GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

SEBAGAI umat terakhir, kita sebenarnya berada di penghujung dan sedang menyaksikan alam ini bakal berakhir.

Pada satu hari nanti, alam ini tidak akan dapat dilihat lagi. Selepas kematian, setiap manusia akan melalui dan ‘melihat’ alam baru iaitu barzakh.

Malah, lebih lama dan lebih mencabar daripada alam barzakh adalah alam mahsyar. Paling singkat berada di dalam alam mahsyar seperti yang dinyatakan oleh ulama adalah 50,000 tahun.

Kita semua tetap akan menghadap Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al-Mu’minuun, ayat 115)

Paling menyedihkan bagi umat Nabi Muhammad SAW, malah tidak pernah diinginkan mana-mana nabi dan rasul adalah menghadapi hari kiamat dan fitnah dajal.

Sejak zaman nabi-nabi terawal lagi iaitu zaman Nabi Saleh dan Nabi Nuh, mereka semua berdoa supaya diselamatkan daripada fitnah dajal.

Setiap umat Nabi Muhammad SAW yang sudah meninggal dunia sebelum berlaku dua musibah besar itu, mereka menjadi golongan yang ‘selamat’.

Ini kerana seluruh kuasa dan sihir akan digunakan dajal untuk menarik iman manusia.

Pada hari kiamat pula, golongan yang akan melihat kedahsyatannya hanya ahli neraka yang akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Menyaksikan kiamat itu adalah sesuatu perkara yang sangat buruk. Dinyatakan dalam satu hadis sahih, beberapa ketika sebelum berlakunya kiamat, akan keluar angin dari Yaman yang melata lalu dihembus ke seluruh muka bumi.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan mengirim satu angin dari arah Yaman yang lebih lembut daripada sutera. Setiap orang yang masih memiliki keimanan dalam hatinya, walau hanya sebesar biji sawi, pasti akan dicabut rohnya oleh angin itu tanpa tersisa seorang pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang yang berada di dalam kubur.” (Surah al-Hajj, ayat 7)

Dikisahkan, ada seorang pemimpin Islam yang zalim bernama Al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi. Dia pernah membunuh ramai umat Islam termasuk golongan ulama.

Dia juga pernah memanggil seorang sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Anas bin Malik ke istananya untuk dibunuh.

Bagaimanapun, ketika Anas masuk ke dalam istananya, pembesar istana melihat Al-Hajjaj menggeletar ketakutan dan menyuruh Anas pulang.

Al-Hajjaj mengatakan, dia melihat dua makhluk yang besar di belakang Anas.

Anas bin Malik adalah seorang sahabat bertaraf ulama. Maka, ada orang datang mengadu kepada beliau mengenai kezaliman Al-Hajjaj yang memerintah kerajaan Umayyah ketika itu.

Bagi Al-Hajjaj, seorang raja tidak boleh disanggah dan sesiapa yang berbuat demikian dianggap sebagai penderhaka dan pemberontak yang wajib dibunuh.

Bagaimanapun, Saidina Anas bin Malik menasihati supaya mereka bersabar. Dalam satu hadis, daripada Anas bin Malik, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah datang suatu zaman pada kalian kecuali orang-orang pada zaman itu lebih jahat daripada orang-orang yang ada pada zaman sebelum kalian.”

Lagi dekat dengan hari kiamat, iman umat Nabi Muhammad SAW kian nipis dan semakin jauh daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, bagi menghadapi pelbagai jenis fitnah pada akhir zaman ini, Nabi SAW mengajarkan bacaan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir daripada Surah Al-Kahfi.

Kita perlu sentiasa mengingatkan diri serta mengajak ahli keluarga supaya sentiasa mengamalkan bacaan ayat daripada Surah Al-Kahfi itu.

Ini kerana daripada 114 surah yang diturunkan oleh Allah SWT, Al-Kahfi adalah surah yang diturunkan khas untuk menjadi perisai kepada umat Nabi Muhammad SAW daripada diserang fitnah terutamanya dajal.

Begitu juga dengan hari kiamat. Sebagai umat Islam, semua perkara ghaib di luar kemampuan akal manusia untuk ditafsirkan.

Allah SWT menerangkan mengenai hal itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi, ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.”

Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di isi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Surah Al-A’raaf, ayat 187)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 9:17 AM