GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

SEMINGGU lagi umat Islam akan menyambut kehadiran Ramadan al-Mubarak. Ramadan datang saban tahun bagi membuka peluang kepada umat Islam melipatgandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya.

Apabila diri kita dipilih untuk berada dalam bulan Ramadan, ia sesuatu perkara yang perlu disyukuri.

Sehubungan itu, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan melaksanakan amal ibadat wajib dan sunat sepanjang Ramadan.

Usah jadi orang yang rasa biasa dengan kehadiran Ramadan. Ia seolah-olah Ramadan datang bagi memenuhi kalendar Hijri pada setiap tahun.

Lebih malang lagi jika ada yang menganggap keadiran Ramadan membebankan diri kerana perlu menahan daripada makan dan minum sepanjang waktu siang.

Ramadan perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan lain.

Ramadan dipilih Allah SWT sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa. Puasa pula dikaitkan dengan takwa.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Terdapat larangan ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia. Mereka dilarang mencuri, mengaibkan orang lain, bersengketa sesama manusia, makan riba, membunuh nyawa yang tidak berdosa, berzina dan sebagainya.

Larangan itu jelas dinyatakan dalam al-Quran dan sunah. Namun, pada bulan Ramadan, manusia dilarang melakukan sesuatu yang hukumnya halal pada bulan selain Ramadan.

Manusia boleh makan dan minum pada waktu siang sepanjang 11 bulan, tetapi perbuatan itu dilarang pada bulan Ramadan.

Itulah yang membuktikan ketakwaan diri seseorang apabila berjaya meninggalkan perkara yang biasanya halal, tetapi diharamkan pada bulan Ramadan.

Bukankah itu menunjukkan ketakwaan seorang hamba terhadap perintah Allah SWT?

Ramadan juga dimuliakan Allah SWT kerana ia menjadi bulan pilihan diturunkan al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ibnu Kathir dalam Tafsir menafsirkan ayat 185 Surah al-Baqarah mengatakan: “(Dalam ayat ini) Allah SWT memuliakan bulan puasa iaitu bulan Ramadan daripada bulan-bulan yang lain. Allah SWT memuliakan Ramadan kerana memilihnya sebagai bulan untuk diturunkan al-Quran daripada bulan-bulan lainnya. Sebagaimana pada bulan Ramadan ini juga Allah menurunkan kitab-kitab yang lain kepada para nabi.”

Bukan itu sahaja, Ramadan juga dimuliakan kerana padanya ditetapkan satu malam lebih baik beramal padanya daripada seribu bulan.

Rasulullah SAW turut menjelaskan keistimewaan bulan Ramadan menerusi sabdanya yang bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu sepatutnya dijadikan motivasi oleh setiap Muslim untuk menggandakan amalan mereka.

Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala ditawarkan kepada mereka yang melakukan kebaikan dalam bulan Ramadan.

Sebarang bentuk kemungkaran perlu dijauhi kerana umat Islam perlu memberi fokus kepada pelaksanaan amal ibadat yang disyariatkan dalam Islam sepanjang Ramadan.

Ibadat fardu seperti solat dan zakat fitrah perlu ditunaikan dalam bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, zikir dan doa, solat Tarawih, qiamullail, sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadan.

Ulama salaf sentiasa teruja ingin berada dalam bulan Ramadan. Mereka memahami keistimewaan yang disediakan Allah SWT dalam bulan Ramadan kepada hamba-Nya.

Salaf as-soleh berdoa kepada Allah SWT enam bulan sebelum datangnya Ramadan agar mereka dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Kemudian setelah berakhirnya Ramadan, mereka berdoa agar amalan yang mereka kerjakan sepanjang bulan Ramadan diterima Allah SWT.

Begitulah sifat salaf as-soleh yang mendahului kita. Mereka memandang tinggi terhadap bulan Ramadan kerana memahami hakikat bulan Ramadan adalah satu rahmat besar daripada Allah SWT kepada manusia.

Ayuh kita zahirkan kegembiraan menunggu ketibaan Ramadan dengan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan puasa dan ibadat lain yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan kali ini.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:03 AM