GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Ramadan adalah manifestasi kepada ketaatan serta kepatuhan seorang hamba kepada Allah SWT. Ketika berpuasa sepanjang Ramadan, setiap Mukmin berusaha meningkatkan tahap ketakwaan dengan berpuasa sepenuh iman serta meningkatkan amal ibadat semata-mata kerana Allah.

Untuk mencapai takwa yang tertinggi pastinya menuntut perjuangan yang tiada noktah. Ibadat puasa sepanjang Ramadan melatih Mukmin mencapai takwa. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah, ayat 183)

Namun, selepas sebulan berpuasa, tidak bermakna perjuangan mencapai takwa terhenti dengan tamatnya Ramadan. Bahkan, seruan kepada ketakwaan menjadi agenda utama seorang Muslim. Kita bukan sahaja dituntut supaya menjadi seorang Muslim yang beriman, tetapi dituntut juga supaya berusaha menjadi seorang Muslim yang bertakwa. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ali-Imran, ayat 102)

Perkara ini jelas difahami daripada seruan bertakwa yang dilaungkan khatib pada Jumaat ketika khutbah. Malah, menjadi satu rukun khutbah Jumaat ialah berpesan kepada takwa. Tidak sah khutbah Jumaat tanpa pesanan kepada takwa sebagaimana khutbah pula menjadi syarat sah solat Jumaat. Ini membuktikan takwa perkara sangat utama dan asas dalam Islam.

Ketika berpuasa Ramadan, menjadi tuntutan asas supaya meninggalkan segala larangan Allah, terutama dosa yang disebabkan oleh bicara (mulut). Ini mengambil pedoman daripada pesanan Nabi SAW berkaitan besarnya dosa yang disebabkan oleh bicara. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Sufyan bin Abdillah RA dia berkata: Aku berkata: "Ya Rasulullah, beritahulah aku sesuatu yang dapat aku jadikan pegangan." Baginda bersabda, "Katakanlah: Allah adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah." Aku berkata, "Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau takutkan atasku? Maka Rasulullah memegang lidahnya kemudian berkata: "Ini." (Riwayat Tirmizi)

Sehubungan itu, ketika menjalani ibadah puasa kita dituntut menjauhi dosa, khususnya yang disebabkan mulut. Sabda Rasulullah: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa)." (Riwayat Bukhari)

Dalam konteks ini juga Jabir RA berkata: "Jika kamu berpuasa maka puasakanlah pendengaranmu, penglihatanmu, lisanmu daripada dusta dan hal-hal yang diharamkan, janganlah menyakiti tetangga dan hendaknya kamu bersikap tenang dan wibawa pada hari puasamu dan jangan jadikan hari puasamu dan hari berbukamu (tidak berpuasa) sama." (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

Pada Ramadan, kita perhatikan suasana yang sangat islami dengan pematuhan kepada perintah Allah, khususnya ibadat khusus seperti solat, puasa dan menunaikan zakat serta bersedekah. Begitu juga dengan usaha setiap orang untuk menjauhi segala larangan Allah. Setiap orang pastinya berjuang bersungguh-sungguh untuk berpuasa (meninggalkan makan minum dan mengawal hawa nafsu). Begitu juga meninggalkan sifat-sifat buruk seperti mengumpat, memfitnah, mencaci, mencela dan segala sifat buruk yang terbit daripada lidah. Sesungguhnya ini adalah perjuangan yang tidak mudah, apatah lagi kepada yang kurang biasa dengan keadaan seperti ini. Namun, segala cabaran yang dihadapi berjaya diharungi. Ini membuktikan dengan usaha bersungguh-sungguh dan pengorbanan yang tinggi, seorang Muslim pasti berjaya mencapai tahap takwa.

Untuk menjadi seorang yang benar-benar bertakwa, semestinya meneruskan proses tarbiah (pendidikan) yang telah dilalui pada bulan Ramadan kepada bulan-bulan seterusnya. Bahkan, perkara yang sama perlu dilakukan untuk menjamin bahawa diri tidak akan kembali kepada keadaan sebelumnya (sebelum Ramadan). Jika sudah berjaya mencapai sifat takwa yang dikehendaki, maka mestilah ia dijaga supaya tidak akan kembali kepada keadaan sebelumnya.

Amalan yang telah menjadi kebiasaan semasa bulan Ramadan seperti berpuasa, solat, bersedekah dan amalan kebajikan yang lain mesti diteruskan. Dalam konteks puasa, Rasulullah menganjurkan supaya meneruskan pula dengan berpuasa enam hari pada Syawal. Ia bukan bilangan besar, tetapi bagi meneruskan ibadat puasa pada bulan biasa (selain Ramadan) bukanlah perkara mudah, malah memerlukan perjuangan dan kesabaran tinggi.

Bagaimanapun, ganjaran yang disediakan Allah bagi orang yang berpuasa enam hari ini sangat besar. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim)

Ini adalah hikmah Allah menerapkan memotivasi agar setiap orang mampu melalui cabaran ini. Ganjaran pahala besar dan fleksibiliti dalam menunaikannya (tidak berturut-turut dan tidak ditentukan hari) membuka peluang setiap orang menunaikannya.

Manakala, ibadat lain juga mesti diteruskan. Salah satu tanda amalan diterima Allah ialah apabila seseorang itu lebih baik daripada sebelumnya. Bermakna keadaan yang terbaik semasa bulan Ramadan mesti diteruskan. Ini menepati tuntutan Allah supaya kita istiqamah menunaikan perintah-Nya. Bahkan, untuk beristiqamah dalam sesuatu khususnya ibadah, adalah sangat mencabar. Adalah lebih mudah untuk memulakan sesuatu termasuklah ibadat, berbanding meneruskannya dengan konsisten.

Memandangkan ibadat puasa mendidik fizikal dan rohani, maka ia mesti menjadi agenda utama seorang Muslim di samping ibadat solat yang menjadi tiang agama. Kedua-duanya menjadi neraca kehidupan setiap Muslim. Dengan kedua-dua ibadah ini membina jati diri Muslim sejati.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 5:59 AM