu mengandungi beberapa perkara penting. Antaranya, puasa termasuk syariat yang tidak dimansuhkan kerana kebaikan dan faedahnya begitu besar bagi manusia.

 Ia mendorong manusia sentiasa bersemangat melakukannya serta berlumba-lumba dengan generasi sebelum mereka dalam menyempurnakan amalan baik.

Selain itu, puasa adalah aset terbesar bagi memperoleh ketakwaan. Key Performance Indicator (KPI) ditetapkan Allah SWT iaitu takwa menjadikan puasa benteng pertahanan ampuh bagi seseorang daripada melakukan perbuatan maksiat.

Berpuasa dapat melemahkan syahwat yang menjadi punca kemaksiatan. Nilai ketakwaan dalam ibadat itu menyebabkan seseorang itu perlu meninggalkan perkara disukainya seperti makan, minum dan berjimak pada siang hari.

Jika perkara itu berjaya ditangani, dia mampu menahan diri sebagaimana berupaya menahan dirinya daripada melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.

Oleh itu, seorang Muslim akan menjadi orang bertakwa. Itulah nasihat yang sering didengari ketika khatib menyampaikan khutbah Jumaat yang turut menjadi rukun khutbah.

 Seterusnya, orang berpuasa dapat melatih dirinya sentiasa diawasi Allah SWT. Puasa mengehadkan ruang gerak syaitan yang berjalan melalui saluran darah.

Orang berpuasa biasanya banyak melakukan ketaatan dan amal soleh. Bagi orang kaya misalnya, dia dapat merasakan pedihnya rasa lapar.

 Perkara itu membuatkan dirinya dapat menyelami derita golongan fakir dan miskin sehingga membuatkan dirinya ingin bersedekah sebanyak mungkin bagi meringankan bebanan golongan itu.

Pada asalnya, Allah SWT menyampaikan semua perintah-Nya yang mudah untuk diamalkan oleh umat Islam. Sebab itu, apabila ada beberapa perkara yang menjadikannya sukar, Allah SWT memberikan kemudahan lain dipanggil rukhsah.

Contohnya, gugurnya kewajipan fardu haji bagi mereka yang tidak mampu. Begitu juga Allah meringankan pelaksanaan ibadat solat, jika seseorang itu tidak mampu berdiri, dia boleh melakukannya dengan duduk atau berbaring.

 Kehebatan doa orang berpuasa juga sangat luar biasa terutamanya pada bulan Ramadan. Allah SWT menggambarkan dalam al-Quran betapa dekatnya Dia dengan orang berpuasa.

Doa yang diungkapkan tidak akan tertolak. Maka, mohonlah doa yang baik-baik seperti keampunan dan keredaan Allah, pertambahan dan kemantapan iman, kesihatan tubuh badan dan dijauhkan daripada wabak penyakit, kematian yang baik dan diberikan rezeki yang lebih untuk amalan bersedekah.

 Kita juga boleh memohon supaya Allah kurniakan kepada kita anak
yang soleh dan solehah, keluarga bahagia dan dirahmati Allah serta dijauhkan daripada fitnah azab kubur, dajal dan seksaan api neraka.

Selain itu, kita boleh memohon secara khusus untuk memperoleh ganjaran malam lailatulqadar, syafaat Nabi Muhammad SAW dan syurga Firdaus di akhirat nanti.

Ia sangat bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Se-sungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Majah)

 Semoga Allah SWT kurniakan kita sebanyak-banyak ganjaran dan rahmat supaya KPI kita pada Ramadan kali ini akan terlaksana.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:01 AM