KETAKWAAN serta kepatuhan seseorang Muslim mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT.
KETAKWAAN serta kepatuhan seseorang Muslim mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT.
Oleh Nor Asree Mohd Moh

Kemuliaan seseorang diukur dengan tahap kepatuhan dan ketaatan dirinya terhadap Allah SWT. Tidak kira sebesar mana jawatan seseorang mahupun sebaliknya, jika konsep penghambaan dan takwa yang didasari dalam diri, maka ia adalah perkara yang disukai oleh Sang Pencipta.

Allah SWT berfirman: "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra': 1).

Dalam ayat al-Isra' ini, Allah menggunakan perkataan 'abdun' atau hamba yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW ketika memperjalankan baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Al-Quran tidak menggunakan perkataan nabi atau rasul atau Muhammad sekalipun.

Hal kerana kedudukan seorang hamba ini sebenarnya lebih 'dipandang' Tuhan. Walaupun hamba sinonimnya dengan sifat hina, rendah, miskin, kotor dan lainnya, akan tetapi pengakuan diri seseorang hamba akan jurang perbezaan antara hamba dengan Tuhan inilah yang menjadikan dirinya terasa rendah, kotor serta hina di sisi Tuhan.

Lalu, secara automatik dia telah mengiktiraf bahawa terdapat zat Maha Esa yang Maha Mulia, Maha Tinggi, Maha Kaya yang mentadbir dirinya. Maka, perbezaan ini menjadikan semakin tinggi sifat penghambaan seseorang terhadap Tuhannya, maka semakin tinggi kemuliaannya di sisi Tuhan.

Begitu juga, sifat takwa. Allah sesekali tidak menghukum dan menilai seseorang berdasarkan apa telah ditetapkan oleh-Nya seperti warna kulit, rupa, keluarga, latar belakang keturunan, budaya dan lain-lain, tetapi mutu diri dalam menggapai takwa sahaja yang akan diukur bagi menentukan martabat hamba di sisi-Nya.

Antara makna takwa selain daripada memelihara diri daripada tergelincir dalam kancah maksiat ialah juga memelihara hubungan yang baik dengan Allah itu sendiri. Firman Allah 'Azza wa Jalla: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku supaya kamu saling (kenal-mengenali antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al-Hujurat: 13).

Kisah seorang rasul mulia dan keluarganya diabadikan oleh Allah SWT dalam al-Quran kerana sebuah pengorbanan yang ditunjukkan mereka dalam membuktikan sifat penghambaan dan takwa terhadap perintah Rabb Jalil.

Dalam sirah, sebaik sahaja Nabi Ibrahim AS dan Hajar AS dikurniakan anak lelaki, Nabi Ismail AS, Allah SWT memerintahkan baginda membawa isteri serta anaknya bermusafir jauh ke Makkah. Lalu, baginda meninggalkan mereka berdua di sana, tanah yang tandus dan gersang dengan tiada tumbuhan.

Peristiwa ini dirakam oleh Allah SWT dalam firman-Nya: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki (untuk) mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." (Surah Ibrahim: 37).

Dalam ayat ini, dapat dilihat sifat penghambaan dan takwa Nabi Allah dan keluarga terhadap perintah Allah SWT. Disebut dalam riwayat sirah bahawa isterinya, Hajar AS ketika ingin ditinggalkan oleh Ibrahim AS, beliau sempat bertanya mengenai tindakan suaminya yang dilihat pada awalnya seperti perkara tidak masuk akal.

Hal ini kerana tempat yang beliau dan anaknya berada tidak dihuni oleh manusia dan tidak mempunyai sebarang tumbuhan mahupun makanan yang secara logik akalnya tidak munasabah dan mustahil untuk kekal di sana dalam tempoh lama.

Sebaik sahaja beliau bertanya mengenai adakah perbuatan tersebut arahan dan perintah daripada Allah SWT dan Ibrahim AS mengiakannya, barulah beliau pasrah tanpa sebarang keluhan serta yakin bahawa Tuhan sesekali tidak akan mensiakan diri dan keluarganya. Fitrah seorang ayah pasti juga akan berasa berat dan sedih dalam berbuat demikian.

Kebiasaannya seorang perempuan yang bersifat lemah berbanding lelaki, tambahan pula anak yang masih kecil diletakkan di tempat begitu, yang mungkin mengundang pelbagai bahaya, seperti disamun oleh perompak padang pasir, dimakan binatang buas dan sebagainya.

Diuji lagi dengan keadaan sekeliling yang panas tanpa tumbuhan, menjadikan Hajar AS berusaha dengan berlari-lari anak untuk menyelamatkan anak dan dirinya untuk terus bertahan di sana.

Maka, demi Allah yang mengangkat darjat mereka, Allah dengan ketetapan-Nya telah menjadikannya sebagai sejarah untuk ditatapi oleh semua orang Islam, yang juga didikan rabbani buat keluarga Nabi Allah Ibrahim AS ini. Kepatuhan dan ketaatan mereka dapat dijadikan pengajaran buat seluruh Muslimin.

Patuh dan taat adalah suatu elemen tunjang dalam Islam berkait rapat dengan sifat penghambaan dan takwa apabila hamba hakiki tidak mempersoalkan perkara bersifat ta'abbudi atau peribadatan telah 'diwartakan' oleh Allah SWT, yang hanya bergantung pada keimanan dan kepercayaan yang jitu dalam diri seseorang.

Oleh itu, umat Islam perlu mendalami al-Quran dan hadis sebaik-baiknya, seiring dengan ilmu lain seperti ilmu sirah supaya mereka dapat melihat cara orang soleh terdahulu, dalam kalangan nabi AS, sahabat RA dan lain-lain; terlebih awal dibentuk peribadi mereka dengan dugaan dan ujian berat yang adakalanya keluarga sendiri menjadi penentang dalam mengembangkan agama.

Di samping itu, ia perlu diselangi dengan carian dan penggalian hikmah di sebalik peristiwa demi peristiwa berlaku dan juga perkara lain dalam agama yang ditetapkan oleh syariat terutama dalam menepis pelbagai cabaran hari ini seperti ajaran songsang yang cuba mengganggu gugat akidah seseorang.

Penulis Pensyarah Ketua Jabatan Jabatan Bahasa dan Wajib Universiti Pusat Asasi dan Pengajian Umum Universiti Melaka (Unimel)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 6:00 AM