GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori
GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum seseorang yang berjaga sepanjang malam, contohnya pada musim peperiksaan dan seumpamanya?

Persoalan berkaitan isu itu hendaklah dilihat kepada faktor yang membawa kepada berjaga malam berkenaan. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan hal itu.

Ia berkait rapat dengan aktiviti atau perbuatan apakah yang dilakukan pada masa itu. Dalam satu hadis diriwayatkan Abdullah Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada perbualan pada waktu malam melainkan untuk orang yang menunaikan solat atau bermusafir.” (Riwayat al-Tirmizi - 2730)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah dalam mensyarahkan maksud perkataan ‘sa ma ra’ beliau berkata: “Ia adalah perbuatan berbual-bual pada waktu malam. (Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri - 1/433)

Berdasarkan hadis itu, perbuatan berjaga malam untuk berbual-bual selepas solat Isyak tidak dibolehkan kecuali bagi orang yang solat atau sedang bermusafir.

Larangan itu lebih jelas dapat dilihat berdasarkan hadis yang turut diriwayatkan Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah melarang kami daripada perbuatan berjaga malam (berbual-bual) selepas dari solat Isyak.” (Riwayat Ibn Majah - 703)

Imam Ibn Majah dalam komentar ringkasnya terhadap maksud perkataan ‘ja da ba’ beliau berkata: “Iaitu memberi amaran dan melarang kami.”

Namun, larangan dalam beberapa riwayat itu tidaklah datang dalam bentuk mutlak. Ini kerana terdapat beberapa riwayat menunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat sendiri melakukan hal itu (berjaga malam) iaitu dengan adanya hajat keperluan dan juga manfaat.

Antaranya seperti yang ditunjukkan satu hadis diriwayatkan Umar bin Al-Khattab, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah berbual-bual pada waktu malam bersama Abu Bakar bagi membincangkan urusan umat Islam dan aku turut serta bersama mereka berdua. (Riwayat al-Tirmizi - 169)

Imam Al-Syaukani Rahimahullah menukilkan pandangan yang amat baik daripada Imam Al-Tirmizi dalam mengulas isu berkenaan, katanya: “Para ahli ilmu dalam kalangan sahabat-sahabat Nabi, para tabiin dan golongan selepas mereka berbeza pendapat berkenaan perbuatan al-samar (berjaga malam untuk berbual-bual) selepas solat Isyak.”

Sebahagian mereka menghukum makruh perbuatan itu manakala sebahagian lain memberikan keringanan sekiranya membincangkan perkara ilmu.

Kebanyakan hadis menunjukkan kepada rukhsah (keringanan terhadap perbuatan itu). Hadis berkenaan menunjukkan tidak makruh perbuatan berbual-bual pada waktu malam selepas Isyak sekiranya untuk keperluan agama sama ada bersifat umum atau khusus.

Hadis daripada Abi Barzakh dan Ibnu Mas’ud pula menunjukkan kepa-da makruh. Cara untuk dihimpunkan antara kedua-duanya (hadis yang menunjukkan makruh dan hadis yang menunjukkan harus) adalah dengan mentaujihkan hadis yang melarang, merujuk kepada ucapan yang harus namun tidak ada faedah padanya. Hadis yang membenarkan, merujuk kepada ucapan terdapat padanya faedah. (Rujuk Nail al-Authar, Al-Syaukani - 2/19)

Kami menyatakan, berjaga malam dengan tujuan kebaikan seperti berbincang mengenai sesuatu yang boleh mendatangkan maslahah untuk ummah, menuntut ilmu serta menunaikan tanggungjawab bekerja adalah diharuskan.

Sebaliknya, berjaga malam untuk mencuri, melakukan maksiat dan pelbagai kejahatan lain adalah haram. Berjaga sehingga lewat malam untuk berbual-bual kosong, menonton wayang, melihat perlawanan bola sepak dan seumpamanya pula sekiranya membawa kepada pengabaian solat Subuh, maka ia membawa hukum makruh.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:48 AM