GEJALA pramenopaus buatkan sesetengah wanita rasa panas dan kurang selesa boleh diatasi menerusi rawatan hormon. GAMBAR hiasan.
GEJALA pramenopaus buatkan sesetengah wanita rasa panas dan kurang selesa boleh diatasi menerusi rawatan hormon. GAMBAR hiasan.
Siti Zarinah Sahib


MENOPAUS bukanlah penyakit, sebaliknya petanda kepada wanita yang mereka tidak lagi subur. Ia berlaku apabila pusingan haid berhenti setidak-tidaknya dalam tempoh 12 bulan secara berterusan.

Pada masa ini ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron. Dalam kata lain, selepas memasuki fasa menopaus, kemampuan reproduksi wanita akan berakhir.

Lazimnya menopaus berlaku pada wanita yang berusia 52 tahun namun ada juga bermula seawal usia 45 tahun. Namun kebiasaannya wanita Malaysia mengalami menopaus sekitar usia 45 sehingga 52 tahun.

Sebelum putus haid, wanita akan melalui fasa peralihan dikenali sebagai pramenopaus yang membuatkan sesetengah mereka berasa panas dan kurang selesa.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Klang, Dr Vinodhini Bhaskaran, di Barat gejala peralihan boleh me­ngambil masa sekitar tujuh hingga 10 tahun.

Namun keadaan ini berbeza di Malaysia apabila pramenopaus hanya berlaku dalam tempoh tiga hingga lima tahun sahaja. Hanya segelintir melalui tempoh yang lama.

“Gejala pramenopaus sudah dirasai wanita beberapa tahun menjelang menopaus. Walaupun ada pendapat mengaitkan simptom menopaus yang panjang dengan kanser payudara, tiada kajian menunjukkan kebenarannya. Mungkin ia disebabkan pengambilan ubat hormon dan bukanlah faktor pramenopaus itu sendiri,” ulasnya.

Jelas Dr Vinodhini, wanita di negara Barat mengalami simptom yang lebih teruk berbanding di negara ini yang berkemungkinan disebabkan pemakanan dan gaya hidup.

“Memang benar pemakanan, gaya hidup dan genetik turut mempengaruhi gejala menopaus sehinggakan ada wanita takut untuk melalui saat sebelum menopaus kerana tidak mahu berhadapan rasa panas dan beremosi. Namun sebenarnya semua gejala ini boleh diatasi menerusi rawatan hormon yang bersifat sementara,” katanya.

PAKAR Gynaecology, Dr. Vinodhini Bhaskaran di Sri Kota Hospital,Klang. FOTO: Osman Adnan
PAKAR Gynaecology, Dr. Vinodhini Bhaskaran di Sri Kota Hospital,Klang. FOTO: Osman Adnan

Terdapat beberapa gejala menopaus yang perlu diberikan perhatian antaranya:

1. Haid tidak teratur

Perubahan aliran haid seperti datang lambat atau terlepas beberapa bulan adalah petanda utama menopaus. Namun jangan terus membuat andaian yang ia adalah menopaus sebaliknya bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan. Ini kerana haid yang lambat juga disebabkan kehamilan.

2. Rasa panas dan kesukaran untuk tidur

Rasa panas boleh me­nyebabkan wanita berpeluh pada waktu malam terutama ketika tidur. Ia berlaku secara tiba-tiba menyebabkan kemerahan pada muka dan leher. Keadaan ini menyebab­kan wanita sukar tidur dan biasanya berlaku semasa tahun pertama selepas haid yang terakhir disebabkan perubahan hormon dalam badan.

3. Perubahan dalam faraj

Penurunan tahap estrogen menyebabkan dinding faraj semakin nipis dan kering. Ini menyebabkan ketidakselesaan semasa menjalin hubungan atau membuat­kan wanita berasa sakit. Jangan bimbang bertemu doktor untuk mendapat­kan nasihat atau ubatan sesuai untuk mengatasi rasa ketidakselesaan ini.

4. Masalah kencing

Gejala pramenopaus juga menyebabkan wanita terpaksa membuang air kecil lebih kerap daripada biasa. Hilang kawalan pada pundi kencing juga boleh menyebabkan air kencing bocor terutama semasa bersenam, batuk atau bersin.

5. Emosi yang tidak stabil

Wanita yang menghampiri pramenopaus akan berasakan jiwa mereka diabai, kurang kasih sayang, mudah marah dan merajuk. Ini disebabkan perubahan hormon menyebabkan berlakunya gangguan terhadap emosi mereka.

