FOTO hiasan. FOTO Nadim Bokhari
FOTO hiasan. FOTO Nadim Bokhari
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Ada yang beranggapan Islam tidak menunjukkan toleransi terhadap agama lain. Malah, ada juga yang menuduh Islam menindas agama lain.

Cara hidup Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh terbaik bagaimana berurusan dan berinteraksi dengan orang yang berbeza agama dan kepercayaan.

Toleransi dengan orang yang berbeza agama boleh dilihat dalam perlembagaan yang dibentuk di Madinah. Al-Quran menyebut perkara itu seperti dinyatakan dalam Surah al-Kafiruun, ayat 6 yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Semenanjung Arab pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah sebuah wilayah yang mempunyai pelbagai agama.

Ada orang beragama Kristian, Yahudi, Zoroastrian dan Polytheist. Kehidupan Nabi SAW mempamerkan toleransi yang tinggi terhadap orang bukan Islam.

Contoh terbaik toleransi yang ditunjukkan Nabi SAW adalah dari sudut perlembagaan itu sendiri. Apabila Baginda berhijrah ke Madinah, selain peranannya sebagai pemimpin agama, Baginda juga menjadi pemimpin politik sebuah negara ditadbir mengikut ajaran Islam.

Pentadbiran yang dilaksanakan menuntut undang-undang tadbir urus yang jelas bagi memastikan keharmonian dan kestabilan masyarakat pelbagai agama dan kepercayaan dapat hidup dengan damai.

Oleh kerana itu, Nabi SAW meletakkan perlembagaan menjelaskan tanggungjawab semua pihak yang tinggal di Madinah, kewajipan terhadap satu sama lain dan batasan tertentu yang perlu dipatuhi di tempat masing-masing.

Semua pihak harus mematuhi apa yang disebut di dalamnya. Sebarang pelanggaran dalam artikel itu dianggap sebagai perbuatan khianat.

Artikel pertama perlembagaan itu adalah semua penduduk Madinah, kaum Muslimin serta orang bukan Islam dirujuk sebagai ‘satu bangsa’.

Semua penduduk dianggap anggota dan warga masyarakat Madinah tanpa mengira agama, bangsa, atau keturunan.

Orang beragama lain dilindungi daripada bahaya seperti orang Islam. Ini dinyatakan dalam artikel lain, “Orang Yahudi yang mengikut kita (orang Islam) diberi pertolongan dan keadilan. Dia tidak akan diancam dan musuh-musuhnya juga tidak akan dibantu.”

Sebelum ini, setiap suku puak mempunyai kumpulan masing-masing dan musuh di dalam dan luar Madinah. Nabi SAW kemudian mengumpul serta menyatukan suku puak itu di bawah satu sistem tadbir urus.

Maka, semua puak mesti bertindak bersama tanpa mengira kabilah. Serangan ke atas agama atau puak lain dianggap sebagai serangan ke atas negara, kerajaan dan juga ke atas umat Islam.

Kehidupan penganut agama lain dalam masyarakat Islam juga diberi status perlindungan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seseorang yang mempunyai gencatan senjata dengan umat Islam maka ia tidak akan cium bau syurga.” (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda dalam hadis sahih bermaksud: “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada hari kiamat.” (Riwayat Abu Daud)

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 12:21 PM