SANTAI kasual.
SANTAI kasual.
Muhamaad Razis Ismail


IMEJ santai menggambarkan seseorang yang memilih untuk tampil sederhana, bergaya kasual dan bukan bertujuan menghadiri majlis rasmi atau menemui orang berkepentingan.

Perunding Imej, Etiket dan Warna Profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, dalam kod pemakaian mengikut standard piawaian industri perundingan imej, bergaya santai dalam pekerjaan meletakkan seseorang individu itu di peringkat yang paling bawah.

"Impak visual (imej santai) yang menggambarkan individu yang tidak berpangkat, tiada autoriti, tiada berkepentingan dan sukar untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai sesingkat tujuh saat tanggapan pertama.

"Ini kerana manusia bersifat visual. Manusia mudah

menilai status seseorang, kelayakan akademik, kejayaan berdasarkan apa yang terlihat pada pandangan, terbaca melalui media sosial mahupun apa yang terdengar pada mereka, mungkin melalui gosip atau perbualan secara tidak sengaja atau yang disengajakan," katanya.

PAKAIAN kasual perniagaan.
PAKAIAN kasual perniagaan.

Menurutnya, sekiranya anda memilih untuk tampil santai dan nampak profesional, maka naikkan kredibiliti penampilan dan gaya suai padan dengan pilihan baju kasual berserta baju yang sesuai digayakan ke pejabat.

"Santai dengan gaya profesional seperti ini sekurang-kurangnya tidaklah menjatuhkan kredibiliti kita pada pandangan pertama, waktu pertemuan," katanya.

Mengulas lanjut, walaupun memilih gaya santai terdapat beberapa perkara perlu dititik beratkan antaranya jangan sesekali terlupa kepada keperluan untuk menjaga kekemasan gaya penampilan.

"Baju atau tudung perlu bergosok dan mengenakan padanan yang sesuai antara baju dan seluar atau skirt bagi wanita.

"Pada masa sama, pastikan anda menjaga kebersihan diri. Walaupun tampil ringkas dan santai, anda masih perlu memastikan badan sentiasa segar dan berbau wangi apabila didekati supaya dapat memberi impak berkekalan," katanya.

Emi Idura berkata, sebagai panduan pemilihan pakaian santai yang bersesuaian untuk lelaki, anda boleh mengenakan baju tanpa kolar, kain yang lembut dan tidak berstruktur.

"Bagi wanita, anda boleh memilih kain yang beropol-ropol, rekaan 'pleats,' berseluar jeans atau baju T.

"Untuk kelihatan santai, anda boleh pilih pakaian berwarna lembut atau pastel, neutral seperti hitam, putih, kelabu, perang, perang gelap," katanya.

SEMI formal.
SEMI formal.

Katanya, tidak salah dalam memilih gaya imej santai dalam pekerjaan namun jangan sampai kita mensabotaj imej peribadi kerana semua ingin berjaya dalam bidang dan industri masing-masing.

"Bisnes' formal, semi formal, bisnes kasual, smart kasual dan kasual adalah urutan yang perlu dititik beratkan serta diperhatikan ketika memilih gaya penampilan.

"Disebabkan tanggapan pertama, penilaian, persepsi orang ramai terhadap kita atau sebaliknya berlaku dalam tujuh saat pertama pertemuan, hadir dengan bergaya santai membuatkan orang yang kita ingin dapatkan kepercayaan, penghormatan, keyakinan, terus hilang kerana kegagalan kita untuk membawa imej yang cemerlang di mata mereka," katanya.

Bagaimanapun, Emi Idura berkata, terdapat pengecualian bagi mereka yang tegar untuk tampil bergaya santai dalam pekerjaan bergantung atas beberapa faktor.

"Antaranya adalah persekitaran dan jenis pekerjaan yang berkait dengan bentuk muka bumi seperti mendaki bukit, kawasan berselut atau terdedah dengan cuaca panas dan hujan yang tidak menentu, memeriksa bangunan yang memerlukan seseorang untuk memilih gaya santai berbanding gaya rasmi dan profesional," katanya.

Justeru itu, Emi Idura menyarankan setiap individu perlu mempunyai ilmu atau panduan mengenai kod pemakaian yang sesuai untuk dipadankan mengikut situasi, individu yang ingin kita temui, waktu dan majlis (rasmi atau tidak rasmi), lokasi majlis atau mesyuarat.

"Perkara ini penting supaya anda tidak kekok atau merasa terasing sekiranya tersilap mengenakan kod pemakaian, hanya kerana terlalu mengikut rasa hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 6:09 AM