MENJAGA pemakanan dengan pengambilan sayur dan buah-buahan. GAMBAR hiasan
MENJAGA pemakanan dengan pengambilan sayur dan buah-buahan. GAMBAR hiasan

6. Perubahan kulit dan rambut

Perkara paling ditakuti wanita adalah proses penuaan pada wajah mereka. Seiring pertambahan usia menyebabkan penurunan jaringan lemak yang membuatkan kulit lebih kering dan tipis. Berkurangnya estrogen juga menyebabkan rambut lebih rapuh dan kering. Elak menggunakan produk perawatan rambut dengan bahan kimia yang terlalu kuat, kerana boleh mengakibat­kan kerosakan rambut.

Jelas Dr Vinodhini, bagi mengurangkan gejala menopaus doktor biasanya akan memberikan rawatan hormon bagi melegakannya namun ia tidak boleh diambil dalam tempoh yang panjang bagi mengelak masalah kesihatan.

“Sebab itu saya menasihatkan wanita bertemu doktor terlebih dulu bagi mendapatkan nasihat. Elak mengambil ubat yang membuatkan simptom bertambah buruk,” katanya.

MENOPAUS DAN KAITAN KANSER PAYUDARA

Walaupun tiada bukti menunjukkan gejala pramenopaus yang panjang penyebab kanser payudara, Dr Vinodhini menasihati wanita supaya cakna terhadap kesihatan mereka. Ini kerana statistik menunjukkan satu daripada 10 wanita boleh mendapat kanser payudara disebabkan genetik dan amalan gaya hidup yang kian berubah.

“Namun satu perkara yang mampu memberikan nafas baru dalam kalangan pesakit kanser payudara apabila ia dikategorikan barah yang mampu dicegah menerusi pemeriksaan awal,” katanya.

RAIKAN fasa menopaus dengan bersenam. GAMBAR hiasan.
RAIKAN fasa menopaus dengan bersenam. GAMBAR hiasan.

Katanya lagi, bagi wanita menopaus mereka disarankan menjalani pemeriksaan dua tahun sekali disebabkan pada usia 50 hingga 59 lebih berisiko mendapat kanser payudara.

Selain membuat pemeriksaan sendiri, wanita disarankan melakukan ujian mamogram kerana ia lebih pantas mengesan sebarang keganjilan pada payudara terutama mamogram 3D (Mamogram 3-Dimensi Tomosintesis).

Menurut Dr Vinodhini, berbeza dengan mamogram biasa proses mamogram 3D tidak menyakitkan. Ini kerana mesin ini jauh berbeza serta tidak rumit untuk dikendalikan.

“Gambar yang terhasil juga lebih jelas. Ketika mamogram 3D dilakukan, sinaran-X akan merakamkan keseluruhan tisu dalam payudara dalam hanya satu saat.

“Keadaan ini dapat mengesan sebarang keganjilan pada payudara. Setiap helaian tisu dapat dirakamkan sehingga tiada kebarangkalian untuk tertinggal walau hanya satu atau dua tisu. Ini mengelak pesakit untuk datang semula menjalani pemeriksaan kedua,” katanya.

Teknologi terkini ini membolehkan pemeriksaan awal payudara dijalankan dengan lebih mudah dan cepat. Ia juga mampu mengurang­kan ketakutan kepada wanita untuk menjalani pemeriksaan terutama mereka yang mempunyai kebarangkalian mendapat kanser.

TIP HADAPI MENOPAUS

Kini ramai wanita beranggapan menopaus bukanlah masa untuk bersedih sebaliknya meraikan fasa hidup baru dengan lebih tenang dan bahagia.

Dalam tempoh menopaus, mereka tidak bimbang dengan gejala haid serta kehamilan. Oleh itu setiap wanita perlu meraikan fasa menopaus bagi meneroka keseronokan dan kegembiraan serta mengisi dengan pelbagai perkara positif.

Ia juga masa untuk menjaga kesihatan de­ngan betul dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

1. Makan makanan sihat dengan memperba­nyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

2. Senaman harian tidak hanya di gimnasium. Anda boleh melakukan­nya di rumah.

3. Minum banyak air kosong untuk melembap­kan kulit.

4. Buat rancangan untuk waktu bersama suami.

5. Bertemu doktor sekiranya ada sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:30 AM