GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
hmdigital

SESEORANG itu masuk ke dalam masjid dan terus duduk di dalam saf. 

Kemudian dia tersedar masih belum mendirikan solat sunat tahiyatul masjid. Bolehkah  dia bangun semula  dan melakukan solat tahiyatul masjid?

Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut kepada seseorang yang memasuki masjid. 

Satu hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk se-hingga dia selesai solat dua rakaat.” (Riwayat Al-Bukhari) 

Ulama mengeluarkan beberapa faedah daripada hadis itu dan kami seperti berikut:

Hadis itu menjelaskan disyariatkan solat dua rakaat bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid.

Ia turut menjelaskan solat tahiyatul masjid jumlahnya dua rakaat. 

Justeru, tidak diterima sekiranya dilakukan hanya satu rakaat sahaja.

Sebahagian ulama berpendapat, arahan mendirikan solat sunat tahiyatul masjid hanya membabitkan orang yang ingin duduk di dalam masjid sahaja. 

Jika seseorang itu masuk, kemudian keluar tanpa hajat untuk duduk di dalam masjid, maka dia tidak termasuk dalam tuntutan itu.

Terdapat satu hadis menjelaskan kepentingan mendirikan solat tahiyatul masjid sekalipun seseorang itu sudah duduk sebentar seperti yang diriwayatkan Abu Zar Al-Ghifari R.A, beliau berkata: “Aku pada suatu hari masuk ke dalam masjid, lalu aku melihat bahawa Rasulullah SAW sedang duduk secara bersendirian. Kemudian Baginda berkata kepadaku yang bermaksud: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya bagi masjid itu ada tahiyatnya. Sesungguhnya tahiyat (bagi masjid) adalah dua rakaat. Maka bangunlah kamu dan dirikan dua rakaat tersebut.

Kemudian Abu Zar berkata: “Lalu aku pun bangun dan mendirikan solat dua rakaat, kemudian aku kembali dan duduk semula bersama Rasulullah SAW.” (Riwayat Ibn Hibban)

Imam Al-Nawawi rahimahullah menyebutkan, ulama bersepakat, solat sunat tahiyatul masjid adalah sunah dan jika tiada keuzuran, makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Rujuk  Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab - 4/52)

Perlu dijelaskan bahawa tahiyatul masjid itu terhasil dengan sendirinya apabila seseorang melakukan solat fardu atau solat sunat lain. Tujuannya supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa  solat terlebih dahulu kerana menghormati masjid.

Berkaitan isu mendirikan solat tahiyatul masjid selepas  duduk sebentar, satu hadis diriwayatkan Jabir R.A, bahawa Sulaik Al-Ghatafani mahu solat Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk di atas mimbar. 

Sulaik terus duduk sebelum mendirikan solat (dua rakaat). Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu sudah mendirikan solat dua rakaat?’’ 

Maka Sulaik menjawab: “Tidak’’. Kemudian Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, hukum mendirikan solat tahiyatul masjid selepas seseorang duduk adalah dibolehkan.

Namun, pendapat yang terpilih adalah dibolehkan sekiranya tempoh masa duduk itu sebentar sahaja dan bukan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 10:13 AM