SAMBAL dengan kismis California dan bunga kantan.
SAMBAL dengan kismis California dan bunga kantan.
Hajahfarhana Tarmudi


Walaupun saiznya kecil, manfaat kesihatannya tidak harus dipandang remeh. Kismis boleh dijadikan snek sihat kerana mengandungi gula semula jadi dan boleh menggantikan gula untuk kebanyakan resipi masakan serta kuih-muih.

Sempena sambutan musim perayaan Aidiladha, Jawatankuasa Pentadbiran Kismis (RAC) memperkenalkan pelbagai resipi lazat dan berkhasiat yang menggunakan kismis California.

Resipi yang dinamakan Raya Manis Kismis California ini bertujuan memberi pengalaman menyeronokkan meraikan musim perayaan dengan menyediakan masakan rumah yang enak untuk disajikan kepada keluarga, saudara-mara atau sahabat handai.

Pengarah Promosi Perdagangan Jawatankuasa Pentadbiran Kismis (RAC) Malaysia Richard Lieu berkata, bagi kebanyakan pengguna terutama kanak-kanak, kismis enak dimakan sebagai snek.

“Buah kecil ini yang digunakan untuk masakan, kek dan pastri semakin digemari kerana pengguna berminat mencuba resipi baru.

“Kismis bukan saja membuka selera tetapi menjadi sumber pemakanan berkhasiat yang sesuai dimasukkan ke dalam masakan memandangkan isu kesihatan semakin meningkat disebabkan diet tidak sihat,” katanya.

Pada masa sama, RAC menganjurkan pertandingan masakan yang disertai penulis blog bagi memberi peluang kepada mereka mencipta hidangan menggunakan kismis dengan bimbingan Cef Rohani Jelani yang turut mengadili pertandingan memasak itu.

PEMENANG pertandingan memasak.
PEMENANG pertandingan memasak.

Sementara itu, menurut Pakar Diet Klinikal Pusat Perubatan Tropicana Tan Yen Sing, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah dan sayur sehari dikaitkan dengan pengurangan 17 peratus penyakit jantung koronari.

“Pemakanan seimbang adalah pendekatan terbaik untuk menjaga kesihatan dan menjauhkan penyakit. Nutrien adalah khasiat pemakanan yang mesti kita peroleh daripada makanan.

“Khasiat dalam makanan ini penting untuk membesar dan menjaga kesihatan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.

Bagi memberi idea menarik menyediakan hidangan enak, California Raisins mendapatkan bantuan Cef Rohani untuk mencipta beberapa sajian masakan manis dan berperisa. Antaranya, sambal dengan kismis California dan bunga kantan.

CEF Rohani menyediakan hidangan sambal.
CEF Rohani menyediakan hidangan sambal.

Cef Rohani berkata kismis berkenaan adalah bahan makanan berkhasiat dan serba guna yang boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai sajian masakan, pastri serta manisan.

Bagi anda yang ingin mencuba menghasilkan masakan lebih sihat menggunakan kismis, boleh cuba resipi yang dikongsi Cef Rohani dengan cadangan hidangan lapan hingga sembilan orang.

Bahan:

• 12 biji cili merah

• 2 sudu besar minyak

• 10 biji cili burung

• 5 ulas bawang putih

• 150 gram tomato ceri

• 20 gram belacan bakar

• 70 gram kismis (California Natural Raisins)

• 1 sudu teh garam

• 12 hingga 15 biji limau nipis (diambil jusnya)

• 7 biji kulit limau nipis (dihiris halus)

• 2 kuntum bunga kantan (dihiris halus)

Cara penyediaannya:

1. Belah dan buang biji daripada enam cili merah saja. Hiris semua cili anggaran 3 sentimeter panjang.

2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis cili merah, cili burung serta bawang putih sehingga layu. Tambah tomato ceri dan belacan, goreng lagi dua hingga tiga minit. Kemudian, masukkan kismis. Biarkan seminit dan angkat. Sejukkan selama 10 minit.

3. Masukkan semua bahan goreng di dalam pencincang makanan elektrik. Tambah garam, jus limau dan kulit limau. Cincang sehingga sebati, tetapi tidak terlalu lumat.

4. Masukkan sambal dalam mangkuk dan campur dengan hirisan bunga kantan, kacau. Hidang bersama sayuran mentah, ayam goreng, keropok ikan dan lain-lain. Sambal juga boleh diisi dalam bekas kaca yang kering dan bersih selama seminggu jika disimpan dalam peti sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 12:00 AM