GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Tidak lama lagi saya akan menjadi seorang bapa. Apakah panduan untuk menamakan anak yang baru lahir?

Bapa Soleh, Dengkil

Nama yang baik tidak dipandang hina oleh manusia dan tidak dipertikai oleh anak apabila dewasa kelak.

Pertikaian yang berlaku boleh jadi kerana membawa unsur hinaan atau celaan, bermaksud buruk dan keji, nama orang yang terkenal sebagai pelaku maksiat dan seumpamanya.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang lebih baik.

Misalnya, nama individu itu ialah Qalil yang bermaksud sedikit, Baginda mengubah nama itu menjadi Kathir yang bermaksud banyak.

Seorang wanita bernama ‘Asiyah (pelaku maksiat), maka Baginda mengubah namanya menjadi Jamilah, Solehah dan sebagainya.

Nama yang baik ialah nama yang tidak terdiri daripada nama yang dihambakan selain Allah SWT. Contohnya, Abdul Kaabah (hamba Kaabah), Abdul Nabi (hamba Nabi), Abdul Husain (hamba Husain) dan nama yang seumpama dengannya.

Ibn Hazm menjelaskan, jumhur ulama bersepakat atas pengharaman menamakan anak dengan setiap nama yang dihambakan kepada selain Allah SWT.

Begitu juga nama yang menghampiri ciri-ciri nama sedemikian dan masyhur dalam golongan bukan Arab.

Contohnya, Ghulam Ahmad, Ghulam Ali, Ghulam Jailani dan seumpamanya. Nama yang baik ialah nama yang tidak ada unsur takbur, keagungan serta meninggikan darjat manusia dengan cara yang tidak sepatutnya.

Abu Hurairah meriwayatkan: “Nama yang paling hina di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah Malik al-Amlak (yang memiliki segala kekuasaan). Tiada pemilik segala kekuasaan melainkan Allah.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga tidak boleh menamakan anak dengan nama Allah yang hanya dikhaskan bagi-Nya. Contohnya, Al-Rahman (Yang Maha Pemurah), Al-Muhaimin (Yang Maha Mengawasi), Al-Jabbar (Yang Maha Gagah) dan sebagainya manakala menyifatkan nama-nama yang dinyatakan secara umum iaitu tanpa huruf alif dan lam adalah tidak dilarang.

Contohnya Aziz (yang tinggi), Halim (yang lembut), Rauf (yang mengasihani), Nafi’ (yang memberi manfaat) dan sebagainya.

Nama terbaik seperti dijelaskan dalam hadis ialah nama yang dihambakan kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan Ibn Umar: “Nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah (hamba Allah) dan Abdul Rahman (hamba kepada Yang Maha Pemurah).” (Riwayat Muslim)

Nama yang baik ialah menamakan anak dengan nama nabi, orang soleh dan alim ulama sebagai galakan dan doa supaya menurut jejak langkah mereka.

Tidak dinafikan ada yang menggunakan nama umat terdahulu khususnya nama nabi yang dijadikan ikutan dan teladan sepanjang zaman, orang mukmin dan seumpamanya seperti Ibrahim, Ismail, Yusuf, Musa dan Maryam.

Tiada larangan menamakan anak dengan nama bukan Arab selagi maknanya baik dari sudut bahasa. Ramai golongan mualaf tidak mengubah nama kepada nama Arab, bahkan mengekalkan nama asalnya walaupun mereka sudah memeluk Islam.

Malah, ada sahabat Nabi dan tabiin memiliki nama berasal daripada nama tumbuhan seperti Talhah (pokok Talha), Salma (pokok Salma) dan Handzalah (pokok yang buahnya begitu pahit).

Selain itu, ada juga dinamakan dengan sifat yang baik dan terpuji seperti ‘Amir (yang panjang umur), Umar (yang mempunyai umur yang panjang), Sa’id (yang bahagia), ‘Aisyah (yang hidup), Safiyyah (yang bersih) dan sebagainya.

Jangan mengambil mudah menamakan anak hanya mengikut sedap didengar, tetapi perlu berdasarkan ilmu serta bertanya kepada ilmuwan yang dipercayai.

Ia penting supaya nama anak itu tidak mengandungi makna buruk dan hina sehingga anak kita mempertikaikan nama yang diberikan kepadanya kelak.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:43 AM