ANTARA perkara yang mesti diambil berat ialah setiap bacaan zikir, doa dan ungkapan disebutkan dalam solat. FOTO Arkib BERNAMA
ANTARA perkara yang mesti diambil berat ialah setiap bacaan zikir, doa dan ungkapan disebutkan dalam solat. FOTO Arkib BERNAMA
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Solat anugerah yang tak ternilai kepada umat Nabi Muhammad SAW. Hanya umat ini sahaja yang menerima anugerah hebat ini, tidak ada pada umat yang lain. Ia dianugerahkan oleh Allah SWT dalam peristiwa yang sangat istimewa iaitu peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rejab.

Ia adalah simbolik keimanan yang mutlak kepada Sang Pencipta alam semesta sejagat ini. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa',  ayat  103 yang bermaksud: "Sesungguhnya  solat  itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya."

Bersempena peristiwa agung ini, marilah kita mengambil ibrah dan pengajaran daripada falsafah dan rahsia solat itu sendiri.

Banyak perkara yang begitu hebat dalam solat. Antara perkara yang mesti diambil berat ialah setiap bacaan zikir, doa dan ungkapan disebutkan dalam solat. Walaupun bahasa rasmi solat seharian ini ialah bahasa Arab, tetapi sebagai orang yang bukan Arab kita perlu melihat pengertiannya supaya dapat menjiwai setiap bacaannya dengan baik. Mari kita fahami dan ulang kaji maksud setiap bait dan ungkapan yang indah ini.

Doa Iftitah

Doa yang sunat dibaca di awal solat sebelum bacaan al-Fatihah mengandungi pujian kepada Allah SWT dan perjanjian taat setia kepada-Nya untuk menyerahkan segala jiwa raga hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Maksud bacaannya adalah seperti berikut: "Allah Maha Besar tiada yang boleh menandingi kebesaran-Nya, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan aku berpegang pada ajaran yang benar dan menyerah diri kepada-Nya. Tidaklah aku daripada golongan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya dan dengan demikian aku diperintahkan (untuk mentaati-Nya) dan aku sebahagian daripada orang yang berserah diri kepada-Nya."

   

Surah al-Fatihah

Surah yang merupakan salah satu daripada rukun solat yang mesti dibaca. Surah yang menjadi pembuka kepada kitab suci al-Quran mempunyai sekurang-kurangnya tiga elemen yang penting dalam kehidupan seorang hamba iaitu pengakuan kekuasaan dan keagungan Allah, pengakuan dan pengabdian seorang hamba kepada-Nya serta permohonan mendapat petunjuk dalam kehidupannya dan keimanannya.

Maksud bacaanya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya pada-Mu Kami sembah dan hanya pada-Mu kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka. Dan bukan jalan orang yang engkau murkai dan orang yang sesat." (Surah al-Fatihah: ayat 1-7)

Bacaan rukuk, iktidal dan sujud

Bacaan yang sunat dibaca berulang kali dalam semua perbuatan solat ini mengandungi pujian, membesarkan dan mensucikan Allah SWT. Maksud bacaannya adalah seperti berikut:

• Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung dan pujian bagi-Nya.

• Allah mendengar  sesiapa yang memuji-Nya, Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.

• Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi, dan pujian bagi-Nya.

Bacaan duduk di antara dua sujud

Walaupun hanya duduk seketika di antara dua sujud, kita sentiasa memohon lapan doa yang cukup ringkas, tetapi pengertian yang besar dalam jiwa kehambaan seorang insan yang sentiasa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Maksud doanya:  "Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku, rahmatilah aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepadaku, berikan keafiatan kepadaku, maafkanlah aku."

Doa Qunut

Bacaan yang sunat dibaca pada waktu solat Subuh, menggambarkan pengertian 'qunut' yang juga manifestasi ketaatan berterusan seorang hamba kepada Maha Pencipta. Dia sentiasa mengetahui kehendak dan keperluan hamba-Nya dalam melayari kehidupan sementara ini ke arah kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat.

Maksud bacaannya: "Ya Allah berilah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan petunjuk. Berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan. Peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan. Berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan. Selamatkan aku daripada sebarang kejahatan yang Engkau telah tetapkan. Maka sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan dan tiada siapa boleh mengubahnya. Maka sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Tidak mulia orang yang Engkau memusuhinya. Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha tinggi Engkau. Maka segala pujian bagiMu atas ketetapanMu. Aku memohon keampunan daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu. Semoga Allah mencurahkan kesejahteraan dan keselamatan kepada kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabatnya sekalian."

Doa tasyahhud (tahiyyat) awal dan akhir

Sebelum mengakhiri solat, seorang Muslim akan membaca penyaksian yang sangat penting iaitu memperbaharui pujian, dan membesarkan Sang Pencipta. Memperbaharui penyaksian dengan lafaz dua kalimah syahadah. Seterusnya menutupnya dengan selawat yang paling afdhal iaitu  As-Solatul Ibrahimiyyah  yang indah. Simbolik penghormatan umat kepada Nabi Ibrahim AS dan daripada baginda munculnya penghulu segala Nabi iaitu Rasulullah SAW.

Maksud bacaannya ialah: "Segala kehormatan, keberkatan, kesejahteraan dan kebaikan hanya untuk Allah. Keselamatan, rahmat Allah dan keberkatanNya tetap kepadamu wahai Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah kesejahteraan kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau telah memberikan kesejahteraan kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Sesungguhnya Engkau sahajalah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia."

Akhirnya, semoga kita dapat menghayati semua bacaan yang indah dalam solat seharian kita. Menjiwainya amat penting untuk kita mencapai solat yang khusyuk dan memberikan kesan yang positif dalam pembentukan peribadi dan akhlak kita sebagai seorang hamba Allah di atas muka bumi ini.

Penulis Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 7:01 AM