PERLU pemerhatian, rujukan dan kesungguhan dalam penggayaan serta fesyen
PERLU pemerhatian, rujukan dan kesungguhan dalam penggayaan serta fesyen
Muhamaad Razis Ismail

GAYA peribadi merujuk kepada ekspresi diri dan menjadi salah satu cara untuk berkomunikasi secara tidak langsung (bukan lisan) dengan orang ramai.

Tahukah anda gaya peribadi bakal menterjemahkan atau memberi mesej mengenai siapa dan latar belakang anda sepantas tujuh saat.

Bagaimanapun, ramai yang masih tercari-cari gaya peribadi bersesuaian dengan diri sendiri.

Malah terma gaya peribadi sering disalah anggap seolah-olah ia boleh wujud secara semula jadi.

Realitinya, membentuk gaya peribadi yang pelbagai memerlukan sedikit usaha termasuk pemerhatian, rujukan dan tentunya kesungguhan dalam penggayaan serta fesyen.

Perunding imej dan warna profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, dalam konteks industri perundingan imej, konsultan atau perunding imej profesional akan merujuk kepada beberapa perkara.

ELAKKAN pembelian pakaian berlebihan.
ELAKKAN pembelian pakaian berlebihan.

"Antara yang dilihat adalah pemilihan warna, aksesori, jenis fabrik dan corak termasuk rekaan baju klien.

"Setiap satu akan memberi jawapan kepada gaya peribadi seseorang yang akan jatuh dalam kategori klasik elegan, klasik tradisional, romantik, kasual atau sporti, dramatik dan kreatif," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, untuk mengenal pasti gaya peribadi yang bersesuaian, anda perlu perhatikan dan ambil sedikit masa untuk menilai kembali jenis gaya yang bersesuaian.

"Sebagai contoh, seorang yang feminin, cenderung memilih warna yang lembut seperti pastel, bergaya klasik, corak bunga atau bentuk hati, riben, memilih rekaan jahitan 'ruffles', peplum dan fabrik renda. Solekan pula lebih cenderung kepada gaya sederhana atau minimalis.

"Mereka yang berpersonaliti gaya feminin atau romantik juga kurang gemar kepada penggunaan warna yang terang dan berani atau aksesori bersaiz besar.

"Kaedah ini sedikit sebanyak akan membantu dalam pencarian tema koleksi pakaian dan langkah pertama membina keseluruhan gaya peribadi," katanya.

PILIHAN warna dapat bentuk gaya peribadi.
PILIHAN warna dapat bentuk gaya peribadi.

WARGA emas En Yuan Old Folks Home.
WARGA emas En Yuan Old Folks Home.

Mengulas lanjut, anda juga perlu mengenal pasti kuasa membeli sekiranya cenderung untuk menggunakan jenama atau jenis rekaan tertentu.

Oleh itu, adalah sangat penting dapat menilai kuasa membeli secara bulanan atau tahunan bagi mengurangkan rasa stres sekiranya tidak mampu membelinya.

Antara strategi berkesan untuk kurangkan rasa tertekan adalah dengan menguruskan perasaan sindrom takut ketinggalan atau lebih dikenali sebagai FOMO (fear of missing out) dan Oniomania.

"Apabila kita tahu yang mana pilihan jenama terbaik mengikut jenama dan identiti peribadi, ia memudahkan lagi keputusan untuk membeli, sekali gus memberi garis panduan supaya tidak lagi membeli kerana kehendak nafsu semata-mata serta mengurangkan rasa obses dengan sesuatu jenama," katanya.

Jelasnya, ramai begitu obses untuk mencuba trend fesyen semasa yang baharu namun akhirnya berbalik kepada gaya sama.

"Anda dinasihatkan bersikap praktikal mengenai apa yang bakal anda gayakan untuk membantu mengekalkan personaliti gaya sebenar daripada terbawa-bawa dengan trend fesyen yang membuatkan anda tidak selesa atau tidak sesuai dengan jawatan disandang, industri pekerjaan mahupun gaya kehidupan.

"Kebanyakan kita hari ini memakai padanan pakaian yang sama saja setiap bulan. Tidak hairan, kajian mendapati kita hanya menggunakan 20 peratus koleksi pakaian," katanya.

AMBIL masa untuk nilai gaya bersesuaian.
AMBIL masa untuk nilai gaya bersesuaian.

Katanya, untuk menyelamatkan diri daripada membeli banyak lagi barangan, fikirkan koleksi pakaian anda pakai sepanjang masa dan buat senarai tambahan kepada pilihan itu.

"Belajar mewarnai koleksi sedia ada dengan aktiviti suai padan. Antara tip yang boleh digunakan adalah dengan memastikan setiap pembelian baharu disuai padan dengan tiga barangan lain yang sedia ada dalam almari.

"Contohnya jika anda memilih blaus, pastikan warna, rekaan, jenis fabrik dapat disuaikan dengan mana-mana tudung, seluar atau jean, skirt mahupun jaket. Fikirkan kekerapan penggunaan padanan ini dengan majlis yang bakal anda hadiri atau bagaimana pilihan ini bakal memberikan kesan kepada individu atau pelanggan yang perlu anda yakin.

"Percayalah jika anda dapat menguasai proses yang saya sebutkan ini, tiada lagi istilah pembaziran dalam diari gaya anda di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:00 AM