GARAM diperlukan untuk keseimbangan fungsi tubuh.
GARAM diperlukan untuk keseimbangan fungsi tubuh.
Nurul Husna Mahmud


Salah satu kegusaran ramai orang dalam diet adalah pengambilan garam berlebihan sehingga meningkatkan risiko penyakit jantung dan obesiti.

Bimbang terdedah dengan masalah penyakit terbabit, ada segelintir mengamalkan diet ekstrem sehingga jumlah garam yang sewajarnya untuk keperluan badan tidak mencukupi.

Garam mengandungi natrium adalah mineral elektrolit yang sangat diperlukan tubuh dalam melaksanakan fungsi fisiologi badan.

Malah, 85 peratus mineral yang ditemukan dalam darah dan cairan limfa adalah natrium. Ia terhasil menerusi pengambilan makanan dari masakan mengandungi garam, bahan perasa terutama monosodium glutamat dan sodium bikarbonat.

Peranan natrium kritikal dalam mengurangkan kadar air berlebihan dan menjaga keseimbangan elektrolit tubuh.

Jika tidak mencapai keseimbangan, kemungkinan fungsi badan terjejas terutama anggota vital seperti jantung, saraf, otot dan otak.

Keadaan kekurangan natrium dalam badan dipanggil hiponatremia dan kebanyakan sukar menyedari badan mereka mengalaminya kerana tiada gejala ketara dapat dikesan.

Berikut antara gejala atau kesan daripada kekurangan garam dalam badan perlu anda teliti untuk mengelak komplikasi hiponatremia.

1. Kelesuan atau keletihan melampau

Kelesuan atau keletihan yang melampau antara gejala boleh dialami individu yang kurang garam.

Secara tidak langsung keadaan ini menyebabkan seseorang itu berasa tidak bertenaga dan mudah hilang fokus.

Rasa tidak bermaya ini menjadi lebih buruk apabila kurang melakukan aktiviti senaman dan pengambilan makanan yang tidak teratur serta seimbang.

2. Kekejangan

Apabila tubuh dalam keadaan hoponatremia, air yang berlebihan dan tubuh tidak mencapai keseimbangan elektrolit, air berkemungkian menyusup dalam sel tubuh dan menyebabkan pembengkakan (Edema).

Begitu juga sebaliknya, keadaan hiponatremia yang tinggi boleh menimbulkan pembengkakan otak serius sehingga boleh menyebabkan badan mengalami kejang.

3. Gangguan psikologi

Cecair berlebihan masuk dalam sel otak akibat badan kekurangan garam boleh menjejaskan fungsi kognitif.

Kesan ini boleh mengakibatkan efek sampingan kepada kesihatan mental individu seperti halusinasi, kebingungan, gelisah dan murung.

4. Hilang selera makan

Apabila psikologi terganggu, seseorang itu akan hilang fokus dan selera makan.

Keadaan kurang garam juga boleh membuatkan individu tidak selesa apabila mereka mula mengalami rasa mual atau muntah sehingga nafsu makan menurun.

5. Peningkatan risiko osteoporosis

Apabila tubuh kekurangan garam, tulang mengalami kesukaran menyerap magnesium. Magnesium satu komponen penting membentuk tulang sihat.

Dianggarkan sekitar 50 hingga 60 peratus magnesium tubuh ditemukan dalam tulang. Oleh kerana itu, kurangnya natrium berkemungkinan meningkatkan risiko osteoporosis.

6. Serangan jantung

Elektrolit mengatur aliran otot jantung yang membantu mengedarkan darah ke seluruh tubuh dan mengalirkan kembali ke jantung.

Jika kekurangan garam, keseimbangan elektrolit boleh mengganggu pengaliran darah seluruh badan termasuklah ke anggota vital seperti jantung. Kesan ini meningkatkan risiko serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 6:45 AM