AMALKAN gaya hidup sihat.
AMALKAN gaya hidup sihat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETIAP wanita akan melalui fasa menopaus, cuma bezanya proses dilalui mereka sama ada cepat atau lewat.

Menopaus ialah pusingan haid berhenti sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun secara berterusan.

Kebiasaanya fasa ini berlaku pada usia 45 hingga 55 tahun dan ada juga yang mengalaminya lebih awal.

Keadaan ini yang mana ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron. Sekali gus menjadi isyarat kesuburan wanita terhenti.

Namun, masih ada wanita yang tidak mengamalkan pengurusan menopaus selepas memasuki fasa putus haid.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi MSU Medical Centre, Profesor Madya Dr Akmal Zulayla Mohd Zahid berkata, pengurusan menopaus adalah penting untuk memudahkan wanita memasuki fasa baharu dalam kehidupan tanpa tanpa hormon estrogen dan progesteron.

Menurutnya, ketiadaan dua hormon berkenaan meningkatkan risiko mereka kepada penyakit jantung, osteoporosis dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.

"Ada lima perkara penting dalam pengurusan menopaus yang perlu diamalkan wanita putus haid untuk kesejahteraan diri mereka.

"Pertama ialah mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman seperti aerobik, yoga, berjalan atau latihan bebanan dan mengurangkan risiko obesiti.

"Senaman ini bukan sahaja dapat meningkatkan ketumpatan tulang bagi mengelakkan kerapuhan, tetapi juga membina otot menerusi latihan bebanan.

"Selain itu, senaman juga boleh menstabilkan emosi memandangkan wanita menopaus turut terdedah kepada tekanan dan gangguan emosi," katanya.

Dr Akmal Zulayla berkata, oleh kerana terdedah dengan risiko penyakit, maka perkara kedua yang perlu dititikberatkan kepada wanita putus haid ialah pemakanan seimbang.

"Ia merangkumi makanan tinggi nutrien dan memperbanyakkan minum air kosong untuk kekal hidrasi.

"Pola makan sihat ini membantu mereka mencegah pelbagai penyakit dan menjalani kehidupan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, perkara ketiga ialah mengambil makanan tambahan iaitu vitamin D dan kalsium.

"Vitamin D antara contoh vitamin sangat penting kepada wanita menopaus kerana kebanyakan wanita dewasa tidak mendapat vitamin ini mencukupi.

"Nutrien ini amat penting untuk memastikan otot dan saraf kita kekal berfungsi walaupun sudah berusia.

"Manakala kalsium penting untuk tulang, gigi dan otot yang sihat. Selain itu ia membantu mengawal gula dalam darah, jantung, saluran darah dan paru-paru.

"Di samping itu saya turut menyarankan mereka mengambil Omega-3 antaranya dalam salmon, ikan kembung dan telur yang memberi manfaat untuk kesihatan tubuh secara keseluruhannya," katanya.

Katanya, keperluan penting keempat ialah melakukan ujian saringan mamogram dan barah pangkal rahim.

"Prosedur ini boleh membantu wanita mengesan masalah kesihatan khusus wanita dan pencegahan awal dapat dilakukan.

"Ini kerana risiko barah meningkat disebabkan faktor usia," katanya.

Jelasnya, perkara penting kelima ialah pengambilan terapi penggantian hormon (HRT) untuk merawat gejala menopaus.

Menurutnya, HRT membantu mengekalkan kekuatan tulang dan mencegah osteoporosis.

"Tidak dinafikan ada wanita putus haid tidak mahu mengambil HRT kerana bimbang kesan sampingan.

"Namun, kita tidak memberikan HRT kepada mereka yang mempunyai sejarah barah payudara atau barah rahim atau barah yang ada kaitan dengan hormon juga angin ahmar.

"Mereka yang menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal juga tidak digalakkan mengambil HRT.

"Bagi yang masih enggan mengambil HRT, saya menasihati mereka supaya menukar gaya hidup kepada yang lebih sihat," katanya.

Selain itu, Dr Akmal Zulayla berkata, dalam tempoh pramenopaus paras hormon estrogen dan progesteron menurun, seterusnya tahap kesuburan juga berkurangan.

"Tetapi, dalam fasa ini, ovari masih menghasilkan telur dan kebarangkalian wanita untuk hamil masih ada.

"Saya ada pesakit berusia 47 tahun yang sudah berhenti perancangan keluarga kerana menyangka sudah tidak subur, tetapi 'terhamil'.

"Banyak kes 'terhamil' berlaku dan mereka perlu berhati-hati atau meneruskan perancangan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 7:00 AM