TIDAK berlebih-lebihan apabila memilih konsep gaya 60-an dalam rekaan busana kanak-kanak.
TIDAK berlebih-lebihan apabila memilih konsep gaya 60-an dalam rekaan busana kanak-kanak.
Nurul Husna Mahmud


TREND busana raya kanak-kanak kebiasaannya tidak berbezanya dengan rekaan busana golongan dewasa.

Namun tidak semua rekaan dewasa sesuai untuk kanak-kanak kerana rekaan menarik bagi golongan dewasa tidak sepadan dengan fizikal kanak-kanak yang lebih kecil.

Justeru itu, trend busana raya kanak-kanak lebih terarah kepada rekaan yang ringkas dan menonjolkan sisi kecomelan atau karakter polos mereka.

Faktor rekaan dewasa tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak inilah menjadi dilema buat sesetengah pereka fesyen hingga kurang memberi fokus terhadap rekaan fesyen golongan cilik itu.

Berlainan dengan pendekatan dilakukan Pereka Fesyen Nik Mohd Hafiz Muhamad Afandi apabila melihat kesukaran mencari potongan dan rekaan sepadan sebagai suatu keseronokan dalam menghasilkan busana.

"Secara jujurnya rekaan baju kanak-kanak lebih sukar dibandingkan dengan busana dewasa.

"Pereka busana kanak-kanak perlu lebih sensitif atau peka terhadap penggayaan busana sepadan dengan siluet atau ciri-ciri fizikal si cilik.

"Contohnya jarak antara dada dengan pinggang, ukuran kanak-kanak tidak panjang membuatkan sesetengah rekaan tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak.

"Begitu juga bahagian tubuh yang menyerlahkan sisi feminin selaku wanita dewasa, kanak-kanak yang belum sampai ke fasa itu sebaliknya perlu disesuaikan dengan penggayaan bagi menonjolkan sisi naif dan polos mereka," katanya.

MENARIK inspirasi busana Sarimah dalam Madu Tiga.
MENARIK inspirasi busana Sarimah dalam Madu Tiga.

Selain itu dalam rekaan busana kanak-kanak, Nik Mohd Hafiz menyarankan supaya pereka lebih ringkas berbanding mengambil pendekatan 'berlebih-lebihan.'

"Variasi saiz si pemakai busana raya turut mempengaruhi jenis rekaan. Ini kerana rekaan busana mengambil kira ketinggian kanak-kanak berkenaan.

"Selain itu faktor umur juga boleh dijadikan rujukan kerana ia memberi kesan terhadap rekaan busana kanak-kanak. Lagi muda usia mereka lagi ringkas rekaan busana diperlukan.

"Jika letakkan karakter atau sikap kanak-kanak pada usia terbabit, boleh dijangkakan betapa 'keringkasan' sangat diperlukan kebanyakan kanak-kanak bagi mengelakkan mereka berasa rimas dan kurang selesa," katanya.

Nik Mohd Hafiz juga mengakui lebih selektif terutama dalam pemilihan material busana kanak-kanak dalam memastikan rekaannya tidak menjejaskan mood kanak-kanak ketika beraya.

"Material yang sesuai untuk kanak-kanak adalah fabrik tidak panas dan tahan lasak terutama apabila seharian keluar beraya.

"Ini mengelakkan kanak-kanak meragam dan menjejaskan keseronokan pergi beraya bersama rakan atau keluarga.

"Saya sering menggunakan kain jenis kapas, tetapi ada juga fabrik lain mengikut keperluan terhadap rekaan seperti kain songket, kain sutera Thai dan lain-lain," katanya.

Untuk raya tahun iniu, pereka itu tertarik untuk menghasilkan busana berkonsepkan retro atau inspirasi seniwati filem era 50an dan 60an pada potongan baju raya kanak-kanak.

UNIK motif jalur yang sepadan dengan.
UNIK motif jalur yang sepadan dengan.

"Tahun ini, kebanyakan ibu bapa kanak-kanak mengikut trend busana tradisional Melayu. Ini secara tidak langsung mencetuskan idea saya menghasilkan busana tradisional dengan inspirasi gaya 50-an dan 60-an.

"Saya banyak mendapat gambaran busana yang digayakan seniwati tersohor era itu seperti Puan Sri Saloma, Datuk Dr Sarimah Ahmad, Zaharah Agus, Datin Satya Baharom atau lebih dikenali dengan, Saadiah, Normadiah dan ramai lagi.

"Gaya busana digayakan seniwati terbabit masih mengekalkan konsep busana tradisi tetapi diberi sedikit nafas moden menerusi perincian tertentu.

"Antaranya pada bahagian leher, lengan dan lipatan kain membuatkan gaya itu kekal tampak segar walaupun susah berdekad berlalu. Ia juga masih tampak menarik pada tubuh pemakai kanak-kanak," katanya.

Tambah pereka itu, dengan mengangkat rekaan retro, ia bukan sekadar mengimbau kenangan malah dapat diketengahkan rekaan busana raya digayakan generasi terdahulu untuk dihayati generasi sekarang.

"Keunikan rekaan retro ditampilkan adalah imej pernah digayakan seniwati agung tanah air dalam filem tempatan.

"Saya rasa itu sudah meninggalkan imej kuat apatah lagi filem-filem lakonan mereka masih diminati generasi sekarang.

IMEJ polos kanak-kanak lebih menonjol dalam persalinan busana raya yang ringkas.
IMEJ polos kanak-kanak lebih menonjol dalam persalinan busana raya yang ringkas.

"Bagaimanapun, saya hanya ketengahkan rekaan terbabit dalam persembahan busana kanak-kanak untuk menunjukkan kekuatan rekaan busana tradisional masih relevan dijadikan busana hari raya pada tahun ini atau tahun mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 7:00 AM