BOLEH gunakan bahan alami selain lebih mesra solat, pilih haruman sesuai dengan bau badan.
BOLEH gunakan bahan alami selain lebih mesra solat, pilih haruman sesuai dengan bau badan.
Nurul Husna Mahmud

SEJARAH asal minyak wangi cukup panjang apabila dikatakan sudah bermula kurun ke sembilan apabila ahli arkeologi menemui 3,000 ribu botol di makam Firaun.

Minyak wangi digunakan di Mesir ketika itu adalah untuk upacara ritual bermula dari kelahiran sehinggalah ke upacara kematian. Ramuannya pula terdiri kemenyan dan kayu manis yang ditumbuk, diparut mahupun digiling.

Sementara itu bagi penggunaan minyak wangi versi yang lebih moden dipercayai bermula ketika era cendekiawan Islam yang mana tokoh al-Kindi yang mempelopori cara pembuatan sebatian kimia dan penyulingan minyak wangi.

Disusuli doktor dan ahli kimia dari Parsi, Ibnu Sina yang menemui proses ekstrak minyak dari bunga-bungaan menerusi proses penyulingan.

Eksperimen tokoh Islam ini juga menemui campuran bunga mawar atau lebih tepat sari pati bunga menerusi minyak, herba dan daun bunga menghasilkan wangian luar biasa.

Sejak zaman itu revolusi pembuatan minyak wangi terus berkembang dan pembuatnya tampil dengan pelbagai formula dalam memastikan ia kekal bertahan untuk pada tubuh seharian.

Apa jua wangian sama ada semburan atau calitan pada bahagian tubuh, fungsinya memastikan aroma wangi dan menyingkirkan bau kurang menyenangkan akibat berpeluh.

Minyak wangi dihasilkan memenuhi objektif itu ada kalanya boleh menjadi sangat mahal dan tidak semuanya sesuai dengan pemakai.

Memandangkan kebanyakannya dibuat dengan bahan kimia, kemungkinan pemakai minyak wangi terdedah kepada kesan sampingan pemakaian bahan terbabit.

Kandungan kimia sintetik boleh mendorong kepada risiko alahan dan gangguan hormon dan tidak mustahil masalah kesihatan lebih rumit.

Peminat wangian boleh cuba hasilkan minyak wangi dari rumah yang sesuai dengan keperluan tubuh selain aroma diminati.

Mereka boleh mencuba projek ini bersama ahli keluarga dan pada masa yang sama dapat menjimatkan wang.

Terdapat pelbagai formula boleh digunakan dari alkohol industri sehinggalah pati minyak. Ketahanan juga berbeza mengikut pilihan formula.

Peminat wangian juga boleh memilih menggunakan bahan yang bersesuaian dengan keperluan mereka kerana semua formula ini lebih selamat dan organik.

Formula minyak wangi tanpa alkohol industri

Sesetengah pemakai wangian alah kepada alkohol industri. Namun begitu, mereka masih boleh hasilkan tanpa menggunakan bahan terbabit.

Formula ini juga mesra solat dan apabila dihasilkan sendiri pemakainya lebih yakin dengan minyak wangi terbabit.

Bahan-bahannya:

- 1/4 cawan minyak jojoba atau minyak zaitun (boleh juga guna minyak badam)

- 20 hingga 25 titis minyak pati bunga atau aromaterapi

- 1/4 sudu besar minyak vitamin E

Kaedah penyediaannya:

1. Campurkan semua bahan dalam satu bekas dan kacau

2. Pindahkan bahan ke dalam botol semburan dan biarkan sekurang-kurangnya satu hari.

Dalam tempoh empat atau lima jam, goncang botol beberapa kali.

3. Untuk pemakaian minyak wangi ini lebih kerap iaitu tiga atau empat jam sekali perlu dicalit untuk wangian kekal. Namun begitu ia dikatakan baik kulit kerana membantu melembapkan kulit.

Formula wangian berasaskan alkohol industri

Bahan asasnya ialah alkohol industri dan minyak pati seperti tumbuhan membantu wangian tahan lama.

Malah tekstur ini lebih popular kerana tempoh pemakaian lebih berpanjangan berbanding penggunaan bahan lain.

Bahan-bahannya

- 10 sudu besar alkohol industri

- 1/2 sudu besar minyak pati (bunga atau ekstrak pati aroma lain)

- 4 sudu besar air suling

- 1/2 sudu besar gliserin sayuran

Kaedah penyediaannya:

1. Campurkan alkohol industri dan minyak pati bersama-sama ke dalam bekas. Kacau campuran dengan sudu yang bersih secara perlahan-lahan.

2. Di dalam bekas berasingan, campurkan gliserin sayur-sayuran dan air. Kacau sehingga sebati. Kemudian masukkan bahan campuran dan minyak pati tadi.

3. Selepas sebati, pindahkan ke dalam botol semburan untuk memudahkan penggunaannya.

4. Simpan botol dengan kandungan minyak wangi ke tempat yang gelap dan sejuk selama dua minggu. Sepanjang tempoh itu juga setiap hari, perlu goncangkan botol wangian beberapa seketika agar campuran sebati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 6:30 AM