SPAGETI goreng.
SPAGETI goreng.
LAKSA asam.
LAKSA asam.
Oleh Faizatul FarlinFarush Khan

Menu yang sihat memainkan peranan besar dalam penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan seimbang mampu memelihara kesihatan dalam masa jangka panjang selain mengelak penyakit kronik.

Pemakanan harian yang tinggi kandungan garam dan gula lama-kelamaan akan merosakkan kelancaran fungsi organ dan akhirnya mengundang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis serta jantung.

Sistem tubuh berkait rapat antara satu sama lain. Apabila satu bahagian organ mula bermasalah, secara tidak langsung ia memberi kesan kepada organ lain dan selepas tempoh tertentu, ia turut menjejaskan kesihatan secara keseluruhan.

Bagi mengelak perkara seumpamanya, pengambilan makanan sihat amat digalakkan.

Berpandukan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 yang diterbitkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan kerjasama Abbvie Sdn Bhd, di sini dipaparkan dua sajian yang boleh dicuba untuk pesakit buah pinggang.

Resipi 1 : Laksa asam (lima hidangan)

Bahan-bahan:

-1 bungkus (600g) laksa, direbus

-5 ekor ikan kembung

-2 keping asam keping

-2 kuntum bunga kantan dibelah dua

-2 sudu makan asam jawa

-¼ sudu teh garam

-5 biji telur direbus dan ambil putih telur saja

Bahan A: Untuk kuah

-2 cawan air

-2 keping asam keping

-1 batang daun kesum

Bahan B: Bahan kisar

-8 biji cili kering

-4 biji bawang merah

-5g belacan

Bahan C: Hiasan

-¼ biji timun dipotong halus

-¼ kuntum bunga kantan dihiris nipis

-1 biji bawang besar dihiris nipis

-5 helai daun salad

-1 biji cili merah dihiris nipis

-10 helai daun pudina

-2 biji limau kasturi dibelah dua dan diperah

Cara penyediaan:

1. Rebuskan ikan bersama asam keping sehingga masak.

2. Buang air rebusan dan ambil isi ikan sahaja. Ramaskan ikan atau tumbuk kasar jika perlu.

3. Didihkan bahan kuah dan masukkan isi ikan.

4. Masukkan bahan kisar, bunga kantan dan asam jawa.

5. Didihkan selama 10 minit, tambahkan garam dan padamkan api.

6. Tuangkan kuah yang sudah masak ke atas laksa.

7. Makan bersama putih telur dan hiaskan dengan bahan hiasan.

Tip

-Semasa makan, elakkan dari menghirup kuah untuk mengawal pengambilan cecair.

-Nanas tidak digunakan bagi mengawal jumlah kandungan potasium dalam masakan.

Resipi 2: Spageti goreng (empat hidangan)

Bahan A

-4 ketul dada ayam dipotong kecil

-2 sudu teh sos tiram

-1 sudu teh daun oregano kering

-¼ sudu teh lada hitam ditumbuk kasar

Bahan B

-4 sudu teh minyak masak

-2 ulas bawang putih dicincang halus/ditumbuk

-½ biji bawang besar dihiris bulat

-1 biji lada benggala (merah, kuning dan hijau) dipotong tebal

-½ batang lobak merah dipotong halus

Bahan C

-150g spageti direbus sehingga masak dan digaulkan dengan sedikit minyak

-Sedikit daun parsli dihiris halus

-½ sudu teh lada sulah

Cara Penyediaan:

1. Campurkan semua bahan A. Perapkan selama 30 minit.

2. Panaskan minyak. Tumis bawang putih sehingga naik bau dan masukkan bawang besar.

3. Masukkan bahan A. Masakkan seketika.

4. Masukkan lada benggala dan lobak merah.

5. Masukkan spageti dan kacau rata.

6. Angkat dan hidangkan.

Cara Menghidang:

Taburkan dengan sedikit daun parsli dan lada sulah.

Tip

-Sos spageti tidak digunakan untuk mengurangkan kandungan potasium dan fosfat.

-Gunakan spageti berwarna cerah disebabkan kandungan fosfat dan potasium yang lebih rendah berbanding spageti berwarna lebih gelap.

-Penggunaan rempah asli (bawang, sedikit lada hitam dan lada sulah serta daun parsli)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:00 AM