GUNAKAN bahan yang sedia ada di dapur anda.
GUNAKAN bahan yang sedia ada di dapur anda.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PERNAHKAH anda berdepan situasi terpaksa mencuci rambut pada saat akhir sebelum menghadiri acara penting? Persiapan tentu lebih renyah dan lama kerana waktu tambahan diperlukan berbanding hari biasa.

Jadi, menggunakan syampu rambut tanpa air mungkin penyelesaian pantas jika anda terdesak dan berita baik buat anda kerana syampu ini sebenarnya boleh disediakan di rumah.

Kedengaran mustahil, namun syampu kering satu penyelesaian sehenti bagi setiap orang yang tiada masa untuk mencuci rambut mereka setiap hari.

Syampu kering adalah semburan atau serbuk yang mengandungi bahan semula jadi. Apabila digunakan pada kulit kepala atau rambut, ia menyingkirkan minyak berlebihan dan memberikan alunan sihat dan berkilat untuk rambut anda.

Syampu kering sesuai untuk semua jenis rambut sama ada berminyak, kering atau normal. Ia berfungsi menyerap minyak yang berlebihan daripada rambut dan kulit kepala anda.

Ini membantu mengekalkan kesihatan rambut walaupun bereksperimen dengan pelbagai jenis gaya rambut. Syampu kering buatan sendiri juga me-ngurangkan risiko kesan sampingan yang disebabkan penggunaan berlebihan syampu komersial.

Bahkan, anda tidak tahu kandungan bahan kimia dalam syampu komersial kerana bukan semua bahan yang disenaraikan itu kita fahami. Jadi, syampu kering buatan sendiri adalah pilihan yang lebih baik kerana ia bukan saja menjimatkan masa malah poket anda.

Menggunakan bahan asas seperti tepung jagung, syampu kering membantu mengekalkan minyak semula jadi penting dalam kulit kepala yang membantu menjaga kesihatan rambut tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.

Caranya begitu mudah dan bahan yang digunakan pula kebiasaannya ada di dapur anda. Untuk membuat sendiri syampu kering, hanya gunakan tiga bahan iaitu tepung jagung, serbuk koko (tanpa gula) dan beberapa titis minyak pati kegemaran dengan bauan seperti bunga, herba mahupun buah.

Campurkan semua bahan dalam mangkuk dan kacau hingga sebati sebelum menyimpannya dalam bekas yang berlubang kecil di atasnya agar memudahkan sapuan ke kulit kepala dan akar rambut.

Penggunaan yang kerap dan teratur menjadikan rambut anda bukan saja kelihatan bersinar dan mudah diurus, malah sihat berseri. Selain serbuk koko, anda boleh juga menggantikannya dengan serbuk kayu manis atau serbuk kopi.

Berikut langkah menghasilkan syampu kering yang boleh dilakukan sendiri dengan mudah di rumah.

BAHAN

- Setengah mangkuk kecil tepung jagung

- 2 sudu besar serbuk koko

- 5 titis minyak pati

CARA PENYEDIAAN

1. SEDIAKAN semua bahan.
1. SEDIAKAN semua bahan.

2. DALAM mangkuk kecil berisi serbuk koko, masukkan tepung jagung.
2. DALAM mangkuk kecil berisi serbuk koko, masukkan tepung jagung.

3. TAMBAHKAN lima titis minyak pati.
3. TAMBAHKAN lima titis minyak pati.

4. GAUL hingga semua bahan sekata.
4. GAUL hingga semua bahan sekata.

5. GUNAKAN berus solekan yang sudah tidak digunakan untuk menyapu syampu pada kulit kepala.
5. GUNAKAN berus solekan yang sudah tidak digunakan untuk menyapu syampu pada kulit kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:00 AM