WALAUPUN kelihatan anak seperti bersedia untuk menghadapi peperiksaan tetapi emosi mereka sukar untuk ditafsirkan.
WALAUPUN kelihatan anak seperti bersedia untuk menghadapi peperiksaan tetapi emosi mereka sukar untuk ditafsirkan.
Hafiz Ithnin


"JANGAN biarkan anak-anak keseorangan berdepan 'keresahan' bakal menduduki peperiksaan besar. Sebaiknya, ibu bapa atau penjaga perlu turut sama memahami situasi itu. Begitu juga dengan rakan sekerja seharusnya akur dan cuba menyelami situasi rakan anda yang mengambil cuti kerana hal itu," jelas Pengamal Pendidikan Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli.

Beliau melihat keprihatinan ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan adalah penting kerana golongan itu sebenarnya mengalami keadaan emosi sukar dijangka seperti tertekan.

Katanya, golongan muda bermula dari kanak-kanak sehingga remaja adalah individu yang paling perlu didekati ibu bapa atau penjaga ketika berdepan dengan cabaran menduduki peperiksaan.

"Apatah lagi, untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melihat ia adalah platform penentu masa depan sama ada berpeluang untuk meneruskan pelajaran akademik di peringkat lebih tinggi atau memulakan kerjaya.

"Jika dilihat pada tahun lalu, akibat pandemik Covid-19, anak-anak kita perlu menyesuaikan diri dalam norma pembelajaran yang baharu iaitu secara atas talian dan mungkin ada antaranya tidak dapat memberi fokus dalam keadaan itu. Jadi, golongan paling dekat iaitu ahli keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya,

" katanya.

Dr Putri Afzan berkata, dari sudut perkembangan, otak akan terbentuk cantik pada usia lebih kurang 23 tahun bagi anak perempuan dan 25 tahun bagi anak lelaki.

Justeru, walaupun terdapat persepsi golongan anak-anak yang sudah memasuki sekolah menengah bersifat tidak bergantung harap dari segi memahami emosi, ia sebenarnya tidak tepat kerana otak mereka belum mencapai tahap kematangan yang sebenar.

JADI ibu bapa atau penjaga yang peka kepada emosi anak-anak yang bakal mengambil peperiksaan.
JADI ibu bapa atau penjaga yang peka kepada emosi anak-anak yang bakal mengambil peperiksaan.

"Apabila mereka belum berada di tahap kematangan sebenar, ertinya anak-anak ini memerlukan sokongan daripada orang sekeliling terutama ibu bapa dan penjaga untuk memahami keadaan diri apabila berdepan dengan cabaran termasuk persiapan untuk menduduki peperiksaan.

"Kita jangan melihat apabila anak katakan 'okey', terus membuat kesimpulan bahawa mereka dalam keadaan baik sepenuhnya kerana golongan ini kadangkala tidak mahu meluahkan perasaan mereka secara nyata kepada orang lain kerana mungkin dilihat dalam keluarga sudah boleh berdikari sendiri," katanya.

DEKATI anak-anak dan berkomunikasi secara hati ke hati untuk menenangkan mereka.
DEKATI anak-anak dan berkomunikasi secara hati ke hati untuk menenangkan mereka.

Katanya, apabila anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan, ibu bapa perlu bersifat peka kepada keadaan diri si anak dari segi tingkah laku dan perubahan emosi.

Jelasnya, walaupun kelihatan anak begitu gigih mengulang kaji pelajaran jangan mentafsirkan mereka sebenarnya dalam keadaan yang begitu bersedia dari segi emosi kerana kemungkinan berlaku tekanan.

"Dekati anak dan berkomunikasi dari hati ke hati dengan mereka tanpa ada gangguan orang lain supaya mereka dapat melihat dan merasakan bahawa ibu bapa atau penjaga begitu peka dengan keadaan diri mereka ketika berdepan dengan cabaran untuk menduduki peperiksaan.

TEKANAN untuk mengambil peperiksaan boleh menggangu emosi anak-anak.
TEKANAN untuk mengambil peperiksaan boleh menggangu emosi anak-anak.

"Jangan jadikan bebelan sebagai senjata utama untuk menegur mereka kerana perkara itu boleh membuatkan mereka lebih merasa jauh dan tertekan dengan ahli keluarga sendiri. Sebaliknya, dekati mereka dengan penuh kasih sayang," katanya.

Katanya, kestabilan emosi golongan kanak-kanak amat penting kerana ia menentukan masa depan mereka daripada mengalami masalah tekanan emosi pada masa depan yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.

"Apabila si anak sejak di rumah sudah mempunyai persekitaran emosi yang baik mereka akan menjadi golongan dewasa mempunyai kesihatan mental yang baik dan mampu menguruskan cabaran dalam kehidupan secara matang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 7:00 AM