FOTO hiasan. FOTO Aizuddin Saad
FOTO hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Rizal Azman Rifin

Akhir-akhir ini, kejadian gempa bumi semakin kerap berlaku. Kalau dilihat dari sudut sains, dikatakan kawasan yang terjejas itu berada dalam Lingkaran Api Pasifik iaitu negara yang berisiko tinggi mengalami gegaran gempa bumi.

Terkini, kejadian gempa bumi melanda negara jiran kita di Lombok, Indonesia. Selain itu, kejadian gempa bumi juga turut berlaku di beberapa negara lain.

Melihat kejadian gempa bumi yang berlaku itu, Rasulullah SAW pernah menyebut mengenainya. Baginda SAW mengaitkannya dengan peristiwa hari kiamat.

Abu Hurairah pernah memberitahu, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kejadian gempa bumi bukan saja perlu dilihat dari aspek ilmu sains iaitu kedudukan geografi dan geologi semata-mata, ia juga perlu dilihat dari sudut agama.

Seorang lagi sahabat Baginda SAW, Salamah bin Nufail As-Sukumi ada menceritakan: “Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda memberitahu kepada kami dengan bersabda: ‘Sebelum terjadinya kiamat akan terdapat kematian-kematian mengerikan dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi.’” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jelas kepada kita, peristiwa kejadian gempa bumi sebenarnya isyarat nyata alam semesta termasuklah bumi sudah ‘tua’ dan menunggu masa untuk berakhir.

Seharusnya peristiwa kejadian gempa bumi yang kerap terjadi itu mengingatkan kita kepada kiamat yang semakin hampir.

Peringatan demi peringatan disampaikan Allah buat manusia menerusi pelbagai kejadian di bumi sepatutnya membuatkan manusia kembali memperkukuhkan keperibadian diri dengan pengisian takwa dan iman.

Banyak fenomena dahsyat yang sudah dan sedang berlaku di muka bumi ini seharusnya mendidik manusia memahami dunia ini tidak akan kekal buat selamanya.

Selama ini kita mungkin ghairah mengecapi nikmat dunia dengan memperlakukan sumber alam sewenang-wenangnya. Bukan sedikit perilaku ‘mengkhianati’ amanah Allah dilakukan manusia.

Sikap ‘mendewakan’ dunia dan melupakan kehidupan akhirat semakin menonjol dalam diri manusia hari ini. Seolah-olah kehadiran manusia untuk mengaut segala nikmat tanpa memikirkan satu masa yang ditetapkan Allah kelak, manusia akan beralih ke alam lain pula.

Dunia adalah destinasi persinggahan sementara sudah tidak termaktub dalam minda dan jiwa. Apatah lagi untuk mengajak diri memikirkan betapa dahsyatnya hari kiamat dan untung nasib di alam akhirat kelak.

Kejadian alam yang berlaku juga boleh kita tafsirkan sebagai ‘teguran’ Allah ke atas sikap manusia yang lupa diri dan tidak mahu kembali mengikut ajaran-Nya yang sebenar.

Menyentuh sejarah umat terdahulu, mereka sudahpun mengalami penderitaan begitu pedih lantaran sikap penderhakaan terhadap apa yang dibawa utusan Allah.

Misalnya, kaum Madyan, ‘Aad dan Thamud yang pernah hidup dengan penuh gemilang hasil kecerdikan mereka dalam ilmu pengetahuan, tetapi kerana derhaka terhadap perintah Allah, mereka tetap tidak selamat.

Ketiga-tiga kaum itu bukan calang-calang kerana mereka dikurniakan ilmu pengetahuan dan bakat sehingga cemerlang dan gemilang dalam pelbagai bidang.

Dalam Surah al-Ankabut ayat 36 dan 37, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Kami mengutus) kepada penduduk Madyan, saudara mereka Syu’aib, maka ia berkata: ‘Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, harapkanlah (pahala) hari akhir dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan. Maka mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat, dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.’”

Itulah akibat buruk apabila manusia menentang dan menderhaka kepada Allah SWT. Bagaimanapun, setakat mana kita insaf dengan paparan sejarah yang diceritakan Allah dalam Kitab Suci-Nya itu?

Jarang sekali kita mahu membaca al-Quran sambil menghayati maksud yang ingin disampaikan. Kaum ‘Aad dan Thamud dibinasakan Allah lantaran penderhakaan terhadap ajaran yang disampaikan nabi yang diutuskan Allah kepada mereka.

Hal itu dapat kita kesan melalui ayat 38, Surah al-Ankabut, “Dan juga ingatlah kaum ‘Aad dan Tsamud, sesungguhnya sudah nyata bagi kamu kehancuran daripada bekas-bekas tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan perbuatan mereka dirasakan indah, sehingga menghalang mereka ke jalan Allah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.”

Selain itu, Allah turut menyatakan pengakhiran hidup manusia yang menentang utusannya (nabi) seperti yang berlaku ke atas Qarun, Firaun dan Haman.

Ia dikisahkan menerusi ayat 39 surah yang sama. Dalam ayat itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Sesungguhnya datang kepada mereka Musa AS dengan keterangan-keterangan yang nyata. Tetapi mereka sombong di bumi dan mereka orang-orang yang tidak luput (daripada azab Allah).”

Dalam ayat 40 Surah al-Ankabut juga, Allah berfirman yang bermaksud: “Maka mereka semua Kami azab kerana dosa-dosanya, di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, ada yang ditimpa suara kuat yang menggemparkan, ada yang Kami benamkan terus ke dalam bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan. Allah tidak sama sekali mahu menzalimi mereka, tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.”

Demikian dahsyatnya keadaan apabila manusia sudah mencapai tahap penderhakaan melampau terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:43 AM