Datuk Mohd Ajib Ismail

Persoalan tentang sejauh mana dunia ini akan kekal sebagai tempat yang didiami oleh manusia menjadi topik kajian dan perbincangan dalam kalangan pelbagai pihak semenjak berzaman.

Sebahagian golongan mempercayai dunia atau bumi yang menjadi tempat tinggal manusia ketika ini mempunyai tempoh atau had masa tertentu sebagaimana makhluk yang lain. Tiba suatu masa dan ketika, dunia akan hancur dan musnah, manakala manusia akan dihidupkan kembali menuju penghidupan baharu di suatu tempat atau destinasi yang kekal abadi.

Golongan yang percaya tentang peristiwa kemusnahan dunia menyandarkan kepada pelbagai sumber, fakta dan versi cerita tersendiri daripada kepercayaan masing-masing. Tanggal 21 Disember 2012 pernah menjadi tarikh ramalan yang dikatakan akan berlaku kehancuran bumi berdasarkan kiraan kalendar suku kaum Maya purba.

Beberapa filem popular bikinan Barat dan dunia Eropah cuba memberikan gambaran tentang bagaimana peristiwa pengakhiran dunia berdasarkan tafsiran dan pemahaman mereka sendiri. Pelbagai filem dihasilkan bagi menceritakan tentang kemusnahan bumi seperti Armageddon, Independence Day, The Day After Tomorrow dan 2012. Terdapat pelbagai perspektif tentang Hari Kiamat yang telah diketengahkan oleh Barat, antaranya adalah seperti serangan mahluk asing, perlanggaran objek dari angkasa lepas seperti  asteroid serta kewujudan bencana alam. Filem bertajuk 2012 misalnya merupakan sebuah filem yang berkisarkan tentang kejadian bencana alam yang melanda seluruh dunia serta menunjukkan seolah-olah dunia bakal menuju ke arah kehancuran. Filem tersebut diilhamkan melalui hipotesis kaum Maya purba yang meramalkan peristiwa kiamat bakal berlaku sekitar 2012.

Di dalam pandangan Islam, mempercayai tentang pengakhiran dunia adalah salah satu daripada rukun iman yang wajib ke atas setiap Muslim iaitu percaya kepada Hari Kiamat. Namun masa dan waktu sebenar peristiwa tersebut berlaku adalah menjadi rahsia ketentuan dan perancangan Allah SWT sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran surah Taha ayat 15 yang bermaksud: "Sesungguhnya Hari Kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan."

Situasi ketika berlakunya Hari Kiamat dan pengakhiran dunia pula digambarkan melalui firman Allah dalam al-Quran surah al-Zalzalah ayat 1-2 yang bermaksud: "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya serta bumi itu mengeluarkan segala isinya."

Apakah yang terjadi setelah peristiwa kemusnahan dan pengakhiran dunia? Al-Quran menceritakan bahawa manusia akan dibangkitkan semula dan menjalani sebuah kehidupan baharu di alam akhirat.

Setiap orang menjalani kehidupan berdasarkan amalan yang telah dilakukan semasa menjalani kehidupan di dunia sama ada kekal di dalam syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan atau di dalam neraka yang dipenuhi dengan azab dan kesengsaraan. 

Firman Allah dalam surah al-Nur ayat 25 yang bermaksud: "Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilan-Nya."

Golongan yang bertakwa akan mendapat tempat yang terbaik di alam akhirat seperti dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nahl ayat 30 yang bermaksud: "Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa."

Kehidupan di alam akhirat disifatkan sebagai kehidupan yang sebenarnya seperti firman Allah dalam al-Quran surah al-'Ankabut ayat 64 yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."

Bahkan kehidupan di alam akhirat adalah bersifat kekal seperti firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 39 yang bermaksud: "Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya Hari Akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."

Justeru, setiap manusia perlu melakukan persediaan dan melengkapkan diri dengan segala bekalan bagi menjalani kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Persediaan yang paling baik adalah ketakwaan sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: "(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Setelah menyedari tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya, kita akan memberikan lebih perhatian kepada persediaan menuju kehidupan akhirat dengan melakukan sebanyak mungkin amalan soleh agar mendapat kenikmatan hidup di akhirat seperti frman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25 bermaksud: "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian daripada sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."

Sebagaimana kita tidak sabar-sabar lagi dan teruja membuat persediaan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi bertemu sanak-saudara dan insan tersayang di kampung halaman masing-masing, begitulah juga seharusnya persediaan kita dengan bekalan yang secukupnya untuk merentas ke alam akhirat negeri yang kekal abadi.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar dapat menjalani kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 201 bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:20 AM