FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
AL-FIQH

SELEPAS Allah menciptakan bumi, apakah kejadian yang mula-mula sekali Allah ciptakan?

Pada mulanya, Allah ciptakan air yang mana pada peringkat awal ciptaannya semua air itu tawar. Selepas itu, Allah ciptakan pula tumbuh-tumbuhan yang pada mulanya tiada satu pun pohon berduri.

Kemudian, Allah ciptakan pula binatang dan hidupan liar dan semua binatang itu jinak-jinak belaka, boleh berkumpul dan bermain bersama manusia pada mulanya.

Tetapi, sejak Qabil membunuh adiknya, Habil, maka semua air menjadi masin kecuali sedikit sahaja yang masih kekal dengan sifat tawarnya.

Sesetengah pokok pula tumbuh duri dan sebahagian binatang pula lari masuk dalam hutan dan menjadi liar seraya mereka berkata, “Orang yang berlaku khianat terhadap saudaranya tidak akan selamat selama-lamanya.” (al-Mudabighi)

Mengikut ulama, sebaik hujan, disunatkan supaya kita mandi atau mengambil wuduk melalui curahan air hujan yang mencurah-curah ketika itu.

Adakah afdal kita berniat mandi sunat kerana hujan atau berniat mengangkat hadas?

Sebaik-baiknya hendaklah mengambil wuduk dan mandi atau mandi kemudian diikuti dengan berwuduk sekadar tidak sunyi salah satu daripada kedua-duanya.

Tetapi memadai sekiranya membasuh kedua-dua tangan sahaja atau membasuh muka sahaja. Jika diniatkan wuduk dan mandi kerana sebabnya (iaitu kerana turunnya hujan) adalah lebih utama dan memadai selama ia tidak menggunakan wuduk itu untuk tujuan solat, membaca al-Quran atau lain-lainnya.

Ulama menyatakan, disunatkan kita bertasbih ketika bunyi guruh, petir atau ketika nampak kilat. Bagaimana sekiranya kita tidak nampak kilat, cuma mendengar bunyi guruh atau kita nampak kilat, tetapi tidak mendengar bunyi guruh, adakah disunatkan bertasbih?

Disunatkan kita bertasbih pada kedua-dua keadaan sama ada ketika melihat kilat sahaja atau kita hanya mendengar petir. Lebih-lebih lagi apabila kita mendapati kedua-duanya.

Ketika mendengar guruh hendaklah dibaca: “Subhana man yusabbihu al-ra’du bihamdihi wal mala’ikatahu min khifatihi” bermaksud: “Maha Suci Dia yang mana guruh dan malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya.”

Apabila melihat kilat hendaklah dibaca: “Subhana man yurikumul-barqa khaufan wa thama’a”, maksudnya: “Maha Suci Dia yang memperlihatkan kilat kepada kamu bertujuan untuk menakutkan dan memberikan harapan.”

Sumber: Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 11:59 AM