AJAK si kecil menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk
AJAK si kecil menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk
Hafiz Ithnin


NAMPAKNYA Ramadan sudah pun menjelma. Pastinya keseronokan menyambut bulan penuh mulia ini sudah dirasai oleh kita yang beragama Islam.

Tidak dinafikan ibu bapa atau penjaga mempunyai anak-anak yang masih ingin belajar berpuasa pasti tercari-cari cara terbaik untuk memastikan si kecil itu terus dapat bertahan bersama-sama menunaikan ibadah puasa.

Dalam ruangan Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh anda praktikkan untuk menjadikan ibadah itu dapat dinikmati kemanisannya bersama anak-anak.

1.Wujudkan suasana sambutan Ramadan

Kanak-kanak akan teruja apabila melihat situasi menyeronokkan. Jadi, disarankan misalnya anda menghias rumah untuk mewujudkan suasana sambutan Ramadan.

Ajak si kecil bersama-sama menghias rumah terutama jika mereka mempunyai bilik tidur sendiri, pastikan terdapat suasana baharu dalam ruang privasi mereka.

Perkara seperti itu dapat mewujudkan suasana berbeza dengan bulan yang lain.

WUJUDKAN suasana meriah menyambut Ramadan.
WUJUDKAN suasana meriah menyambut Ramadan.

2. Kongsikan kisah menarik mengenai Ramadan

Anda boleh belikan buku berkaitan Ramadan dan bacakan keindahan bulan mulia ini kepada anak-anak. Sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari sebelum mereka tidur anda bacakan kisah itu, pasti menjadikan mereka berasakan kemanisan bulan ini untuk turut sama-sama beribadah.

Pada masa sama, ia juga dapat mengeratkan hubungan anda bersama anak-anak setiap hari ketika aktiviti membaca itu berlangsung.

KONGSI kisah menarik dalam al-Quran atau buku mengenai keindahan Ramadan.
KONGSI kisah menarik dalam al-Quran atau buku mengenai keindahan Ramadan.

3. Jangan memaksa untuk bertahan berpuasa

Sekiranya anak anda baharu sahaja ingin belajar berpuasa jangan memaksa mereka dengan kasar untuk meneruskan ibadah itu kerana ia boleh memberi tekanan emosi kepada mereka. Sekali gus, berasakan ia tidak menyeronokkan.

Jika anak anda baharu sahaja belajar berpuasa, anda boleh tetapkan mengikut tempoh tertentu. Contohnya berpuasa dari waktu Subuh sehingga Zuhur. Sekiranya mereka boleh bertahan, teruskan sehingga Asar dan sehingga tempoh berbuka puasa.

Bagaimanapun, jika mereka hanya dapat bertahan untuk satu tempoh yang pendek sahaja, jangan perli atau memperkecilkan mereka sebaliknya berikan kata-kata semangat untuk meneruskan pada hari esoknya. Beri kata-kata pujian kerana mereka mampu berpuasa walaupun pada waktu singkat.

JANGAN memperkecilkan anak-anak jika mereka tidak mampu meneruskan berpuasa.
JANGAN memperkecilkan anak-anak jika mereka tidak mampu meneruskan berpuasa.

4. Sediakan juadah bersama

Apabila ingin berbuka atau bersahur, anda boleh mengajak anak-anak turut sama ke dapur menyediakan juadah buat seisi keluarga.

Berikan mereka peluang untuk menyediakan menu yang mereka inginkan sama ada untuk bersahur atau berbuka.

Perkara ini dapat menjadikan mereka berasakan mempunyai tanggungjawab bersama ketika melakukan ibadah berpuasa.

MENGAJAR anak-anak mengenai nilai-nilai Islam untuk mengumpul kebaikan ketika berpuasa.
MENGAJAR anak-anak mengenai nilai-nilai Islam untuk mengumpul kebaikan ketika berpuasa.

5. Kongsikan nilai yang baik

Berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga. Malah, ia adalah bulan untuk menuai amalan baik seperti banyak berdoa, membaca al-Quran, bersedekah dan menjaga percakapan.

Jadi, kongsikan nilai-nilai indah Islam itu kepada anak-anak anda supaya mereka mengetahui bahawa Ramadan adalah bulan untuk menggandakan pahala.

Ia juga boleh dikongsikan dalam pelbagai cara termasuk perbualan atau membacakan tafsir al-Quran kepada anak-anak. Secara langsung anda juga dapat menelaah nilai yang boleh dipraktikkan ketika berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:20 AM