RINA (kiri) melawat penempatan gelandangan ketika Program Cakna Integriti: Warga KPLB Bersama Gelandangan di PTGKL di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Aziah Azmee.
RINA (kiri) melawat penempatan gelandangan ketika Program Cakna Integriti: Warga KPLB Bersama Gelandangan di PTGKL di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Aziah Azmee.
Iskandar Shah Mohamed


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mewujudkan satu program khas bagi membantu gelandangan memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam sektor kemahiran.

Program menerusi kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan GiatMARA itu antaranya merangkumi sesi latihan dan bimbingan dalam bidang kemahiran diminati golongan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya komited mahu memastikan gelandangan turut memiliki kemahiran bagi menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan lebih selesa di bandar.

“Rata-rata mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur beranggapan mudah mendapat pekerjaan, namun keadaan sebaliknya berlaku sehingga menjadi gelandangan.

“Justeru, kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dalam bidang kemahiran dengan turut menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.

“Bagi lelaki yang meminati kemahiran elektrik, mereka boleh diselia GiatMARA. Manakala dandanan, kraftangan dan masakan diselia KEMAS bagi gelandangan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Cakna Integriti: Warga KPLB Bersama Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Pengarah MARA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Sarimah Raja Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Mahzan Teh.

Pada program itu, KPLB menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian dan sesi motivasi kepada 83 penghuni PTGKL berkenaan.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pihaknya akan melaksanakan program kemahiran berkenaan dalam tempoh segera.

“Menerusi YKN, kita akan melakukan pemilihan atau saringan terlebih dulu bagi mengenalpasti gelandangan berminat menyertainya.

“Tempoh tertentu seperti enam bulan kemudian akan diberikan bagi melihat keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan, program itu akan difokuskan sepenuhnya di ibu kota sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:17 AM